Kerajaan Perkenal Dasar Pengkomputeran Awan Negara, Tumpu Empat Teras Utama – PM Anwar


KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang memberi penekanan terhadap empat teras utama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata teras berkenaan adalah inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam; daya saing dan pertumbuhan ekonomi; memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan mengukuhkan kepercayaan pengguna serta keselamatan data dan pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital.

Beliau berkata teras pertama membabitkan usaha kerajaan MADANI meningkatkan aspek inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam manakala pemanfaatan teknologi awan membolehkan kerajaan menyasarkan pemodenan operasi, memupuk penglibatan rakyat serta menyelaras penyampaian perkhidmatan awam.

“Kedua, kita juga mahu menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula niaga memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses ke pasaran global,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia yang merangkumi pelaburan bernilai US$2 bilion.

Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata aspek ketiga menyentuh komitmen kerajaan untuk mengukuhkan lagi kepercayaan pengguna dan keselamatan data, termasuk mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh demi melindungi data sensitif serta infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan awam dan swasta.

“Bagi teras keempat, kita akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital. Pendekatan kita akan berasaskan rakyat serta inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan akses serta kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital,” kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama