Kenapa Rumah di Bandar Baru Selayang Berbaloi Untuk Usia 30–40an

Rumah bukan lagi sekadar tempat berteduh tetapi menjadi ruang membesarkan keluarga, tempat menenangkan fikiran selepas bekerja dan aset yang boleh memberi nilai jangka panjang. Ramai mula mencari kawasan yang tidak terlalu padat, mudah diakses, tetapi masih praktikal untuk kehidupan harian.

Ramai yang bekerja di Kuala Lumpur (KL) ada dilema yang sama: nak duduk dekat bandar, tapi harga rumah makin lama makin tak masuk akal. Nak pindah jauh pula, penat hadap trafik sesak setiap hari.

Sebelum membuat keputusan, tiga faktor ini menjadi penentu utama:

  1. Keselamatan: Bebas daripada risiko banjir.
  2. Mobiliti: Laluan keluar masuk yang tidak terperangkap dalam kesesakan teruk.
  3. Praktikaliti: Akses mudah ke kedai dan kemudahan harian.

Di sinilah Bandar Baru Selayang menawarkan kombinasi yang sukar dicari di Lembah Klang. Lokasinya masih dekat dengan KL, perjalanan tak terlalu jauh, tetapi suasananya lebih tenang dan harga hartanah di sini masih dalam jangkauan.

Bandar Baru Selayang terletak di utara Lembah Klang, dalam daerah Gombak. Kedudukannya berada di antara Kuala Lumpur dan Rawang.

Suasana Tenang, Tidak Terlalu Padat

Apa yang membuatkan ramai jatuh hati dengan Bandar Baru Selayang ialah ketenangannya. Walaupun dekat dengan bandar, suasananya tidak sesak dan terasa lebih relaks. Bila masuk kawasan perumahan, bunyi bising makin berkurang dan perjalanan pun lebih terkawal. Saat sampai di rumah, rasa lega itu datang secara semula jadi. Untuk keluarga muda, inilah jenis ketenangan yang sukar dicari di kawasan lain.

Akses Mudah, Termasuk Laluan Ke Shah Alam Melalui LATAR

Walaupun tenang, aksesnya masih sangat praktikal. Untuk ke pusat Kuala Lumpur, perjalanan mengambil sekitar lebih kurang 25 – 30 minit pada waktu biasa menjadikannya masih sesuai untuk mereka yang bekerja di tengah bandar. Bagi yang perlu ke Shah Alam, laluanlebuhraya LATAR sering menjadi pilihan kerana perjalanan lebih terus dan kebiasaannya kurang sesak. Ini memberi kelebihan besar kepada pasangan yang bekerja di lokasi berbeza atau sesiapa yang kerap bergerak di sekitar Lembah Klang tanpa membazir masa di jalan raya.

Dekat Dengan Majlis Perbandaran

Satu lagi kelebihan yang jarang disebut ialah kedudukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang sangat hampir dengan kawasan perumahan di Bandar Baru Selayang. Banyak urusan seperti lesen, aduan, kebersihan dan hal pembangunan setempat boleh diuruskan lebih cepat kerana semuanya berada dalam kawasan yang sama.

Apabila pejabat majlis berada dekat, penguatkuasaan dan pemantauan kawasan biasanya lebih teratur. Ini membantu memastikan kebersihan, perancangan dan keselamatan komuniti sentiasa diberi perhatian, sesuatu yang memberi keyakinan kepada pembeli rumah.

Tidak Termasuk Dalam Kawasan Banjir

Bagi ramai pembeli rumah, isu banjir kini menjadi pertimbangan besar. Kelebihan Bandar Baru Selayang ialah ia bukan kawasan yang sinonim dengan banjir seperti beberapa lokasi lain di Lembah Klang. Kebanyakan kawasan perumahan berada pada paras yang lebih tinggi dan mempunyai sistem saliran yang baik. Walaupun tiada kawasan boleh dianggap 100% kebal dan bebas risiko, sekurang-kurangnya pembeli mendapat sedikit ketenangan fikiran bahawa kawasan ini tidak termasuk dalam zon banjir yang sering dilaporkan.

Harga Yang Masih Masuk Akal Untuk Naik Taraf

Berbanding banyak kawasan berhampiran Kuala Lumpur, harga rumah di Bandar Baru Selayang masih berada dalam kategori “boleh dimiliki”. Bagi mereka yang mahu naik taraf daripada rumah sewa atau unit kecil, kawasan ini membolehkan anda memiliki rumah lebih selesa tanpa menekan komitmen bulanan.

Dekat Dengan Tarikan Alam

Bagi yang sukakan aktiviti luar, tinggal di Bandar Baru Selayang memberi banyak pilihan rekreasi tanpa perlu memandu jauh. Antara tarikan popular berdekatan ialah Selayang Hot Spring, tempat penduduk tempatan berendam air panas untuk relaks bersama keluarga. Tidak jauh dari situ, terdapat Taman Rimba Templer dan Air Terjun Kanching iaitu destinasi popular untuk berkelah, mendaki dan menikmati suasana hutan hijau.

Bagi mereka yang sukakan pengalaman alam yang lebih unik, Forest Skywalk di FRIM menawarkan laluan pejalan kaki di atas kanopi pokok, dengan pemandangan hijau yang jarang didapati di bandar besar. Forest Skywalk atau juga dikenali sebagai Jejantas Rimba itu terdiri daripada beberapa pelantar dengan ketinggian antara 18 hingga 50 meter (m) dan panjang keseluruhan 250m.

Satu lagi tarikan keluarga yang popular ialah 99 Wonderland Park, taman rekreasi berkonsepkan haiwan dan tasik yang sering menjadi pilihan untuk sesi berjalan santai dan aktiviti bersama anak-anak terutamanya pada waktu malam.

Semua tarikan ini menjadikan gaya hidup di Bandar Baru Selayang lebih seimbang. Anda masih bekerja di bandar, tetapi pada hujung minggu masih boleh menikmati alam semula jadi tanpa perlu memandu jauh.

Kemudahan Runcit & Borong Yang Lengkap Dekat Dengan Rumah

Satu lagi kelebihan ialah mudah nak membeli-belah. Di sekitar kawasan ini terdapat pasaraya besar seperti NSK dan Sri Ternak (beroperasi 24 jam) yang terkenal dengan pilihan barangan segar pada harga borong. Untuk keperluan harian, terdapat banyak cawangan 99 Speedmart dan KK Mart. Semua ini menjadikan urusan barangan dapur dan keperluan rumah jauh lebih mudah, tanpa perlu habiskan petrol memandu jauh.

Dalam masa yang sama, jenama runcit moden seperti FamilyMart, MyNews dan CU juga sudah membuka cawangan di sini. Sesuai sangat untuk beli snek, minuman atau makanan siap panas bila perlukan sesuatu yang ringkas.

Menariknya, di celah-celah kedai moden ini, kedai runcit tradisional masih wujud dan berfungsi untuk membeli barang kecil, top-up roti atau telur pada saat-saat terdesak.

Gabungan semua jenis kedai ini menjadikan kehidupan di Bandar Baru Selayang jauh lebih praktikal.

Pilihan Gaya Hidup

Bandar Baru Selayang juga semakin berkembang dari sudut gaya hidup. Di sini sudah ada jenama kafe popular seperti Tealive, Bask Bear, ZUS Coffee dan Kenangan Coffee. Bagi keluarga dan profesional muda, ini memberi pilihan tempat santai untuk melepak, berbincang atau bekerja. Selain itu, pilihan makanan segera pun ada: Marrybrown, KFC dan Domino’s Pizza turut membuka cawangan di kawasan ini.

Dalam dunia hartanah, kehadiran rangkaian F&B terkenal selalunya menjadi petunjuk bahawa kawasan tersebut mempunyai kuasa beli dan komuniti yang aktif.

Di sini, ada beberapa kedai yang memang dikenali ramai, malah ada yang pernah tular di media sosial. Antaranya Restoran Tuuu… Dia Pak Tam, Asam Pedas London, tempat orang datang untuk lauk pauk dan hidangan berat yang memuaskan. Untuk mereka yang memburu pencuci mulut, Suka Dessert pula semakin popular di TikTok dengan jumlah pengikut yang mencecah sekitar 1 juta, menjadikannya lokasi kegemaran keluarga dan anak muda.

Antara perkara yang membuatkan Bandar Baru Selayang rasa “hidup” ialah stadiumnya. Kalau datang pada waktu petang, anda akan nampak orang berjalan-jalan di trek, ada yang jogging dan ada juga ibu bapa yang bawa anak-anak bermain di tepi kawasan padang.

Stadium Majlis Perbandaran Selayang juga menjadi antara venue penting bola sepak negara. Musim 2025 difahamkan PDRM FC memilih stadium ini sebagai gelanggang tuan rumah. Dengan kapasiti sekitar 20,000 tempat duduk, stadium ini sebenarnya sudah lama dikenali dalam kancah bola sepak tempatan. Pernah menjadi gelanggang tuan rumah kepada pasukan seperti Selangor, ATM, Sime Darby dan Felda United.

Pelaburan Yang Realistik, Bukan Sekadar Ikut Trend

Pelaburan di Bandar Baru Selayang bukan tentang mengejar kawasan “hype”. Ia lebih kepada logik: kawasan yang tenang, akses lebuh raya yang baik, kemudahan lengkap dan pembangunan yang berkembang secara stabil. Ramai pemilik memilih untuk tinggal dahulu, kemudian memanfaatkan rumah ini sebagai aset apabila kewangan semakin kukuh sebagai pendekatan yang lebih selamat berbanding membeli semata-mata untuk spekulasi.

Banyak Pilihan Rumah Secondhand

Di Bandar Baru Selayang, majoriti pilihan menarik sebenarnya datang daripada rumah teres secondhand. Ya kebanyakannya sudah berusia, mungkin tidak semoden projek baharu. Selain itu, rumah secondhand sering datang dengan saiz lot dan ruang yang lebih luas berbanding projek baharu yang lebih padat. Dengan sedikit renovasi, ramai pemilik berjaya menjadikannya rumah yang jauh lebih selesa, tetapi pada kos keseluruhan yang masih berpatutan.

Perkara Penting Yang Patut Diteliti Sebelum Membeli Hartanah

Seperti mana-mana pembelian hartanah, beberapa semakan perlu dibuat. Lihat harga transaksi sekitar supaya tidak terlebih bayar. Pertimbangkan jarak ke sekolah, pasar dan kemudahan harian. Semak status pegangan tanah yang mungkin berstatus leasehold. Ini bukan perkara pelik bagi kawasan lama dan matang, tetapi ia memerlukan sedikit semakan tambahan. Pastikan baki tempoh pajakan masih panjang, fahami kos dan proses jika mahu memohon lanjutan pajakan dan bincang dengan pegawai bank tentang kesan kepada pembiayaan.

Langkah-langkah ini membantu memastikan rumah itu selesa didiami dan masih mempunyai potensi nilai jualan semula.

Realiti: Kawasan Berdekatan Pasar Borong

Satu perkara yang sering dikaitkan dengan Selayang ialah Pasar Borong Selayang. Di kawasan ini, memang terdapat ramai pekerja asing, termasuk dari Myanmar yang bekerja dalam sektor borong dan makanan basah. Kehadiran mereka tidaklah sesuatu yang pelik kerana pasar borong memang memerlukan ramai tenaga kerja.

Namun penting untuk difahami bahawa kawasan pasar borong ini lebih tertumpu di zon tertentu, bukan di keseluruhan Bandar Baru Selayang. Kebanyakan kawasan perumahan keluarga berada sedikit jauh dan lebih tersusun

Kesimpulan: Seimbang Antara Hidup & Pelaburan

Jika anda berada dalam lingkungan usia 30–40an dan mencari kawasan yang tenang, tidak terlalu padat, dekat dengan bandar dan mudah diakses, Bandar Baru Selayang memang patut berada dalam senarai pertimbangan. Ia menawarkan keseimbangan yang semakin sukar ditemui hari ini: kualiti hidup yang baik, dengan potensi pelaburan yang masih masuk akal.

Previous ArticleNext Article

Kajian Visa: Rakyat Malaysia Melancong Dengan Tujuan Lebih Jelas — Mengimbangkan Keselesaan, Perancangan Digital dan Keyakinan Pembayaran

Kuala Lumpur – Visa, pemimpin global dalam pembayaran, telah mendedahkan hasil penemuan baharu daripada kajian Tujuan Perjalanan Global 2026 edisi Malaysia, yang mendapati bahawa dalam gelombang kenaikan kos dan persekitaran global yang kian berubah, rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti perlancongan mereka – tetapi melakukannya dengan tujuan yang lebih nyata, mengutamakan destinasi yang lebih dikenali, merancang secara lebih praktikal dan memberikan lebih penekanan terhadap alat digital dan keyakinan pembayaran sebagai sebahagian daripada perjalanan pelancongan masing-masing.

Kajian  yang menjejak corak dan pilihan perjalanan global selama lebih 20 tahun ini, meninjau selidik lebih  daripada 47,000 responden di seluruh dunia, termasuk lebih daripada 17,000 responden di Asia Pasifik dan kira-kira seribu responden di Malaysia.

Melancong lebih dekat, berpandukan matlamat dan pengalaman

Rakyat Malaysia kini semakin cenderung melancong di rantau ini, dengan hampir lapan daripada sepuluh responden (78%) memilih Asia Pasifik sebagai rantau utama untuk dikunjungi. Jepun mendahului sebagai destinasi pilihan utama, diikuti oleh Thailand, Indonesia, China, dan Singapura.

Walaupun faktor kebiasaan merupakan pertimbangan utama, keputusan berkaitan pelancongan kini dibuat lebih berdasarkan tujuan. Tujuan bersantai kekal sebagai dorongan utama (48%), di samping meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan (40%) dan meneroka pengalaman baharu (31%). Kemampuan (36%) dan keselamatan (31%) juga memainkan peranan yang semakin penting untuk membentuk pilihan destinasi. Ini mencerminkan trend yang lebih luas, di mana pelancong kini mengimbangkan keselesaan dengan penerokaan, mengutamakan pengalaman yang bermakna dan terurus.

Pelancongan berasaskan minat juga semakin mendapat perhatian, dengan rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk menghadiri acara global dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, seperti menyaksikan temasya sukan antarabangsa secara langsung, konsert dan pesta seperti Piala Dunia FIFA 2026™, Formula 1™ dan K-Pop — dan sekali gus memperlihatkan pengalaman kini semakin menjadi faktor yang menyokong keputusan pelancongan.

Perancangan digital kini mencorakkan semula cara rakyat Malaysia melancong

Seiring dengan tingkah laku perjalanan yang semakin teliti dan bermatlamat, perancangan perjalanan juga semakin dipacu oleh platform digital.  Rakyat Malaysia menggunakan kaedah yang lebih tersusun — dengan tumpuan utama terhadap penginapan dan pengangkutan, di samping semakan insurans, keperluan visa dan keadaan destinasi sebelum berlepas.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini pantas muncul sebagai sebahagian daripada proses ini, khususnya untuk menentukan keputusan perjalanan di peringkat awal. Dalam kalangan mereka yang menggunakan AI untuk merancang, 58 peratus memanfaatkannya untuk mencari destinasi baharu, manakala 54 peratus bergantung padanya untuk menyediakan jadual perjalanan. Pelancong juga menggunakan AI untuk membaca ulasan dan cadangan, dan juga membandingkan harga, menunjukkan bahawa alat digital bukan sahaja mengoptimumkan perjalanan — tetapi juga merupakan pengaruh yang semakin besar untuk menentukan destinasi pelancong, membantu mereka merancang dengan tahap ketelusan dan keyakinan lebih tinggi.

Selain perancangan, pembayaran juga menjadi sebahagian penting daripada persediaan perjalanan. Pelancong Malaysia secara proaktif menyemak kadar tukaran asing, penerimaan bayaran, keserasian kad dan keselamatan sebelum mereka berlepas — justeru menganggap pembayaran sebagai faktor penentu penting untuk pengalaman pelancongan yang lancar.

Pembayaran digital dan berasaskan kad terus memainkan peranan utama dalam cara rakyat Malaysia membuat pembayaran, dengan dompet mudah alih menjadi kaedah pembayaran yang paling banyak digunakan, manakala kad kekal sebagai alat pembayaran utama. Apabila para pelancong semakin bergantung kepada pilihan ini semasa merentasi sempadan, pembayaran digital yang lancar dan selamat merupakan faktor penting bagi memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk berjalan, berbelanja dan meneroka dengan mudah di mana sahaja mereka pergi.

Merancang keperluan awal, memastikan fleksibiliti di destinasi

Pelancong Malaysia kini lebih strategik daripada segi cara mereka mengatur perjalanan mereka — dengan merancang keperluan lebih awal, sambil meninggalkan ruang untuk keputusan spontan. Penginapan (86%), insurans perjalanan (85%) dan pengangkutan ulang alik ke destinasi (76%) lazimnya ditempah lebih awal, memberikan jaminan sebelum berlepas.

Bagaimanapun, sebaik tiba di destinasi, rancangan pelancong kekal fleksibel. Makan minum, pengangkutan tempatan, dan pengalaman yang ingin dinikmati lazimnya ditentukan lebih hampir atau semasa perjalanan, mencerminkan pilihan mereka untuk menyesuaikan perancangan dalam waktu semasa. Secara keseluruhannya, tingkah laku ini mencerminkan pendekatan terhadap perjalanan yang semakin berubah — perancangan dilakukan untuk membina keyakinan dan sikap fleksibel untuk menambah baik pengalaman pelancongan.

Bagi destinasi pelancongan, perniagaan dan pengeluar, peralihan ini membuka peluang baharu untuk melibatkan pelancong Malaysia dalam seluruh proses perjalanan — daripada inspirasi dan perancangan kepada tempahan dan pengalaman di destinasi. Seiring peralihan yang lebih mengutamakan digital dan berasaskan tujuan, pembayaran lancar dan selamat memainkan peranan semakin penting untuk memudahkan perjalanan — demi mengurangkan kerenah dan memberikan keyakinan kepada pelancong untuk lebih bebas mengembara merentasi sempadan.

“Hasil kajian Tujuan Perjalanan Global terbaharu mengesahkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti pelancongan mereka — sebaliknya mereka merancang dan menikmatinya dengan lebih teliti dan berasaskan tujuan. Kami melihat lebih penekanan terhadap nilai, keselamatan dan pengalaman bermakna, memandangkan pelancong yang mengutamakan digital mengambil pendekatan lebih praktikal terhadap perancangan, dengan sokongan lebih besar daripada alat seperti AI. Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kami dapat memudahkan pelancong di sepanjang perjalanan mereka — daripada penemuan dan perancangan kepada tempahan dan perbelanjaan — supaya mereka boleh meneroka, melakukan apa yang diminati dan mengembara dengan lebih yakin. Di sinilah pengalaman pembayaran yang lancar, selamat dan diterima secara meluas memainkan peranan kritikal, untuk membantu rakyat Malaysia bergerak merentasi sempadan dengan mudah di setiap peringkat perjalanan mereka,” kata Jason Phua, Ketua Pelanggan, Visa Malaysia.

Untuk mendapatkan kajian penuh Tujuan Perjalanan Global atau mengetahui lebih lanjut tentangnya, sila hubungi pasukan Strategi, Risikan dan Analitik Visa Asia Pasifik di APInsights&[email protected].

*Formula 1 ialah tanda dagang berdaftar yang dimiliki oleh Formula One Licensing B.V., anak syarikat Formula One Group.