Simpanan Persaraan Mencukupi Dianggarkan RM1.3 Juta – RM1.5 Juta

Kuala Lumpur: Penanda aras baharu bagi simpanan persaraan yang mencukupi di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta, sejajar dengan realiti kos sara hidup dan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Ekonomi, Centre for Future Studies Berhad, Dr Mohd Yusof Saari berkata, penyelarasan semula dasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi RIA di bawah Belanjawan 2026 adalah langkah perlu bagi memastikan simpanan persaraan benar-benar mampu menyokong kehidupan pada usia tua.

Katanya, peningkatan kos sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang serta perubahan struktur pasaran kerja termasuk pertumbuhan sektor gig menjadikan penanda aras simpanan lama tidak lagi mencukupi untuk menjamin kehidupan persaraan yang selamat dan bermaruah.

“Pendekatan lama yang menganggap simpanan RM1 juta sebagai mencukupi membuka ruang kepada pengeluaran awal yang besar, sekali gus mendedahkan pencarum kepada risiko kehabisan dana ketika usia tua,” katanya.

Beliau menjelaskan, di bawah mekanisme lama, seorang ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta boleh mengeluarkan sehingga RM300,000, meninggalkan baki RM700,000.

“Namun, jika tempoh persaraan mencecah 30 tahun sehingga usia 80 tahun, baki itu hanya menyediakan kira-kira RM1,940 sebulan, jumlah yang semakin tidak sepadan dengan kos sara hidup semasa, apatah lagi apabila mengambil kira inflasi perubatan dan perumahan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mohd Yusof berkata, RIA diperkenalkan bagi membetulkan kelemahan terbabit dengan menyusun semula penanda aras simpanan berdasarkan keperluan sebenar persaraan.

“Simpanan kini diklasifikasikan kepada tahap ‘Asas dan Mencukupi’ dengan pengeluaran awal hanya dibenarkan sekiranya baki simpanan masih mampu menjamin pendapatan minimum persaraan,” katanya.

Menurutnya, bagi ahli yang belum mencapai tahap kecukupan, pengeluaran awal sama ada tidak dibenarkan atau dihadkan secara ketat, contohnya sekitar RM50,000 hingga RM100,000 bagi tujuan tertentu yang benar-benar kritikal.

Beliau berkata, penanda aras baharu bagi simpanan ‘mencukupi’ yang dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta menunjukkan bahawa ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta masih belum mencapai tahap terbabit dan perlu mengekalkan sebahagian besar simpanan bagi melindungi pendapatan persaraan minimum.

“Dari sudut jangka panjang, langkah ini adalah positif dan kritikal memandangkan majoriti pencarum berisiko menghabiskan simpanan lebih awal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Simpanan Asas sekitar RM390,000 pula hanya bersamaan kira-kira RM1,300 sebulan selama 25 tahun, iaitu sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup, bukan kehidupan persaraan yang selesa.

“Tanpa penyelarasan semula ini, tekanan kos sara hidup persaraan akhirnya akan dipindahkan kepada keluarga dan kerajaan, sekali gus mewujudkan beban fiskal serta risiko krisis sosial dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan kesan jangka pendek dasar ini tidak boleh diketepikan kerana kawalan terhadap pengeluaran awal boleh menjejaskan fleksibiliti kewangan, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah yang berdepan kecemasan kesihatan, kehilangan pekerjaan atau kejutan ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kawalan pengeluaran KWSP tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa sokongan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

“Secara prinsipnya, KWSP melindungi masa depan, manakala bantuan sosial melindungi keperluan semasa. tanpa sokongan ini, golongan rentan boleh terperangkap antara keperluan tunai segera dan simpanan persaraan yang dikunci,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan RIA juga bergantung kepada penyepaduan dengan dasar sokongan lain termasuk bantuan kewangan bersasar, perlindungan kehilangan pendapatan, mekanisme kecemasan alternatif selain KWSP serta penyelarasan lebih erat antara KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi kebajikan.

Pada masa sama, katanya usaha meningkatkan gaji, produktiviti dan literasi kewangan perlu diperkukuh supaya rakyat bukan sahaja dilindungi ketika bersara, tetapi juga mampu membina simpanan mencukupi sepanjang kitaran kehidupan bekerja.

— Harian Metro

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.