FMM Gesa Kerajaan Bertindak Lindungi Sektor Pembuatan Berikutan Penanggguhan Tarif AS

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) — Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tegas sepanjang penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari oleh Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi asas-asas industri dan daya saing jangka panjang Malaysia, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM)

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata persatuan itu mencadangkan agar kerajaan melaksanakan bantuan bersasar khusus untuk sektor-sektor tertentu seperti produk-produk getah, jentera perindustrian, komponen-komponen elektrik dan elektronik bukan semikonduktor, perabot, cat, peranti perubatan, pakaian dan sektor perkhidmatan pembuatan elektronik.

“Industri-industri ini penting untuk ekosistem pembuatan Malaysia dan daya tahan rantaian bekalan AS.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk menekankan pendirian Malaysia terhadap perdagangan terbuka, termasuk tarif rendah bagi negara paling digemari (MFN) dan penggunaan terhad halangan bukan tarif untuk menyokong penilaian semula klasifikasi tarif Malaysia di bawah kerangka AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh turut mengulangi gesaan FMM agar kerajaan segera memberikan sokongan untuk memperkukuh sektor pembuatan dengan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan dasar-dasar yang boleh meningkatkan kos operasi pada tahun ini.

Dalam satu surat rasmi kepada Kementerian Kewangan bertarikh 8 April, 2025, FMM telah memohon penangguhan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Mei, 2025.

“Apabila ditambah dengan pelarasan tarif asas elektrik pada Julai 2025, langkah-langkah ini akan meningkatkan kos perniagaan dan harga barangan keperluan dengan ketara.

“Kami menyarankan agar kerajaan menjalankan penilaian impak yang komprehensif terhadap implikasi peluasan SST, terutama kesannya terhadap inflasi, kemampanan perniagaan dan kemampuan pengguna,” katanya.

Soh turut menekankan gesaan FMM agar Majlis Rantaian Bekalan Kebangsaan ditubuhkan segera bagi menyelaras tindakan yang merentas kementerian dan awam-swasta berkaitan daya tahan perdagangan, kesinambungan logistik dan keselamatan industri.

Beliau berkata majlis itu akan membantu mengenal pasti kelemahan dan menyelaraskan strategi pensijilan, infrastruktur dan tenaga kerja bagi menyokong pengilang dengan lebih baik semasa berlakunya gangguan.

Bagi peringkat serantau pula, Soh berkata persatuan itu memohon kerajaan menggunakan jawatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Rantaian Bekalan ASEAN, yang akan meningkatkan kerjasama serantau dalam memudahkan perdagangan, pendigitalan, dan penyumberan selaras dengan Rangka Kerja ASEAN mengenai Kecekapan dan Ketahanan Rantaian Bekalan.

Beliau juga menekankan gesaan untuk berjaga-jaga dan mengambil langkah perlindungan secara proaktif bagi menangani risiko Malaysia menjadi destinasi bagi eksport yang dialihkan daripada pasaran yang dikenakan tarif AS yang tinggi, terutamanya daripada ekonomi yang menghadapi kadar tarif yang jauh lebih tinggi.

“Pengalihan perdagangan ini boleh mengakibatkan kemasukan barangan import yang berlebihan, meningkatkan persaingan, menekan harga dan menggugat kemampanan ke atas pengeluar tempatan,” jelas Soh.

Bagi mengurangkan isu itu, Soh berkata kerajaan perlu meningkatkan pemantauan kastam dan mekanisme penguatkuasaan untuk mengesan dan mencegah pengisytiharan palsu terhadap asal-usul barangan dan penyalahgunaan dalam penghantaran.

“Pada masa yang sama, kami menggesa pemantauan rapi terhadap trend import dan penglibatan proaktif dengan industri terjejas untuk memastikan pasaran domestik kekal kompetitif dan dilindungi daripada amalan perdagangan yang tidak adil,” katanya.

Soh berkata tempoh penangguhan selama 90 hari itu memberi masa kepada pengeluar Malaysia untuk menilai semula strategi dan berunding dengan pihak-pihak berkepentingan, tetapi penangguhan tarif sebanyak 24 peratus yang asalnya dijadualkan pada 9 April, 2025, tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian muktamad.

“Walaupun tempoh itu memberikan kelegaan jangka pendek dan sedikit ruang taktikal untuk perniagaan melaksanakan semula rundingan kontrak, pelarasan semula harga, kepelbagaian pembekal dan semakan laluan pengangkutan, namun tiada kejelasan berhubung keputusan akhir akan terus membebani keyakinan dalam perniagaan, terutamanya bagi sektor-sektor yang banyak terdedah kepada pasaran AS,” tambah beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bin Zayed Labur US$500 Juta Dalam Projek Kilang Penapisan Bahan Api Penerbangan


KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Bin Zayed International (M) Bhd (BZI) akan melabur US$500 juta untuk membangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan — kemudahan bersepadu pertama di dunia di Pelabuhan Klang — yang akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan bagi pengeluaran bahan api penerbangan bersih.

Pengarah Urusan BZI dan Pengarah Eksekutif Bin Zayed (S) Pte Ltd Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata kilang penapisan ini yang dibangunkan dengan kerjasama FatHopes Energy Sdn Bhd (FHE) dijangka  memulakan pembinaan dalam tempoh 12 bulan selepas mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan dan pencapaian penting projek.

“Jumlah anggaran yang diperlukan bagi kilang penapisan ini kira-kira US$500 juta. Kami akan menaja jamin keseluruhan jumlah ini buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian antara Bin Zayed International dan FatHopes Energy.

Majlis pemeteraian ini disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Projek ini akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan operasi komersial dijangka bermula pada 2029.

Kilang penapisan itu akan disokong oleh stok suapan, atau bahan yang dikumpulkan dalam sistem digital FHE yang akan berperanan sebagai asas untuk kelayakan mengesan yang boleh dipercayai.

Shamir Kumar turut mengesahkan BZI sedang dalam proses untuk memperoleh pegangan ekuiti dalam FHE. Peratusan akhir dan penilaian ini sedang dirundingkan.

“Komitmen kami adalah untuk membiayai keseluruhan pelaburan bagi pembinaan kilang penapisan ini. Keputusan dari segi ekuiti akan dimiliki akan ditentukan sepanjang perkembangan projek ini,” katanya.

Mengenai penglibatannya dalam industri SAF, Shamir Kumar berkata kerjasama ini menandakan penglibatan Bin Zayed yang lebih terperinci dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia dan serantau.

Menurutnya Malaysia menyediakan persekitaran yang sesuai untuk bersaing di peringkat global dari segi pengeluaran SAF.

Ketua Pegawai Eksekutif FHE Vinesh Sinha berkata kilang penapisan ini diwujudkan untuk kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan SAF setiap tahun, yang memerlukan kira-kira 330,000 tan stok suapan.

“Kami kini dalam peringkat kebolehlaksanaan. Kilang ini akan mampu memproses pelbagai bahan buangan dan sisa termasuk minyak masak terpakai,” katanya.

Vinesh menekankan industri ini sangat bergantung kepada mandat kerajaan tetapi menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dengan Bin Zayed akan membantu menangani halangan sedemikian.

“Menerusi Bin Zayed Group, saya yakin kami akan mempunyai akses bukan sahaja di Malaysia. Terdapat operasi yang kukuh di Timur Tengah, iaitu satu lagi wilayah yang serius dalam usaha penyahkarbonan,” katanya.

Sementara itu Nik Nazmi  dalam ucaptama beliau berkata kerjasama ini selaras dengan visi Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam industri SAF.

“Kita mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan campuran SAF sebanyak 47 peratus menjelang 2050, bermula dengan mandat satu peratus. Ia turut menyokong Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia dan Pelan Tindakan Udara Bersih,” katanya.

Kerjasama BZI-FHE ini mencerminkan kepimpinan yang diperlukan untuk Malaysia meneraju sektor tenaga bersih dan pengeluaran SAF.

— BERNAMA