ASM 3 Umum Agihan Pendapatan Sebanyak RM837.89 Juta


KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM837.89 juta untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), yang akan memanfaatkan 650,487 pemegang unit yang kini memiliki 17.64 bilion unit bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2024.

Agihan pendapatan 4.75 sen seunit itu mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.69 peratus pada 206 mata asas untuk tahun kewangan sehingga 24 Sept 2024, kata syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu melalui satu kenyataan hari ini.

Pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik serta antarabangsa.

“Dana itu mencatatkan pendapatan realisasi bersih sebanyak RM820.32 juta, tahun ini. Dana tersebut mengekalkan strategi kepelbagaiannya, mengambil manfaat daripada peningkatan keyakinan dalam pasaran ekuiti tempatan dan trend positif dalam pasaran global, didorong oleh kemajuan dalam teknologi,” kata ASNB.

Pengiraan agihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan pada purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.

“Agihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Okt 2024.

“Transaksi untuk ASM 3 di cawangan serta ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah digantung buat sementara waktu dari 28 hingga 30 Sept 2024,” tambahnya.

Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com .my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejennya di seluruh negara mulai 1 Okt 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.