Dalam misinya untuk menyediakan ‘Akses Kewangan Dipermudah’, ShopeePay memangkinkan perkhidmatan kewangan asas melalui kerjasama dengan iFAST Capital Sdn Bhd (“iFAST Capital”) untuk memperkenalkan servis pelaburan yang ringkas dan mesra pengguna bagi membantu rakyat Malaysia memulakan perjalanan pelaburan mereka.
Dengan pelancaran ShopeePay Invest dalam aplikasi ShopeePay dan Shopee, pengguna boleh mula melabur dengan mudah dan jelas, dari hanya RM10 tanpa had pelaburan. Untuk masa terhad, pengguna juga boleh menikmati caj jualan 0% bagi semua pelaburan dana sebagai tawaran pengenalan. Maksudnya, anda boleh mula melabur tanpa sebarang caj tambahan!
Melalui kerjasama dengan iFAST Capital, pengguna ShopeePay Invest kini boleh mengakses peluang pelaburan global melalui 38 dana terpilih. Ini termasuk pasaran antarabangsa dan tempatan, tema sektoral serta pilihan patuh Syariah.
NOTA PENTING: ShopeePay Invest sedang dilancarkan secara berfasa dan akan tersedia untuk semua pengguna pada 29 Oktober 2025.
Pulangan Lumayan Untuk Pelaburan Anda!
Bagi meraikan pelancaran ini, ShopeePay memperkenalkan kempen promosi dengan tawaran hadiah seperti iPad Pro, Apple Watch Series 10 dan kredit e-Dompet ShopeePay. Kelayakan adalah automatik bagi pengguna yang melabur minimum RM500 sebelum 1 Disember 2025 dan mengekalkan pelaburan tersebut sehingga tempoh pegangan berakhir pada 31 Januari 2026.
Berikut adalah butiran kempen:
Kelayakan Penyertaan
Hadiah
Mengekalkan sekurang-kurangnya RM500 dalam pelaburan bersih merentasi mana-mana dana.
x1 Pemenang: Apple iPad Pro 11-incix1 Pemenang: Pembersih Vakum Dysonx1 Pemenang: Apple Watch Siri 10×20 Pemenang: Kredit e-Wallet ShopeePay RM50
Berkongsi mengenai pelancaran ShopeePay Invest, Alain Yee, Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay berkata, “Kami memahami bahawa kesejahteraan dan pertumbuhan kewangan adalah cabaran bagi sesetengah warga Malaysia. Sebab itu, ShopeePay komited untuk memperluas akses kewangan dan memudahkan semua orang untuk mengawal perjalanan kewangan mereka sendiri.”
“Produk ini direka khas untuk membantu pelabur kali pertama memulakan perjalanan pelaburan dengan mudah dan penuh keyakinan. Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk komuniti yang sebelum ini tidak berpeluang untuk berasa lebih yakin untuk meningkatkan kemahiran kewangan mereka. Kami berbangga menjadi titik permulaan dalam perjalanan tersebut.”
Pengguna boleh mengakses ShopeePay Invest melalui laman utama aplikasi ShopeePay, atau di aplikasi Shopee dengan memilih halaman ‘Saya’ > ‘ShopeePay’ di bawah Wallet Saya, yang akan terus membawa mereka ke halaman ShopeePay Invest.
“Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama dengan ShopeePay di bawah inisiatif Recognized Market Operator (RMO),” kata Dennis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif iFAST Malaysia, syarikat induk kepada iFAST Capital. “Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa dan mendidik lebih ramai rakyat Malaysia agar mengambil langkah pertama dalam menyimpan dan melabur, walaupun dengan jumlah permulaan yang rendah. Dengan menggabungkan kemudahan digital dan penyelesaian kewangan yang mudah diakses, kami berhasrat membantu lebih ramai individu membentuk tabiat kewangan yang sihat dan berkekalan. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan syarikat pengurusan dana kami atas sokongan mereka dalam menjayakan inisiatif ini.”
Pelancaran ini menyokong misi ShopeePay ‘Akses Kewangan Dipermudah’, yang bertujuan menjadikan produk kewangan lebih mudah diakses oleh semua. Dengan inisiatif ini, lebih ramai rakyat Malaysia dapat memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan lebih yakin. Untuk maklumat lanjut tentang ShopeePay Invest dan kempen promosi, sila layari https://shopee.com.my/m/shopeepayinvestpromo.
Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.
Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.
Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.
Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu
Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).
Siapakah Securities Commission (SC)?
Sumber gambar: The Malaysian Reserve
Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:
Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:
Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
Meluluskan terbitan bon;
Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.
Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.
Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.
Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.
Ada Syarat Nak Jadi Remisier?
Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.
Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:
Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.
Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.
Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:
Modul 6 dan Modul 7
Modul 6 dan Modul 18
Modul 7 dan Modul 17
Modul 17 dan Modul 18
Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.
Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus
Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?
Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)
Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)
Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.
Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.
Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula
Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.
Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.
Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.
Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.
Yuran Peperiksaan
Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.
Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.
Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.
Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja
Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.
Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!
Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier
1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?
Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?
Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.
3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?
Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.
4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?
Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.
5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?
Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.