Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Selepas Trump Tangguh Tarif 90 Hari

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur kekal berhati-hati selepas Washington mengumumkan penangguhan tarif balas selama 90 hari untuk semua negara kecuali China. 

Pada 8.14 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4275/4425 berbanding dolar AS daripada 4.4670/4730 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata selepas penangguhan selama 90 hari, pasaran kewangan menjadi tidak menentu, dengan ekuiti Amerika Syarikat (AS) mencatatkan penurunan mendadak, hasil Perbendaharaan AS untuk 10 tahun meningkat manakala Indeks Dolar AS (DXY) merosot dengan ketara.

“Apa yang jelas ialah peniaga dan pelabur sedang menilai semula bagaimana tarif tersebut akan memberi impak kepada ekonomi, dengan pertumbuhan dan inflasi terjejas secara serentak.

“Stagflasi dilihat sebagai kemungkinan yang boleh wujud daripada perang perdagangan dan ini akan menyukarkan tugas Rizab Persekutuan untuk melaksanakan mandatnya, mencapai guna tenaga maksimum dan harga yang stabil,” katanya kepada Bernama. 

Mohd Afzanizam berkata inflasi AS pada Mac sederhana kepada 2.4 peratus daripada 2.8 peratus sebelum ini tetapi pelabur ragu-ragu berikutan tarif balas pada April boleh mengubah keadaan.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil, mengambil petunjuk daripada penurunan DXY dan ketidaktentuan pasaran yang meningkat disebabkan tarif,” katanya. 

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0879/0988 daripada 3.0594/0639, susut berbanding euro kepada 4.9854/0023 daripada 4.9401/9467, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.7540/7735 daripada 5.7566/7644 semalam.

Sementara itu, mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3330/3450 daripada 3.3361/3411, tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.75 daripada 7.79/7.81 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 263.1/264.1 daripada 265.5/265.9 semalam.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0910/1439 daripada 13.0618/0866.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee