Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan Akan Mula Beroperasi November Ini — Gobind


KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) — Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan di bawah seliaan MyDigital Corporation akan mula beroperasi November ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Semasa mesyuarat Kabinet dua minggu lalu, kita telah meluluskan cadangan untuk menubuhkan pejabat AI kebangsaan ini.

“Diharapkan pejabat ini akan beroperasi pada bulan November nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat baru SAS Institute Sdn Bhd di Menara IQ di Tun Razak Exchange, di sini, hari ini.

Gobind berkata salah satu fokus utama Pejabat AI kebangsaan adalah untuk merangka ekosistem yang memastikan Malaysia boleh menjadi hab AI di rantau ini.

“Ini termasuk menarik perhatian pelabur dari seluruh dunia untuk melihat Malaysia sebagai destinasi utama dalam pusat data dan ekosistem berkaitan.

“Kita melihat kepentingan teknologi baharu dan keperluan untuk mempersiapkan negara kita untuk teknologi ini. Dengan penubuhan pejabat AI kebangsaan ini, Malaysia telah mengambil langkah untuk memastikan kita menjadi peneraju dalam bidang ini di peringkat global,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama