Simpanan Shariah : KWSP Perkenal Akses Lebih Pantas, Pengaktifan Bulanan


KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperkenalkan dua ciri utama bagi kemudahan Simpanan Shariah dengan akses lebih pantas dan fleksibel untuk ahlinya berkuat kuasa pada 1 April, 2025.

Dalam kenyataannya hari ini, dana persaraan itu berkata penambahbaikan berkenaan juga membolehkan pendaftaran Simpanan Shariah dibuat secara serta-merta untuk ahli baharu manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan bagi semua ahli yang memilih untuk beralih kepada simpanan terbabit.

“Menerusi ciri baharu bagi pendaftaran Simpanan Shariah, ahli KWSP baharu kini boleh memilih simpanan itu sebagai akaun pilihan mereka semasa (melakukan) pendaftaran kendiri,” katanya.

Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.

Namun, menerusi penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, sekali gus membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh Syariah dengan lebih cepat.

“Pembaharuan ini dapat memendekkan lagi tempoh menunggu dari tahunan kepada bulanan dan memastikan pelaburan ahli patuh syariah dengan lebih awal.

“Penambahbaikan ini memberi ahli (dari segi kemudahan) kawalan dan fleksibiliti lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh Syariah,” katanya.

KWSP akan melaksanakan penambahbaikan itu berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Dis, 2024 hingga 31 Mac, 2025 bagi memastikan kelancaran inisiatif berkenaan.

Dalam tempoh itu, tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih sebelum 25 Dis, 2024 adalah pada 1 Jan, 2025.

Mereka yang memilih tempoh antara 25 Dis, 2025 hingga 24 Mac, 2025 pula akan menyaksikan tarikh kuat kuasa pada 1 April, 2025 manakala bagi tempoh 25 Mac hingga 31 Mac, 2025 pula adalah pada 1 Mei, 2025.

Selain itu, bagi mereka yang beralih mulai 1 April, 2025 dan seterusnya tarikh kuat kuasa adalah pada 1 haribulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.

“Sebagai contoh, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April, 2025, tarikh kuat kuasanya pada 1 Mei, 2025.

“Jika ahli memilih beralih pada 25 April, 2025, (maka) tarikh kuat kuasa pada 1 Jun, 2025 dan bukannya 1 Mei, 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh tujuh hari itu,” kata KWSP.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian