IOI Corp Lantik Bekas Pengerusi Bursa Malaysia Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — IOI Corporation Bhd telah melantik bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa 5 Nov, 2025.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada lembaga pengarah hari ini.

Sebelum ini, Abdul Wahid berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Abdul Wahid turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

Ketika ini, Abdul Wahid merupakan Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia (WWF-Malaysia) dan Yayasan MySDG.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perdagangan Edaran Malaysia Dijangka Cecah 6.1 Peratus Tahun Ini — Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Pertumbuhan perdagangan edaran Malaysia diunjur pada 6.1 peratus dalam 2026 berbanding 5.6 peratus pada 2025 susulan prestasi lebih kukuh tahun ini yang mengatasi jangkaan awal.

Prestasi itu dipacu oleh usaha seperti pengumpulan stok borong, peningkatan harga berkaitan petroleum serta pemulihan dalam jualan kenderaan motor, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu menyatakan pertumbuhan perdagangan edaran turut meningkat kepada 9.4 peratus daripada 7.5 peratus bagi tempoh Januari-Mac.

“Ini merujuk kepada permintaan awal di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan tekanan kos serta ketidaktentuan bekalan.

“Bagaimanapun, prestasi sektor runcit yang lebih sederhana mungkin menandakan momentum asas perbelanjaan pengguna yang mulai kembali normal selepas disokong oleh peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan sebelum ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan lonjakan harga tenaga, ketegangan geopolitik yang ketara serta gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan, berpotensi memberi tekanan ke atas aktiviti penggunaan serta perniagaan dalam separuh kedua 2026.

“Pengukuhan pada masa ini berkemungkinan bersifat sementara dan mungkin tidak lagi mampan dalam bulan-bulan akan datang” katanya.

Selain itu, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2026 berbanding pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan prospek ekonomi yang berhati-hati namun masih kekal optimis.

Petunjuk bulanan termasuk prestasi perdagangan pengedaran lebih kukuh serta pertumbuhan pengeluaran perindustrian pada April yang mengatasi jangkaan menunjukkan aktiviti ekonomi domestik kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026.

“Pemulihan dalam aktiviti motor dan jualan borong hanya menunjukkan sokongan peningkatan kepada pertumbuhan jangka masa terdekat, terutama dalam sektor berkaitan perkhidmatan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran bahawa momentum pertumbuhan akan mengukuh dalam suku kedua sebelum menyederhana dalam separuh kedua jika ketegangan geopolitik terus wujud dan menjejaskan rantaian bekalan.”

— BERNAMA