Kerajaan Akan Pastikan Pelaksanaan Tokenisasi, Aset Digital Bersifat Inklusif – PM Anwar


KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan tokenisasi dan aset digital bersifat inklusif.

Dalam satu hantaran di platform media sosial X malam ini, beliau berkata pelaksanaan berkenaan akan turut memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat serta dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan Bilangan 2 Tahun 2025, yang antara lain memberi tumpuan kepada masa depan aset digital dalam pasaran modal negara. 

“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan perkembangan teknologi blockchain, tokenisasi, kriptografi pasca kuantum dan pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) yang menjadi pemacu utama ekosistem digital negara.

“Mesyuarat ini juga turut menjadi medan bertukar-tukar pandangan terkait trend pasaran global, potensi aset digital serta jangkaan prestasi masa hadapan berdasarkan perspektif teknikal daripada rakan strategik,” kata beliau lagi.

Pada 6 Mei, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja untuk produk pasaran modal yang ditokenkan.

Kertas perundingan itu antara lain untuk mendapatkan maklum balas mengenai bidang-bidang utama termasuk kawalan tadbir urus, keperluan rekod dan pendaftaran, pengurusan risiko teknologi serta keperluan tambahan untuk individu berlesen yang berurusan dalam produk pasaran modal token.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Trend Menurun Semakin Menguat Semasa Fasa Mendatar

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan yang mendadak pada hari Jumaat lalu apabila jatuh MYR26 untuk
ditutup pada harga MYR4,480. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras harga MYR4,516. Ia kemudiannya mencatat paras tertinggi intrahari pada MYR4,520 sebelum kegiatan penjualan tinggi berlaku dan mengheretnya ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,460. Ia kemudian menutup dagangan pada paras MYR4,480 dengan membentuk corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan bahawa tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan harga ini menunjukkan komoditi sekarang bergerak ke paras sokongan MYR4,390 dan terus-menerus ditutup di bawah garisan SMA 50 hari. RSI juga masih berada jauh dalam zon menurun yang menandakan rentak menurun adalah kuat dan mungkin akan berlarutan. FCPO sekarang dijangka akan menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana mereka yang menantikan penurunan harga jelas mempunyai kawalan.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi tetap kukuh berada pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390 dan diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sekarang berada pada MYR4,600 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,700.