Kumpulan Pos Malaysia Laporkan Keputusan Suku Kedua Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2025 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan keputusan kewangan S2 TK2025, melaporkan peningkatan positif. Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM441.6 juta bagi suku kedua, manakala Kerugian Sebelum Cukai mengecil kepada RM42.3 juta, mencerminkan peningkatan sebanyak 17.4 peratus.

Walaupun segmen Pos terus menghadapi cabaran akibat kemerosotan struktur, persaingan sengit dan landskap peraturan kurier yang mencabar, Pos Malaysia mencatatkan pertumbuhan jumlah bungkusan yang kukuh hasil daripada penggabungan berterusan operasi mel dan bungkusan. Sementara itu, segmen Runcit mengekalkan prestasi yang stabil dari tahun ke tahun melalui kecekapan operasi, usaha pendigitalan, dan tawaran perkhidmatan baharu yang selaras dengan perubahan tingkah laku pelanggan.

Segmen Penerbangan mencatatkan prestasi kukuh sepanjang suku tersebut, dipacu oleh pertumbuhan dalam pengendalian kargo, katering dalam penerbangan, dan perkhidmatan kejuruteraan, hasil daripada pemulihan trafik udara serantau yang berterusan dan operasi peneraju pasaran.

Prestasi dalam segmen Logistik pula berkurangan, disebabkan oleh permintaan yang lemah dalam sektor automotif dan kargo digabungkan dengan masa henti yang panjang bagi sebuah vesel marin, yang dijangka kembali beroperasi pada awal S3. Walaupun berdepan halangan ini, syarikat terus mempercepatkan strategi pertumbuhan logistik pihak ketiga (3PL) dan meningkatkan kecekapan operasi.

Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia berkata, “Di Pos Malaysia, kami sedang memasuki bab seterusnya dalam perjalanan transformasi kami—yang memberi tumpuan kepada kelestarian kewangan jangka panjang, reformasi peraturan, dan mengembangkan model perniagaan kami untuk memenuhi keperluan dunia yang cepat berubah. Komitmen kami jelas: untuk melaksanakan amanah kami, tanggungjawab sosial kami dan memberikan nilai berkekalan kepada pihak berkepentingan, sambil menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam setiap aspek operasi kami, daripada mengurangkan pelepasan karbon sehingga mempromosikan rantaian bekalan yang bertanggungjawab.”

Beliau menambah, “Kami menyedari cabaran yang dibawa oleh landskap luaran yang sukar dan dinamik, dan oleh itu, prospek bagi baki TK2025 kekal mencabar. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa tumpuan berterusan kami terhadap inovasi, meningkatkan kecekapan operasi, dan menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran akan terus mendorong kemajuan dan mencipta nilai untuk semua.”

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.