JP Morgan Naikkan Penarafan Malaysia, Dipacu Pembaharuan Dasar Dan Tahap Kemajuan

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — JP Morgan bertindak menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Dalam wawancara dengan stesen media CNBC semalam, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (bekas Jepun/China), Rajiv Batra menyifatkan tahap kemajuan Malaysia sebagai memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 4.2 peratus.

“(Keadaan ini) menjadikan kami positif terhadap Malaysia dan apa yang lebih menarik, semua tanda-tanda ini dicatatkan pada tahun lepas. 

“Pertumbuhan pendapatan misalnya hampir menjejaki tahap 10-11 peratus yang juga satu peningkatan yang mengejutkan. Kami perlu memberi pujian kepada negara itu dan atas alasan ini, kami menaikkan penarafan itu kepada neutral,” katanya.

Rajiv turut mengetengahkan tindakan Malaysia mengambil langkah berani dalam penyasaran subsidi, termasuk diesel selain memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan diberi bantuan tunai secara bulanan.

“Rakyat juga menyedari bahawa penjimatan wang daripada subsidi itu akan dimanfaatkan bagi tujuan ekonomi yang lebih produktif sama ada dalam aspek literasi, latihan kemahiran semula atau dasar gaji progresif yang menyaksikan Malaysia cuba mengambil inspirasi daripada pengalaman Singapura,” katanya.

Beliau berkata kerajaan semasa yang telah mentadbir selama satu setengah tahun, terbukti menjalankan tugas dan “sedang mengotakan janji.”

Ini termasuk meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar seperti pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Lebih penting lagi, kerajaan ini meneruskan konsolidasi fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan dengan menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus.

“Lihat saja di ASEAN pada tahun ini yang menyaksikan aliran keluar (dana) US$7 bilion dalam ekuiti ASEAN.

“Malaysia juga (tidak terkecuali apabila) bermula pada paras rendah dengan aliran keluar hampir US$150 juta hingga US$160 juta pada suku pertama, namun pada suku kedua, pelabur asing kembali dengan (aliran masuk dana) kira-kira US$200 juta,” katanya.

Rajiv berkata selain aliran pelaburan dalam pusat data, perjalanan Malaysia dalam segmen kenderaan elektrik serta tenaga hijau juga seharusnya mendapat pujian.

“Mengambil kira semua faktor-faktor ini, pelabur asing melihat bahawa wujud pelbagai sektor serta idea yang boleh dimanfaatkan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Rajiv berkata Malaysia juga muncul antara pasaran besar dari segi permodalan pasaran sepertimana Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Kami melihat pelabur asing mengambil beberapa langkah baharu, namun tahap pemilikan asing masih pada 19 peratus dan belum mencapai kemuncak potensi pada 35-40 peratus,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.