5 Impak Positif Pengukuhan Ringgit Malaysia 

Pada 4 Oktober 2024, Ringgit telah melonjak ke paras RM4.2155 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.

Ringgit juga merekodkan suku terbaik dalam tempoh 50 tahun sejak 1973 sekali gus mencerminkan pemulihan dan pengukuhan nilai mata wang negara.

Kredit: AFP PHOTO / MOHD RASFAN

Berdasarkan carian di Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat 4 Oktober 2024 nilai ringgit Malaysia telah mengukuh dengan kuat berbanding mata wang negara yang lain.

Antara contoh yang boleh diambil adalah seperti di bawah. Mata wang yang selalu dijadikan perbandingan adalah mata wang Dolar. Kini nilai 1 USD telah bersamaan dengan RM4.22.

Jika dibandingkan dengan negara jiran pula, 1 SGD adalah bersamaan dengan RM3.25. 

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Melihat kepada pengukuhan ringgit ini, sudah pasti ramai yang mempunyai Impian untuk melancong ke luar negara kerana kita akan mendapat nilai yang lebih besar dari pertukaran mata wang asing.

Pada bulan Februari tahun 2024 yang lalu, nilai Ringgit telah susut sehingga RM4.7607 per dolar AS iaitu paling lemah sejak 1998.

Oleh itu sekiranya anda bercadang untuk melancong ke Amerika Syarikat pada Februari yang lalu, anda memerlukan RM4,760.70 untuk mendapat USD1,000.

Berbanding sekarang, anda hanya memerlukan RM4,120 untuk mendapat USD1,000. Penjimatan sebanyak RM600 tersebut sudah tentu menguntungkan kita. 

1. Mengurangkan Kos Import

Pengukuhan ringgit Malaysia akan memberi impak ketara terhadap syarikat yang perlu mengimport barangan atau bahan mentah dari luar negara. Sebagai contoh, pemaju hartanah yang perlu mengimport keluli dari luar negara akan mendapati kos import mereka akan lebih rendah dan sekaligus memberi kesan positif terhadap margin keuntungan mereka. 

Tidak mustahil untuk kita menjangkakan syarikat-syarikat tersebut akan mempamerkan prestasi suku tahunan yang lebih positif bagi suku-suku yang akan datang.

Berdasarkan contoh pengiraan di atas tadi, kita mampu menjimatkan RM600 untuk mendapatkan USD1,000 sekarang berbanding bulan Februari yang lalu. Anda bayangkan pula, berapa banyak yang mampu dijimatkan oleh syarikat-syarikat yang menjalankan transaksi import yang mencecah jutaan ringgit.

Sebuah syarikat tersenarai iaitu PPB Group Berhad melaporkan perkembangan positif bagi operasinya, kerana bahan mentah kumpulan syarikat ini kebanyakannya berharga dalam dolar AS dan pengukuhan ringgit akan mengurangkan kos perniagaan.

Pengukuhan ringgit adalah baik untuk PPB kerana bahan mentah seperti gandum dan jagung yang kebanyakannya diimport, berharga dalam dolar AS.

Sumber: PPB Group Berhad

2. Meningkatkan Pelaburan Asing

Pengukuhan nilai Ringgit Malaysia memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Dengan mata wang yang lebih kuat, pelabur luar negara melihat Malaysia sebagai destinasi yang lebih stabil dan berpotensi untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang baik. Ini kerana, kestabilan mata wang sering dikaitkan dengan kestabilan ekonomi dan dasar kerajaan yang kukuh. 

Seterusnya, pelaburan asing yang bertambah dapat merangsang sektor-sektor penting seperti pembuatan, teknologi, dan infrastruktur, yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

3. Peningkatan Indeks Ekonomi

Pengukuhan ringgit boleh membawa kepada peningkatan indeks ekonomi Malaysia, seperti Indeks Bursa Malaysia atau indeks lain yang mengukur prestasi keseluruhan pasaran saham dan ekonomi. FBM KLCI telah menaik 14.12% setakat (27 September 2024) pada tahun ini.

Sumber: TradingView

Dengan mata wang yang kukuh, harga barang import menjadi lebih murah, meningkatkan kuasa beli pengguna. 

Peningkatan ini akan menyumbang kepada perbelanjaan domestik yang lebih tinggi, yang boleh meningkatkan keuntungan syarikat tempatan. Pada akhirnya, ini menyumbang kepada peningkatan nilai syarikat dalam pasaran saham, yang akan meningkatkan indeks ekonomi secara keseluruhan.

Kita sebagai pelabur pula tumpeng gembira kerana syarikat yang dilabur mampu memberi dividen yang lebih tinggi serta potensi kenaikan harga saham.

4. Meningkatkan Pendapatan

Pengukuhan ringgit boleh memberikan kesan positif kepada pendapatan isi rumah dan syarikat. Barangan import yang lebih murah mengurangkan kos sara hidup, memberikan lebih banyak kuasa beli kepada pengguna. 

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat yang bergantung kepada bahan mentah atau produk import dapat mengurangkan kos pengeluaran. Ini boleh membawa kepada peningkatan margin keuntungan, yang seterusnya membolehkan syarikat-syarikat ini menawarkan gaji yang lebih baik kepada pekerja atau mengembangkan operasi mereka, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

5. Stabiliti Ekonomi

Mata wang yang stabil adalah petanda penting kepada kestabilan ekonomi sesebuah negara. Apabila nilai ringgit Malaysia mengukuh, ia memberikan isyarat bahawa ekonomi negara berada dalam landasan yang kukuh. Kestabilan ini dapat mengurangkan risiko inflasi, menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan, serta mengukuhkan keyakinan pengguna dan pelabur. Lebih penting lagi, kerajaan mempunyai lebih banyak ruang untuk melaksanakan dasar ekonomi yang progresif tanpa bimbang akan tekanan kewangan, yang boleh membantu Malaysia mengelak daripada ketidakstabilan ekonomi global.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, pengukuhan ringgit Malaysia membawa pelbagai impak positif kepada ekonomi negara. Ia bukan sahaja meningkatkan pelaburan asing, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan indeks ekonomi, memperbaiki taraf pendapatan rakyat, serta mengukuhkan kestabilan ekonomi secara keseluruhan. 

Dengan mata wang yang lebih kukuh, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelabur luar, memudahkan pertumbuhan ekonomi, dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Dalam jangka panjang, pengukuhan ini akan memberi asas yang kuat untuk pembangunan mampan serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global. 

Oleh itu, usaha untuk mengekalkan kestabilan dan mengukuhkan lagi nilai ringgit perlu menjadi keutamaan bagi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam ekonomi negara.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Digital Malaysia Cecah RM196 Bilion, Antara Paling Pantas Berkembang di Asia Tenggara

E-dagang berkembang 22%, penggunaan AI semakin meluas dan ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026.

Ekonomi digital Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut laporan e-Conomy SEA 2026 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company pada 28 Oktober 2026, nilai ekonomi digital negara dijangka mencecah AS$48 bilion atau kira-kira RM196 bilion pada 2026.

Lebih menarik, pertumbuhan ini mencapai 20% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia bersama Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pantas di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini bukan datang daripada satu sektor sahaja. E-dagang, pelancongan dalam talian, perkhidmatan kewangan digital, media dalam talian serta perkhidmatan penghantaran makanan dan pengangkutan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

1. E-dagang Jadi Pemacu Utama Ekonomi Digital

Sektor e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Malaysia.

Pada 2026, nilai transaksi barangan dan perkhidmatan yang dijual melalui platform digital dalam sektor ini dijangka mencecah AS$25 bilion atau sekitar RM102 bilion, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan ini ialah penggunaan AI untuk membantu pengguna mencari produk, penjualan melalui video serta penggunaan sistem automatik yang memudahkan peniaga mengurus perniagaan.

Mudah kata, membeli-belah dalam talian bukan lagi sekadar membeli barang di platform e-dagang. Cara peniaga memasarkan produk dan cara pengguna membuat keputusan pembelian juga semakin berubah.

2. Pelancongan Dalam Talian Terus Berkembang

Sektor pelancongan dalam talian turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 15% kepada AS$12 bilion, bersamaan kira-kira RM49 bilion.

Kenaikan harga tiket penerbangan menjadi antara faktor yang meningkatkan nilai transaksi. Pada masa sama, permintaan terhadap pelancongan domestik dan antarabangsa serta penginapan premium turut menyokong pertumbuhan sektor ini.

Menariknya, AI kini semakin memainkan peranan dalam perancangan perjalanan. Pengguna bukan sahaja menggunakan media sosial untuk mencari destinasi percutian, malah mula bergantung pada platform AI untuk mendapatkan cadangan lokasi, menyusun jadual perjalanan dan merancang percutian.

3. Pembayaran Digital dan Pinjaman Dalam Talian Semakin Popular

Penggunaan perkhidmatan kewangan digital juga terus meningkat.

Nilai transaksi pembayaran digital di Malaysia berkembang 17% kepada AS$261 bilion. Ini menjadikan Malaysia pasaran pembayaran digital kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sementara itu, baki pinjaman digital meningkat 22% kepada AS$18 bilion.

Pertumbuhan ini menunjukkan semakin ramai pengguna dan perniagaan menggunakan saluran digital untuk membuat pembayaran serta mendapatkan pembiayaan.

Bagi pengguna, urusan kewangan menjadi lebih mudah. Bagi perniagaan pula, perkhidmatan digital membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan dan mengembangkan operasi dengan lebih meluas.

4. AI Bukan Lagi Sekadar Trend

Satu lagi dapatan menarik dalam laporan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 17 juta rakyat Malaysia menggunakan AI generatif, bersamaan 68% daripada populasi bekerja. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dari segi penggunaan AI.

Pengguna di Malaysia juga aktif menggunakan AI untuk menghasilkan imej. Menurut laporan tersebut, satu daripada lima pengguna Gemini meminta platform itu menjana imej.

Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi ini digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Secara purata, pengguna Malaysia melakukan sekitar 1.8 sesi AI seminggu. Dalam setiap sesi, mereka mencatatkan purata 13.9 pertukaran mesej atau arahan dengan AI, kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura.

Penggunaan AI dalam sektor korporat juga semakin matang. Laporan itu menganggarkan penggunaan AI oleh organisasi menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada keseluruhan penggunaan token AI di Malaysia.

Ini menunjukkan AI semakin digunakan untuk membantu menyelesaikan tugasan sebenar, bukan sekadar mencuba teknologi baharu.

5. Pelaburan AI dan Pusat Data Bakal Membuka Peluang Baharu

Perkembangan AI memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan perkhidmatan awan.

Malaysia sedang membangunkan ekosistem pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.

Di peringkat Asia Tenggara pula, pelaburan swasta dalam pengkomputeran dan infrastruktur AI mencecah AS$20 bilion atau kira-kira RM82 bilion dalam tempoh 12 bulan yang dilaporkan.

Lebih menarik, syarikat digital yang menjadikan AI sebagai teras produk mereka menerima sekitar 80% daripada jumlah pembiayaan swasta kepada syarikat digital dalam tempoh enam bulan terkini yang dikaji. Angka ini meningkat daripada kira-kira 30% pada separuh kedua 2024.

Laporan itu turut menjangkakan penggunaan AI di Asia Tenggara boleh meningkat sehingga 60 kali ganda menjelang 2030, berdasarkan jumlah token yang digunakan.

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka peluang kepada syarikat teknologi, penyedia pusat data dan perniagaan yang mampu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti.

6. Sektor Digital Lain Turut Menunjukkan Pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia bukan terhad kepada e-dagang dan AI sahaja.

Sektor media dalam talian berkembang 20% kepada AS$5 bilion, manakala sektor pengangkutan dan makanan meningkat 18% kepada AS$5 bilion.

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti digital semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menonton kandungan dalam talian hinggalah menempah pengangkutan dan makanan.

Bagi perniagaan, perubahan ini membuka ruang untuk mencari pelanggan baharu, menawarkan perkhidmatan secara digital dan menggunakan data bagi memahami corak perbelanjaan pengguna.

7. Malaysia Perkenalkan Perlindungan Undang-undang untuk Pekerja Gig

Selain teknologi dan perniagaan, laporan ini turut menyorot perkembangan dalam sektor pekerjaan gig.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan khusus menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta ini meluaskan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu platform dan pekerja bebas digital.

Antara perlindungan yang dinyatakan dalam laporan ialah keperluan perjanjian perkhidmatan bertulis yang telus, caruman keselamatan sosial melalui PERKESO, larangan potongan bayaran yang tidak adil serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk menyelesaikan pertikaian.

Langkah ini penting kerana pertumbuhan ekonomi digital turut mengubah cara rakyat bekerja dan memperoleh pendapatan.

Kesimpulan: Peluang Besar untuk Perniagaan dan Pelabur

Secara keseluruhan, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh e-dagang, pelancongan, pembayaran digital dan penggunaan AI.

Pada peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan mencapai AS$368 bilion atau kira-kira RM1.5 trilion pada 2026, dengan potensi mencecah AS$1 trilion menjelang 2035.

Bagi pelabur, perkembangan ini boleh membuka peluang dalam sektor seperti teknologi, pusat data, perkhidmatan awan dan pembayaran digital. Namun, pertumbuhan sesuatu sektor tidak semestinya menjamin keuntungan setiap syarikat. Penilaian saham, prestasi kewangan dan harga yang dibayar masih perlu dipertimbangkan.

Bagi usahawan pula, mesejnya jelas: perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan memanfaatkan AI berpotensi memperoleh kelebihan daya saing.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada ekonomi digital akan berkembang, tetapi siapa yang paling bersedia untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan ini?

Sumber: Laporan e-Conomy SEA 2026 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, diterbitkan pada 28 Oktober 2026.

Nota: Nilai dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.08 seperti yang dinyatakan dalam laporan. GMV merujuk kepada nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang diniagakan melalui platform digital, manakala GTV merujuk kepada jumlah nilai transaksi. Kedua-duanya bukan ukuran hasil atau keuntungan syarikat.