Bursa Malaysia Tegur Ecobuilt, Denda Dua Bekas Pengarah RM200,000 Seorang

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran awam kepada Ecobuilt Holdings Bhd (ECOHLDS) dan dua bekas pengarahnya berikutan melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Selain itu, dua bekas pengarah berkenaan dikenakan denda sebanyak RM200,000 setiap seorang.

ECOHLDS diberikan teguran awam kerana gagal membuat pengumuman segera berhubung perintah penggulungan bertarikh 24 Julai, 2024 terhadap syarikat berkenaan.

Syarikat itu juga gagal membuat pengumuman segera mengenai rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada 25 Julai, 2024 serta saman dalam kamar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggulungan pada 26 Julai, 2024 yang difailkan di Mahkamah ‘Tinggi.

ECOHLDS juga didapati memutarbelitkan fakta dalam pengumumannya pada 24 Julai, 2024 dan gagal memastikan pengumuman itu berdasarkan fakta, tepat serta tidak palsu atau mengelirukan.

Dua bekas pengarah pada masa berkenaan iaitu Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Ng Choon Keith dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Ong Chee Koen dikenakan penalti kerana membenarkan ECOHLDS melakukan pelanggaran tersebut.

Ng dan Ong masing-masing menerima teguran awam serta denda sebanyak RM150,000 bagi pelanggaran berkaitan kelewatan dan RM50,000 bagi pelanggaran berkaitan putar belit fakta.

Bursa Malaysia Securities berkata keputusan berkenaan dibuat setelah proses sewajarnya diselesaikan dan setelah mempertimbangkan semua fakta termasuk kepentingan serta kesan pelanggaran tersebut terhadap pemegang saham dan pelabur.

“Bursa memandang serius pelanggaran ini kerana pendedahan maklumat material yang tepat pada masanya, lengkap dan tepat merupakan kunci kepada pasaran yang telus, teratur dan adil,” katanya.

Ia juga mengingatkan ECOHLDS dan ahli lembaga pengarahnya tentang tanggungjawab korporat mereka untuk mengekalkan piawaian yang sesuai serta akauntabiliti kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur.

Pada 24 Julai, 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohon an ECOHLDS untuk menangguhkan petisyen penggulungan dan mengeluarkan perintah penggulungan terhadap syarikat tersebut.

Bagaimanapun, ECOHLDS gagal membuat pengumuman segera mengenai perintah penggulungan itu dan selanjutnya memutarbelitkan kenyataan dalam pengumuman 24 Julai iaitu Mahkamah Tinggi mengarahkan penangguhan petisyen penggulungan berkenaan.

ECOHLDS hanya mengumumkan perintah penggulungan pada 29 Julai, 2024 selepas kelewatan selama tiga hari pasaran dan mengumumkan maklumat lanjut mengenai perintah penggulungan seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia Securities pada 30 Julai, 2024 dan 1 Ogos, 2024.

Walaupun perdagangan sekuriti syarikat digantung pada 9 Ogos, 2024, ECOHLDS tidak disenaraikan memandangkan terdapat rayuan dan permohonan penangguhan.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah penggulungan pada 11 Sept, 2024.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Saham vs Sukuk: Mana Lebih Sesuai Untuk Pelabur Baru

Dunia pelaburan pada masa kini semakin berkembang pesat dan menjadi sebahagian penting dalam perancangan kewangan masyarakat, khususnya generasi muda dan pelabur baru. Dengan pelbagai instrumen pelaburan yang tersedia, dua pilihan utama yang sering menjadi pertimbangan ialah saham dan sukuk. Kedua-duanya menawarkan peluang keuntungan, namun berbeza dari segi struktur, risiko, pulangan dan kesesuaian terhadap tahap pengalaman pelabur.

Bagi pelabur baru, pemilihan instrumen pelaburan yang sesuai amat penting kerana ia mempengaruhi kestabilan kewangan jangka panjang. Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang perbezaan antara saham dan sukuk, kaedah pembelian serta risiko yang terlibat adalah keperluan asas sebelum membuat keputusan pelaburan

Apakah itu Saham dan Sukuk?

1. Saham: Pemilikan dalam Syarikat Saham merupakan instrumen yang mewakili pegangan hak milik dalam sesebuah syarikat. Apabila anda membeli saham, anda secara rasminya menjadi salah seorang pemilik syarikat tersebut. Keuntungan pelaburan saham biasanya datang daripada dua sumber utama: kenaikan harga saham (keuntungan modal) dan pembahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham (dividen).

2. Sukuk: pula ialah instrumen pelaburan Islam yang menyerupai bon tetapi mematuhi prinsip Syariah. Ia tidak melibatkan faedah (riba), sebaliknya berasaskan pemilikan terhadap aset atau projek sebenar yang menjana keuntungan. Pelabur sukuk memperoleh pulangan dalam bentuk hasil keuntungan daripada aktiviti perniagaan atau sewaan aset, bukan faedah pinjaman.

Sukuk lazimnya menawarkan pulangan yang lebih stabil dan dapat diramal, menjadikannya sesuai bagi pelabur yang mengutamakan keselamatan modal.

Perbandingan Antara Saham dan Sukuk

Dari sudut pulangan, saham berpotensi memberikan keuntungan yang lebih tinggi, namun turut terdedah kepada turun naik pasaran yang ketara. Sukuk pula menawarkan pulangan yang lebih sederhana tetapi stabil.

Dari segi risiko, saham mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana nilainya bergantung kepada prestasi syarikat dan keadaan pasaran. Sukuk lebih terlindung kerana disokong oleh aset sebenar.

Dari segi kesesuaian, saham sesuai untuk pelabur yang sanggup menerima risiko demi pulangan jangka panjang. Sukuk lebih sesuai untuk pelabur baru yang mengutamakan kestabilan dan perlindungan modal.

Platform Pelaburan untuk Pelabur Baru

Pada masa kini, teknologi memudahkan pelabur baru untuk mengakses pasaran modal hanya melalui telefon pintar. Berikut adalah platform utama yang boleh digunakan di Malaysia:

Platform Membeli Saham: Untuk membeli saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, anda perlu membuka akaun Sistem Deposit Pusat (CDS).

  • Rakuten Trade: Platform digital sepenuhnya yang popular dalam kalangan anak muda kerana kadar komisen yang rendah dan antara muka yang mudah digunakan.
  • Moomoo Malaysia: Aplikasi pelaburan global yang baru memasuki pasaran tempatan dengan menyediakan data pasaran yang sangat terperinci dan alat analisis teknikal yang canggih.
  • Aplikasi Perbankan Tempatan: Bank-bank seperti Maybank (Maybank Trade) dan CIMB (CGS International) juga menyediakan platform dagangan saham yang stabil.

Rakuten menawarkan kadar komisen yang murah di Malaysia:

Moomoo juga menyediakan data:

Platform Membeli Sukuk: Sukuk kini tidak lagi terhad kepada pelabur institusi yang bermodal besar. Pelabur runcit boleh mengakses sukuk melalui:

  • Wahed Invest: Aplikasi pelaburan mikro yang melaburkan wang anda ke dalam dana unit amanah yang mengandungi sukuk dan instrumen pasaran wang lain.
  • FSMOne: Platform yang membolehkan pelabur runcit membeli sukuk korporat atau bon dengan nilai ambang yang lebih rendah.
  • Sukuk Simpanan Rakyat (Negara): Biasanya ditawarkan melalui bank-bank tempatan semasa tempoh tawaran dilancarkan oleh kerajaan Malaysia.

Wahed menyediakan pembelian sukuk:

Strategi Praktikal untuk Pelabur Baru

Bagi individu yang baru bermula, menggabungkan kedua-dua instrumen ini dalam satu portfolio adalah langkah yang bijak. Langkah praktikal yang boleh diambil termasuk:

  • Kepelbagaian :Jangan letakkan semua wang anda dalam satu saham atau satu sukuk sahaja. Agihkan modal untuk mengurangkan impak kerugian jika salah satu pelaburan merosot.
  • Gunakan Modal Kecil: Mulakan dengan modal yang anda sanggup hilang.
  • Pendidikan Berterusan: Sebelum membeli, baca laporan tahunan syarikat (untuk saham) atau prospektus (untuk sukuk). Fahami model perniagaan syarikat tersebut.
  • Pembahagian:Contoh awak meletakkan 40% untuk sukuk 60% untuk pelaburan bagi memastikan keterjaminan duit itu lebih tinggi

Secara keseluruhannya, tiada jawapan mutlak tentang mana yang “lebih baik” antara saham dan sukuk. Ia bergantung sepenuhnya kepada profil risiko anda. Saham adalah instrumen yang sangat sesuai untuk mereka yang mengejar pertumbuhan kekayaan jangka panjang dan sanggup berhadapan dengan turun naik harga yang ekstrem. Manakala sukuk adalah pilihan terbaik bagi pelabur yang mementingkan kestabilan modal dan aliran pendapatan berkala yang tetap.

Bagi pelabur baru, memahami mekanisme kedua-dua instrumen ini adalah kunci utama untuk membina portfolio pelaburan yang holistik dan berdaya tahan. Dengan gabungan pemilihan platform digital yang tepat serta pengurusan risiko yang berdisiplin, pelaburan ini bukan sahaja menjanjikan pulangan kompetitif, malah menjamin kesejahteraan kewangan pada masa akan datang.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Muhammad Ihsan Afsar Bin Jamil dan Prof.Dr.Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Universiti Sains Islam Malaysia