Inflasi Dijangka Meningkat Antara 2.0-3.5 Peratus Tetapi Kekal Terurus Tahun Ini – BNM

Duit inflasi


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik antara dua peratus hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding purata pada 1.8 peratus pada tahun 2024 tetapi akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia menyatakan pada peringkat global, harga komoditi dijangka terus menurun, lantas menyebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah bagi syarikat.

Sementara itu, peringkat domestik, keadaan permintaan asas akan kekal sederhana berikutan pertumbuhan penggunaan swasta yang stabil dan kenaikan upah yang selari dengan pertumbuhan produktiviti.

“Kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan, termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dijangka bersifat sementara dan dapat dibendung dengan baik,” menurut BNM selain menambah kesan langsung daripada langkah-langkah tersebut dijangka luput dalam masa setahun dan kekal terkawal berikutan pendekatan dasar-dasar tersebut secara bersasar.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Menurut BNM, perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan yang lebih pantas berserta sokongan dasar, sementara, aktiviti pelaburan akan terus mencatatkan pengembangan mantap apabila peningkatan kitaran pelaburan dijangka berlanjutan ke tahun 2025.

Pada tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.8 peratus (2023: masing-masing 2.5 peratus dan tiga peratus), lebih rendah berbanding dengan purata jangka panjang (purata 2011-19: 2.2 peratus) berikutan keadaan kos global semakin reda dan permintaan yang stabil.

Dalam pada itu, sepanjang 2024, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus bagi memastikan kestabilan harga kondusif terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada tahun 2025 pula, BNM menyatakan MPC akan terus memantau kesan limpahan daripada persekitaran global yang tidak menentu dan kemungkinan kesan perubahan dasar dalam negeri.

“Berikutan ketidakpastian ini, perumusan dasar monetari akan terus mengambil kira pelbagai risiko dan perubahan yang mungkin berlaku berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia,” menurut BNM.

Pada 2024, ekonomi Malaysia terus kukuh, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mantap berikutan peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pengembangan aktiviti pelaburan, aktiviti eksport turut mendapat manfaat daripada peningkatan kitaran teknologi global dan pengukuhan berterusan dalam segmen barangan bukan elektrik dan elektronik.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA