Pendapatan Mata Wang Kripto Tertakluk Di Bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 – MOF

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Pendapatan hasil aktiviti urus niaga mata wang digital kripto seperti perdagangan, perlombongan dan pertukaran di Malaysia adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di bawah Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ketika menegaskan perkara itu, Kementerian Kewangan (MOF) berkata ini memandangkan mata wang digital diklasifikasikan sebagai komoditi yang boleh dianggap sebagai pendapatan perniagaan.

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis, MOF berkata penetapan itu juga selaras dengan amalan percukaian antarabangsa dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengeluarkan garis panduan berhubung layanan cukai ke atas transaksi mata wang digital, termasuk pengenaan cukai terhadap pendapatan.

Perkhidmatan digital oleh penyedia tempatan juga dikenakan cukai perkhidmatan di bawah Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018, manakala mulai 1 Jan 2020, cukai perkhidmatan juga terpakai bagi perkhidmatan digital yang dibekalkan oleh penyedia luar negara kepada pengguna di Malaysia (perniagaan kepada pengguna – B2C).

“Langkah ini bertujuan untuk meluaskan asas percukaian serta memastikan layanan percukaian yang setara antara penyedia perkhidmatan tempatan dan luar negara.

“Sehubungan itu, perkhidmatan platform dagangan mata wang kripto yang disediakan sama ada oleh penyedia perkhidmatan tempatan atau luar negara adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan, mengikut syarat dan klasifikasi perkhidmatan yang ditetapkan,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai LUNO Malaysia, sebuah syarikat platform mata wang kripto antarabangsa milik America Digital Currency, boleh menjana pendapatan RM254 juta namun hanya membayar cukai RM3.8 juta untuk tempoh 2019-2024.

MOF berkata LUNO Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2015 dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada 2019, menyediakan perkhidmatan beli, jual dan simpanan mata wang kripto seperti bitcoin dan ethereum, termasuk produk patuh Syariah seperti ‘staking Islamik.’

Bagi jumlah bayaran cukai pendapatan oleh LUNO Malaysia, MOF berkata pengiraan cukai pendapatan syarikat tidak semata-mata berdasarkan keuntungan kasar tetapi pendapatan bercukai selepas mengambil kira perbelanjaan dibenarkan serta tuntutan layanan cukai khusus mengikut peruntukan undang-undang percukaian semasa.

“Jumlah cukai pendapatan yang dibayar oleh mana-mana syarikat dan pembayar cukai merupakan maklumat terperingkat dan tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Penuntukan kerahsiaan ini adalah selari dengan amalan di peringkat antarabangsa bagi memberi keyakinan kepada pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” kata MOF.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.