Makanan Haiwan, Kacang Soya Mentah Dikecualikan Cukai Jualan – MOF

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) — Makanan haiwan termasuk kacang soya mentah yang merupakan komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan, kini dikecualikan daripada Cukai Jualan atau pada kadar sifar sebagai langkah memastikan kestabilan harga barangan makanan asas seperti ayam, telur dan daging.

Ketika mengumumkannya hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata keputusan itu juga dibuat berdasarkan maklum balas industri bahawa kacang soya merupakan input utama dalam penghasilan makanan haiwan.

Mengikut lampiran MOF, makanan haiwan berkadar sifar cukai jualan adalah jenis yang sesuai untuk penternakan ayam itik, khinzir, udang dan lain-lain (yang tiada dalam senarai).

“MOF mengambil maklum laporan media berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan mentah makanan haiwan.

“Bagi bahan mentah lain yang turut digunakan dalam formulasi makanan haiwan, MOF sedang meneliti isu ini secara menyeluruh, termasuk melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI kekal tekad untuk memastikan dasar percukaian yang lebih adil, mampan dan menyokong daya saing sektor penternakan negara.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian