Bursa Malaysia Pertimbang Kontrak Niaga Hadapan Baharu Minyak Masak Terpakai


KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Bursa Malaysia mengakui cadangan untuk memperkenalkan kontrak niaga hadapan baharu bagi minyak masak terpakai, sementara menunggu perundingan dengan industri dan kelulusan kawal selia.

“Bursa Malaysia berhasrat menawarkan kontrak niaga hadapan baharu bagi minyak masak terpakai, yang kini sedang menjalani perundingan industri dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia,” kata jurucakap Bursa Malaysia kepada Bernama.

Kenyataan daripada bursa itu adalah susulan laporan berita luar negara yang mendakwa ia sedang mempertimbangkan pelancaran kontrak niaga hadapan bagi minyak masak terpakai, dipacu oleh peningkatan permintaan bagi bahan mentah bahan api bio.

Laporan berita itu yang memetik sumber yang tidak asing lagi dengan perkara berkenaan, turut menunjukkan bahawa Bursa Malaysia telah mencadangkan spesifikasi bagi kontrak berkenaan dalam dokumen yang dikongsikan dengan peserta industri.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelabur Asing Kembali Ke Pasaran Saham Malaysia Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada bulan Julai, beralih kepada saham perbankan dan utiliti yang bersifat defensif apabila aliran dana global berubah berikutan pembetulan dalam saham teknologi

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Fad’l Mohamed, berkata aliran masuk bersih asing ke dalam pasaran ekuiti tempatan berjumlah kira-kira RM297 juta setakat 27 Julai, menandakan minat pelabur berterusan walaupun di sebalik ketidaktentuan global yang memuncak.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat keputusan kewangan separuh pertama 2026 Bursa Malaysia hari ini, Fad’l berkata peralihan itu mencerminkan sifat pasaran global yang berubah, dengan pelabur memperuntukkan semula dana merentas pasaran dan sektor sebagai respons kepada keadaan yang bertukar.

“Baru-baru ini, kita melihat aliran masuk yang sangat tinggi ke dalam pasaran seperti Taiwan dan Korea Selatan, terutamanya didorong oleh saham berkaitan teknologi dan pertumbuhan berkaitan teknologi. Pelaburan sedang kembali ke Malaysia dalam persekitaran pembetulan baru-baru ini dalam saham berkaitan teknologi,” katanya.

Fad’l berkata, pelabur asing kembali kepada saham yang menawarkan pulangan lebih stabil, terutamanya dalam sektor perbankan dan utiliti.

Beliau berkata, pergerakan dalam pasaran sekunder berbeza daripada yang mendorong Tawaran Awam Permulaan, perdagangan ekuiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk aliran masuk asing, pulangan, dolar Amerika Syarikat (AS) dan sentimen risiko pasaran yang lebih luas.

Pegangan saham asing dalam Bursa Malaysia kekal stabil pada sekitar 19 peratus, mencerminkan penyertaan antarabangsa berterusan dalam pasaran tempatan walaupun berlaku ketidaktentuan global

-BERNAMA