Pelabuhan Klang Sedia Kendalikan Kontena, Kapal Dilencongkan Dari Singapura

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Pelabuhan Klang mempunyai kemampuan sepenuhnya dan bersedia menangani kemasukan kontena dan kapal yang dilencongkan ke Malaysia untuk mengelakkan masa menunggu yang lebih lama di Singapura disebabkan kesesakan maritim di republik tersebut, termasuk kesesakan di dermaga dan kelewatan.

Pelabuhan di Malaysia berupaya memudahkan urusan kapal dan kontena dengan lebih cepat, mengehadkan kelewatan dan mengelakkan kesesakan di dermaga dengan strategi seperti pelaksanaan langkah-langkah menyelaraskan kemasukan dan keutamaan untuk kapal.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Kapten K Subramaniam berkata walaupun kadar penggunaan dermaga adalah sangat tinggi, masa ketibaan dan pelepasan kapal adalah lebih baik tanpa sebarang kelewatan.

“Pelabuhan Klang tidak sesak memandangkan kami mempunyai 12 kapal kontena yang berlabuh di luar, yang mengambil masa tidak lebih dari 12 hingga 24 jam untuk menyelesaikan urusan kontena,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis menjangkakan kesesakan pelabuhan di laluan laut utama yang tersibuk di Asia akan berterusan sehingga Ogos memandangkan banyak syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan, seperti menggunakan Tanjung Harapan berbanding Terusan Suez, disebabkan oleh isu di Laut Merah.

Singapura dilaporkan berdepan dengan masa menunggu yang lebih lama selama beberapa minggu, tetapi masa menunggu telah beransur-ansur berkurangan apabila kapal-kapal kontena mengelak daripada singgah di pelabuhan tersebut dan beralih ke Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.

Menurut Kemas Kini Situasi Pelabuhan Pengangkutan Laut DHL Global Forwarding, kelewatan di Singapura boleh memakan masa lebih dari lima hari disebabkan kesesakan dan kepadatan yang tinggi di kawasan dermaga, manakala di Pelabuhan Klang, kelewatan adalah sekitar dua hingga lima hari jika berlakunya kepadatan yang tinggi di kawasan dermaga.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Bhd Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah ketika dihubungi mengakui situasi tersebut dan berkata kesesakan terbaru di Singapura telah memberi kesan kepada Pelabuhan Klang apabila kapal-kapal kontena beralih dari Singapura kepada Pelabuhan Klang untuk memunggah kontena bagi mengurangkan masa menunggu untuk berlabuh di republik itu.

“Westports telah melaksanakan beberapa strategi untuk menangani peningkatan jumlah kontena dengan berkesan. Pada mulanya Westports berjaya mengelakkan kesesakan besar walaupun terdapat gangguan dalam industri perkapalan serantau.

“Bagaimanapun, dengan kelewatan berterusan untuk kapal berlabuh di Singapura menjelang Jun, kemasukan kontena akhirnya membawa kepada kepadatan yang lebih tinggi di dermaga Pelabuhan Klang.

Ruben menambah Westports telah melancarkan kemasukan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan dermaga, mengutamakan kapal yang membawa jumlah muatan yang lebih tinggi dan bekerjasama rapat dengan pengimport dan syarikat pengangkutan untuk mempercepatkan pelepasan kontena sebagai strategi menangani isu tersebut.

Beliau menekankan bahawa situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini memerlukan pentingnya mempunyai pelabuhan yang pelbagai bagi mengendalikan perdagangan serantau, dan hab-hab itu perlu bekerjasama secara seiring dalam memastikan daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan global dan serantau.

“Apabila satu pelabuhan menghadapi cabaran, yang lain boleh menyerap sebahagian daripada kesan riak tersebut, yang menunjukkan mengapa kapal-kapal kontena memerlukan hab berkembar di rantau ini untuk mengekalkan operasi yang lancar,” katanya.

Ruben berkata dalam menghadapi masa depan, Westports sedang melabur untuk sistem perancangan yang lebih baik dan meluaskan kawasan dermaganya melalui pengembangan Westports 2 bagi mengatasi peningkatan jumlah kontena dengan lebih baik.

“Dalam jangka masa sederhana, sebelum selesainya Westports 2, kami juga akan menambah ruang kontena dan menempatkan lebih banyak peralatan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan. Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen Westports untuk mengekalkan tahap perkhidmatan yang tinggi dan memastikan kelancaran pergerakan barang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) Datuk Tony Chia Han Teun berkata pelabuhan-pelabuhan di Malaysia boleh menyifatkan persinggahan kapal yang tidak dijangka ini sebagai rezeki sementara, terutamanya apabila mereka mempunyai kapasiti yang tersedia atau berlebihan berbanding jadual persinggahan laluan perkapalan mereka.

“Kontena daripada kapal yang dilencongkan itu bukan untuk import tempatan tetapi kontena pemindahan kapal semata-mata.

“Kebimbangan kita ialah bahawa pelabuhan di Malaysia tidak seharusnya melampaui batas untuk mengambil kargo yang disifatkan sebagai “durian runtuh” ini kerana kapasiti yang disediakan untuk kapal ini boleh memberi kesan kepada kapasiti dan kecekapan mengendalikan import dan eksport tempatan kita,” katanya.

Chia memberi amaran bahawa walaupun pelabuhan di Malaysia mungkin menguruskan kontena tambahan daripada situasi berkenaan, adalah menjadi tanggungjawab pelabuhan tempatan untuk memastikan penghantaran import dan eksport tidak terjejas.

“Kita masih memantau situasi ini dan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.