Dasar Jelas Pacu Keyakinan Pelabur Menjelang 2026

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke tahun 2026 dengan dasar dan pelan hala tuju struktur yang jelas dijangka terus memberi keyakinan kepada pelabur dan menyokong prospek positif ekonomi negara tahun depan, kata penganalisis.

Memasuki 2026, landskap ekonomi Malaysia didukung oleh pelan pembangunan jangka sederhana dan panjang yang menyasarkan transformasi ekonomi bernilai tinggi.

Contohnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada pendigitalan, pembangunan industri bernilai tinggi, mobiliti sosial dan kelestarian.

Tumpuan itu dilihat sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berimpak tinggi.

Sementara dalam sektor perindustrian, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) pula menyasarkan transformasi sektor pembuatan kepada ekosistem berteknologi tinggi dan bersepadu secara digital, dengan fokus kepada automasi, pembuatan termaju serta penciptaan nilai berasaskan teknologi.

Philip Capital dalam nota penyelidikannya berkata, permintaan domestik Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah tekanan luaran dengan penggunaan swasta dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada 2026, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh.

“Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2026, masih sejajar dengan unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

“Inisiatif strategik di bawah RMK-13, yang bertujuan untuk mengukuhkan asas ekonomi, dijangka menyokong pertumbuhan yang mampan dan memperkukuh pasaran ekuiti pada 2026,” katanya.

Di samping itu, Philip Capital berkata, penggunaan platform MyKasih oleh kerajaan untuk menyalurkan bantuan tunai yang disasarkan telah meningkatkan kecekapan subsidi dan mengurangkan ketirisan.

Pada masa sama, katanya, fasa kedua pelarasan gaji kakitangan awam pada Januari 2026 sepatutnya menawarkan sokongan lanjut kepada penggunaan.

“Memandangkan potensi kadar pengangguran yang lebih rendah, penggunaan swasta Malaysia dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada 2026,” katanya.

Dari segi fiskal, Philip Capital berkata, Belanjawan 2026 memperkenalkan langkah untuk mengukuhkan asas ekonomi sambil menetapkan peringkat pelaksanaan RMK13.

Ia berkata, perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM81 bilion nampaknya tidak berubah secara umumnya berbanding RM80 bilion yang disemak pada tahun 2025, mencerminkan usaha untuk mengelak daripada menyesakkan pelaburan swasta dan bukannya menarik balik sokongan terhadap pertumbuhan.

Katanya, dengan pelaburan swasta kekal kukuh, pertumbuhan sederhana dalam perbelanjaan awam tidak mungkin mempengaruhi keseluruhan aktiviti ekonomi.

Menurutnya, infrastruktur kekal menjadi keutamaan utama, disokong oleh projek akan datang seperti LRT Pulau Pinang, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor dan pembinaan jalan raya di Sabah dan Sarawak.

“Ini juga memberikan kerajaan sedikit fleksibiliti fiskal untuk mengurangkan defisit belanjawannya. Defisit fiskal dijangka menurun kepada 3.5 peratus pada 2026 (jangkaan 2025: 3.8 peratus), menghampiri purata lima tahun sebelum COVID-19 sebanyak 3.3 peratus,” katanya.

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian