ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian