KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Kutipan hasil cukai berasaskan penggunaan telah berkurangan selepas cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menurut Kementerian Kewangan (MoF).
MoF berkata selepas GST diperkenalkan pada April 2015, kutipan GST adalah sebanyak RM37.7 billion bagi tahun 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.
Selain itu, selepas SST dilaksanakan semula, kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tahun 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023), katanya.
“Secara keseluruhan, kutipan GST bagi tempoh dari April 2015 hingga GST dimansuhkan pada Mei 2018 adalah berjumlah RM184.8 billion manakala jumlah kutipan SST pula adalah sebanyak RM150.4 bilion bagi tempoh dari September 2018 hingga akhir tahun 2023,” kata MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.
MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai adakah hasil cukai dan rizab negara meningkat selepas SST diperkenalkan semula serta adakah SST antara penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan.
Menurut Kementerian Kewanagan, jika dibandingkan jumlah kutipan hasil antara tempoh pelaksanaan GST dan SST, purata kutipan SST secara tahunan adalah 51.6 peratus lebih rendah daripada purata kutipan tahunan GST susulan skop kenaan SST adalah lebih kecil berbanding GST.
“Faktor utama jumlah kutipan SST menjadi lebih rendah adalah skop kenaan SST adalah lebih kecil iaitu meliputi 41 peratus daripada keseluruhan barang dan perkhidmatan dijual dalam pasaran berbanding 76 peratus daripada barang dan perkhidmatan dijual di bawah skop kenaan GST,” katanya.
Sementara itu, MoF berkata pelaksanaan SST tidak boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan kerana terdapat faktor lain seperti permintaan dan penawaran, harga komoditi global, harga barangan import serta kadar tukaran mata wang asing yang turut mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan oleh perniagaan.
“Terdapat juga peniaga dan penyedia perkhidmatan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dijual bagi meraih keuntungan berlebihan walaupun tidak terkesan dengan pengenaan SST,” kata MoF.
Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.
Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:
Pendapatan sewa rumah/homestay
Bisnes online
Grab/Food Panda rider
Content creator
Komisen jualan
Ejen insurans/takaful
Ejen hartanah
Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.
Apa Itu CP500?
CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.
Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.
Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.
Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?
Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.
Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.
Sebagai contoh:
Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.
CP500 Bukan Cukai Tambahan
Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.
Sebenarnya tidak.
Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.
Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.
Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500
Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.
Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.
Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?
Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:
Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.
Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.
Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.
Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?
Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.
Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.
Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.
Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.
Contoh:
Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.
Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.
Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.
Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.
Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.
Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.