SME Corp. Malaysia Meterai MoU Dengan Monsha’at, Arab Saudi

Potensi Nilai Dagangan Berjumlah RM100 Juta Sokong Pemeteraian MoU 

RIYADH, 5 November 2024 – SME Corp. Malaysia telah menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) dengan Small and Medium Enterprises General Authority (Monsha’at), Arab Saudi semasa BIBAN24 anjuran Monsha’at yang berlangsung dari 5 hingga 9 November 2024. Bagi menyokong kerjasama antara kedua-dua pihak, sebanyak 30 entiti  perniagaan tempatan yang terdiri daripada 28 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada sektor pertumbuhan tinggi, francais, makanan dan minuman serta dua (2) koperasi  telah menyertai acara ini di mana Malaysia mensasarkan potensi nilai dagangan berjumlah  RM100 juta daripada aktiviti berkaitan perniagaan yang dianjurkan sepanjang 5 hari acara  tersebut.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Riyadh Front Exhibition & Conference Centre ini juga merupakan lonjakan penting dalam usaha SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), untuk mempercepat transformasi PMKS menjadi firma pertumbuhan tinggi. MoU ini dijangka berupaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan memupuk kerjasama rentas ekonomi khususnya dalam pembangunan PMKS bagi kedua-dua negara. 

Selain menggalakkan kerjasama erat dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik berkaitan pembangunan dan pertumbuhan PMKS, MoU ini juga bertujuan untuk mewujudkan inisiatif jangka panjang yang menyokong pertumbuhan perniagaan dua hala. Ini sekaligus akan dapat meningkatkan rangka kerja sokongan untuk PMKS dan membentuk asas ekosistem PMKS yang berdaya tahan dan inovatif di Malaysia dan Arab Saudi. 

MoU ini telah ditandatangani oleh YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai  Eksekutif, SME Corp. Malaysia, dan rakan sejawatnya, YBrs. Encik Sami Ibrahim Alhussaini,  Gabenor Monsha’at. 

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang  menyaksikan pemeteraian MoU berkata “Dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran,  ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik dapat diwujudkan bagi memberi manfaat  kepada kedua-dua negara. Kita boleh meneroka usaha sama dalam bidang seperti teknologi,  pendidikan dan industri halal dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam  pembangunan PMKS”. 

Mengulas mengenai MoU berkenaan, Encik Rizal berkata, “MoU ini bertujuan untuk  mewujudkan rangka kerja asas bagi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan amalan  terbaik, dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan program PMKS pertumbuhan  tinggi yang memudahkan akses pasaran, serta inisiatif untuk pemindahan pengetahuan  dalam aspek pendigitalan, kelestarian, inovasi dan keusahawanan. Buat julung-julung  kalinya kami membawa 30 entiti perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Arab Saudi  yang menawarkan potensi besar”. 

BIBAN24, dengan tema ‘Global Destination for Opportunities’, bermatlamat mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai destinasi utama bagi usahawan di peringkat serantau dan global. 

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.