LHDN Benarkan Rayuan DRB-Hicom Terhadap Cukai Tambahan Daripada Penjualan Oleh Anak Syarikat


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membenarkan rayuan DRB-Hicom Bhd terhadap notis taksiran tambahan dengan menyatakan keuntungan daripada penjualan anak syarikat adalah tidak tertakluk kepada cukai mengikut Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom menjelaskan justeru, cukai berjumlah RM246.25 juta itu telah dilepaskan sepenuhnya berdasarkan pemberitahuan yang diterima daripada LHDN pada 20 Mac, 2025.

Pada 2 Sept 2024, DRB-Hicom memaklumkan pihaknya akan merayu dan, jika perlu, memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan notis taksiran daripada LHDN berjumlah RM246.25 juta (termasuk penalti) bagu tahun taksiran 2020.

Syarikat itu menjelaskan notis yang diterima oleh anak syarikatnya pada 30 Ogos, 2024, dibangkitkan susulan keputusan LHDN untuk menganggap keuntungan daripada penjualan pelaburan jangka masa panjang yang dipegang anak syarikat itu sebagai pendapatan yang tertakluk kepada cukai mengikut Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2020.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.