Inflasi Malaysia Meningkat Dengan Kadar Perlahan 1.5 Peratus Pada Februari 2025


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.5 peratus pada Februari 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.1 berbanding 132.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Indeks Harga Pengguna Malaysia bagi Februari 2025 yang dikeluarkan hari ini,  DOSM berkata peningkatan itu didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (2.3 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.5 peratus); kesihatan (1.0 peratus); pengangkutan (0.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus).

Bagaimanapun, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan; pendidikan dan insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing merekodkan peningkatan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya iaitu 3.7 peratus, 1.9 peratus dan 1.5 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi maklumat dan komunikasi menurun kepada negatif 5.3 peratus pada Februari 2025, kadar yang sama direkodkan pada Januari 2025.

Penurunan ini disumbangkan oleh inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada negatif 5.9 peratus.

Pakaian dan kasut kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 0.2 peratus (Januari 2025: -0.3 peratus).

Sementara itu, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan (3.5 peratus), makanan dan minuman (2.5 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (0.9 peratus) mencatatkan peningkatan yang sama seperti bulan sebelumnya.

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.5 peratus pada Februari 2025 (Januari 2025: 2.5 peratus).

 Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.5 peratus berbanding 0.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Kelas perbelanjaan Makanan sedia dimakan dan produk makanan lain tidak terkelas di tempat lain, 3.2 peratus (Januari 2025: 2.9 peratus) merupakan penyumbang utama kepada peningkatan subkumpulan ini.

Kenaikan harga santan segar dan santan segera masing-masing sebanyak 27.0 peratus dan 8.7 peratus pada Februari 2025 berbanding 21.9 peratus dan 3.8 peratus pada Januari 2025 turut menyumbang kepada kenaikan inflasi makanan di rumah.

Kenaikan harga kelapa di pasaran Malaysia sejak Oktober 2024 bukan sahaja disebabkan oleh faktor pengurangan bekalan kelapa tempatan, malah melibatkan kekurangan bekalan dari seluruh dunia berikutan musim melawas kelapa.

Sebanyak 650 tan metrik kelapa tua diimport oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk kegunaan masyarakat menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

 Sementara itu, inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran mencatatkan penurunan pada kadar negatif 1.0 peratus pada Februari 2025 (Januari 2025: -1.1 peratus).

Harga sayur-sayuran yang merekodkan penurunan secara asas tahunan adalah tomato, negatif 16.5 peratus (Januari 2025: -11.3 peratus); bendi, negatif 7.4 peratus (Januari 2025: -1.1 peratus) dan kacang panjang, negatif 4.7 peratus (Januari 2025: -1.5 peratus).

Kelas perbelanjaan daging turut menurun sebanyak negatif 0.3 peratus pada Februari 2025 (Januari 2025: -1.0 peratus), disumbangkan oleh penurunan daging lembu tempatan, negatif 4.3 peratus (Januari 2025: -4.0 peratus) dan daging khinzir, negatif 0.3 peratus (Januari 2025: -0.7 peratus).

Bagaimanapun, daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6 peratus) dalam kelas perbelanjaan daging meningkat 1.9 peratus pada Februari 2025 (Januari 2025: -0.3 peratus).

DOSM berkata purata harga ayam standard Malaysia pada Februari 2025 adalah RM10.52 sekilogram berbanding RM10.29 sekilogram pada bulan Februari 2024 (Januari 2025: RM10.40).

“Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Februari 2025 meningkat 0.4 peratus berbanding Januari 2025, kata Mohd Uzir.

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (2.1 peratus), Sarawak (1.9 peratus), Selangor (1.9 peratus), dan Melaka (1.6 peratus).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.9 peratus) dan Filipina (2.1 peratus), namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (1.1 peratus), Indonesia (-0.1 peratus) dan China (-0.7 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian