Pemerkasaan TH Ke Arah Kelestarian Masa Depan

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menjelaskan bahawa inisiatif peremajaan jenama sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukannya sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam di Malaysia.

TH telah ditubuhkan lebih enam (6) dekad lalu sebagai institusi simpanan bagi urusan menunaikan ibadat haji, namun pada hari ini, ia lebih dikenali bagi peranannya sebagai pengurus ibadat haji bertaraf dunia. 

Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten, khususnya apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan Skim Persaraan Swasta (PRS).

“Statistik semasa menunjukkan jumlah pendeposit TH kini berjumlah 9.6 juta orang. Angka ini menunjukkan bahawa masih terdapat 50 peratus daripada populasi Islam di Malaysia yang belum membuka akaun dengan TH.

Lebih membimbangkan, data turut menunjukkan bahawa 53 peratus daripada pendeposit tidak memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM1,300, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk daftar haji,” jelas beliau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad berkata kadar simpanan yang rendah turut memberi kesan apabila kira-kira separuh daripada pendeposit yang menerima tawaran haji setiap tahun terpaksa menolak atau menunda giliran haji mereka walaupun bantuan kewangan haji diberikan.

“Kebanyakan pendeposit yang berkemampuan pula cenderung untuk menyimpan di institusi kewangan lain dan hanya memindahkan bayaran penuh haji ke akaun TH mereka apabila rayuan diterima untuk mengisi kekosongan akibat penolakan tawaran haji oleh pendeposit yang tidak mampu,” tambahnya lagi.

Berdasarkan data dan tren yang membimbangkan ini, TH mengambil langkah proaktif melaksanakan inisiatif peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Ia juga bertujuan meningkatkan tahap simpanan individu, memperkukuh budaya kerja  serta menyediakan perkhidmatan digital moden yang menepati keperluan generasi muda,” katanya lagi.

Inisiatif peremajaan jenama ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan TH sebagai institusi tabungan Islam yang relevan dengan keperluan semasa, seterusnya memastikan umat Islam di Malaysia dapat menunaikan haji dengan lebih terancang dan terjamin.

Ia juga dilaksanakan mengikut polisi dan garis panduan yang ketat dan dipantau oleh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Shariah.

Semua dasar, operasi dan hal ehwal ibadat haji dikawal sepenuhnya oleh pengurusan TH, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Penasihat Shariah dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji.

Previous ArticleNext Article

Tabung Haji Muncul Sebagai Pemegang Saham Utama Dalam Focus Point

KUALA LUMPUR — Lembaga Tabung Haji (TH) muncul sebagai pemegang saham utama dalam Focus Point Holdings Bhd selepas membeli 570,000 saham biasa dalam pengendali rangkaian peruncitan optikal itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Focus Point menyatakan dana tabung haji itu memiliki saham syarikat berkenaan pada 21 Julai, 2026.

Focus Point memaklumkan dana tabung haji itu, yang sebelum ini memegang 4.96 peratus kepentingan, kini menguasai sejumlah 31.078 juta saham biasa, yang mewakili 5.056 peratus kepentingan langsung dalam syarikat berkenaan.

“Peratusan kepentingan itu tidak termasuk 1.34 juta saham biasa yang dibeli semula oleh syarikat dan disimpan sebagai saham perbendaharaan,” tambah syarikat berkenaan.

Daripada jumlah pegangan langsung sebanyak 31.078 juta saham itu, sebanyak 23.18 juta saham didaftarkan di bawah TH, manakala baki 7.90 juta saham, termasuk saham yang baharu dibeli, dipegang menerusi Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd – Lembaga Tabung Haji (Eastspring).

–BERNAMA