PHB Umum 300 Juta Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) Untuk Langganan


KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)  untuk langganan umum.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata unit itu tersedia bagi bumiputera khususnya di Pantai Timur untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan dengan risiko yang rendah serta sokongan aset hartanah sebenar.

Beliau berkata orang ramai yang berminat untuk melanggan unit AHB boleh berurusan dengan pengedar sah PHB di seluruh negara termasuk cawangan Maybank, Ambank, Ambank Islamic, Bank Islam atau menggunakan platform digital, MyAHB Portal.

“Penawaran 300 juta unit ini ialah unit sedia ada yang kami buka semula kepada individu. Kami fokus kepada individu dan keutamaan diberi kepada rakyat Terengganu.

“Sehingga hari ini AHB telah menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu dan sekitar 19 institusi pelaburan. Sejak dilancarkan pada 2010, sebanyak RM2.32 billion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Beli-Belah Mayang Mall di sini hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pusat beli-belah berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi PHB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

AHB merupakan dana unit amanah patuh syariah yang melabur secara langsung dalam hartanah komersial terpilih di Malaysia bertujuan menyediakan pendapatan yang stabil dan konsisten kepada bumiputera.

Agihan pendapatan AHB diumumkan dua kali setahun selepas dikecualikan cukai dan ditolak daripada zakat.

Pelaburan minimum ditetapkan pada RM100 manakala had maksimum RM1 juta.  

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Rentak Menurun Kembali Rancak

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami tekanan jualan yang hebat pada Khamis apabila jatuh MYR76 untuk ditutup lebih rendah pada harga MYR4,557. Pada awalnya, komoditi ini memulakan sesi dagangan pada paras MYR4,624. Selepas merekodkan paras tertinggi sesi hari tersebut pada MYR4,630, ia terjerumus ke paras terendah intrahari bernilai MYR4,520 dan menutup dagangan pada MYR4,558 dengan corak lilin menurun. Pergerakan harga semasa yang negatif menunjukkan momentum negatif semakin menguat susulan penolakan yang berlaku pada paras rintangan MYR4,700.

Sekiranya momentum menurun berterusan, komoditi ini mungkin akan bergerak lebih rendah untuk menguji paras MYR4,500. Dalam keadaan pasaran menurun, kami menjangkakan paras sokongan menjadi lemah. Pergerakan harga yang menembusi paras sokongan terdekat akan menjejaskan lagi sentimen pasaran dan mendorong harga untuk menurun lebih rendah ke arah paras sokongan berikutnya pada MYR4,390. Setelah memerhati pergerakan harga semasa, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,500 yang diikuti oleh paras MYR4,390. Paras rintangan pertama pula kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,840.