Ringgit Dibuka Mengukuh Berbanding Dolar AS Selepas Ucapan Sulung Trump

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah selepas Presiden Donald Trump dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden ke-47, tidak mengumumkan sebarang tarif baharu, khususnya ke atas China.

Pada jam 8 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.4650/4815 berbanding dolar AS yang meningkat daripada 4.4910/4960 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 1.16 peratus kepada 108.082 mata selepas ucapan Trump dalam majlis angkat sumpahnya, malam tadi.

“Tiada sebarang pengumuman khusus mengenai kenaikan tarif ke atas China. Namun Wall Street Journal melaporkan Presiden Trump berhasrat mengeluarkan memorandum (pekeliling) yang mengarahkan agensi Persekutuan mengkaji semula dasar dan hubungan dagangan sedia ada dengan China, Kanada dan Mexico.

“Dalam erti kata lain, tarif itu akan ada tetapi lebih kepada kaedah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata tumpuan Presiden AS ke-47 akan menjadi dasar pertama negara maju itu yang dijangka melibatkan dasar propertumbuhan.

“Perkembangan itu melegakan pasaran kewangan hari ini, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini. Keadaan itu sepatutnya merangsang ringgit hari ini walaupun peniaga dan pelabur akan kekal berhati-hati,” katanya.

Melontarkan nada sama, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata selain mengelak daripada mengumumkan tarif baharu, tindakan Trump mengarahkan agensi Persekutuan mengkaji semula dasar tarif sedia ada serta hubungan perdagangan lebih meluas juga menandakan pendekatan yang lebih terukur.

“Namun, perlu diingatkan bahawa pasukan perdagangan Trump masih belum disahkan, sekali gus menunjukkan butiran dasar itu sedang dirangka.

“Meskipun tiada impak serta-merta, perkembangan di peringkat perdagangan berkemungkinan besar akan wujud,” katanya.

Mohd Sedek berkata peningkatan Indeks Dolar Asia kepada 89.7446 pada awal dagangan sebelum stabil pada 89.6895, menunjukkan ringgit berkemungkinan besar dibuka lebih mengukuh berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, ringgit dibuka menyusut berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.6530/6702 daripada 4.6307/6358, susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5058/5261 daripada 5.4723/4784 dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8764/8874 daripada 2.8741/8774.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit kebanyakannya lebih mengukuh.

Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0850/1445 daripada 13.0948/1155, naik berbanding rupiah Indonesia pada 272.7/273.9 daripada 274.3/274.8, mengukuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.66 daripada 7.67/7.68.

Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura pada 3.2947/3074 berbanding 3.2899/2938 pada Isnin.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian