4 Tips Untuk Mahasiswa Urus Kewangan Dengan Baik

Kehidupan seorang mahasiswa bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuh terutama sekali apabila ianya melibatkan perihal kewangan. Pastinya ramai mahasiswa di luar sana akan berdepan dengan kesukaran dalam menempuh cabaran untuk mendapatkan segulung ijazah.

Meskipun, kebanyakan mahasiswa ini mempunyai elaun sara diri daripada pinjaman PTPTN, namun ia tidak menjanjikan kehidupan yang selesa sepanjang masa di tempat pengajian. Sekiranya, para mahasiswa tidak mengambil inisiatif untuk memperbaiki kewangan mereka, pastinya mereka bakal berdepan dengan kehidupan yang lebih sukar.

Berikut adalah 4 tips mudah bagi membantu mahasiswa untuk mempunyai pengurusan kewangan yang lebih stabil meskipun masih belum mempunyai pekerjaan dan gaji yang tetap.

1. Bijak Memilih Kedai Makan

Menjadi seorang mahasiswa semestinya tidak boleh lari daripada makan. Apabila perut lapar pastinya, tidak dapat fokus ketika belajar.


Namun, atas faktor-faktor tertentu pastinya mahasiswa tidak dapat untuk memasak dan membawa bekal nasi dan lauk sendiri. Oleh yang demikian, jalan terbaik adalah untuk bijak memilih tempat makanan bergantung kepada tahap kemampuan masing-masing.

Jangan hanya fikir untuk makan sedap di restoran mewah dengan harga yang mahal. Apa yang lebih utama adalah mengambil makanan yang secukupnya untuk memberikan tenaga untuk fokus kepada pengajian seharian.

Nak lebih jimat, amalkan puasa sunat Isnin dan Khamis.

2. Membeli-belah Dengan Bijak

Seorang mahasiswa pastinya perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli buku teks, buku latihan, buku rujukan, alat tulis dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang kita perlu juga print nota di kedai fotostat yang boleh mencecah beratus-ratus mukasurat.

Sebab itulah kita kena bijak berbelanja dan buat survey kedai mana yang menawarkan harga terbaik. Boleh tanya senior kita yang lain tentang kedai yang menawarkan perkhidmatan dan harga yang berpatutan.

Selain daripada itu, bila aku nak membeli-belah stok makanan, beli benda-benda yang mengenyangkan. Contohnya:-Oat-Malt 3 in 1, bihun, kiub-kiub tomyam. Beli telur banyak-banyak. Boleh buat telur separuh masak sebagai sarapan pagi sebelum ke kelas. Kalau Universiti benarkan rice cooker, beli lah beras.

3. Perlu Ada Simpanan

Sebagai seorang mahasiswa, ianya bukan alasan untuk anda tidak mempunyai sebarang simpanan. Sedangkan inilah masa terbaik untuk menanam sikap suka menyimpan sebaik saja ada duit lebih.

Boleh mulakan dengan amaun yang kecil terlebih dahulu, duit syiling pun boleh. Perlahan-lahan naikkan jumlah simpanan tadi.

4. Cari Pendapatan Sampingan

Tips yang terakhir sekali, carilah jalan untuk menjana pendapatan sampingan atau side income. Di antaranya boleh jual top-up, minyak wangi, burger dan bermacam-macam lagi.

Paling menarik kami pernah jumpa mahasiswa yang bekerja part time sebagai cleaner di MaidEasy. Syabas dik!

Sambil dapat duit lebih, sambil mengajar kita ilmu dan kemahiran untuk berkomunikasi dengan orang ramai. Bila dah ada pengalaman sejak dari awal lagi, ianya akan jadi berguna apabila kita dah melangkah ke alam pekerjaan nanti.

Jom amalkan tips ini, wahai mahasiswa semua.

Tapi bagi yang dah graduate, pasti rasa menyesal kan sebab dulu tak tahu dan tak ambil tindakan untuk melakukannya?

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.