Tahun Baru Tanpa Azam: Apa Yang Rakyat Malaysia Sebenarnya Mahu Betulkan

Setiap kali tahun baharu tiba, kita sering disajikan dengan naratif yang sama iaitu azam baharu, sasaran lebih besar, gaya hidup luar biasa dan motivation quote. Namun, realiti di Malaysia kini jauh lebih rumit berbanding senarai azam yang cantik di media sosial.

Bagi ramai rakyat Malaysia, tajuk “Tahun Baru” bukan lagi tentang menjadi lebih hebat tetapi tentang berhenti mengulangi kesilapan kewangan yang sama kerana ramai yang terasa tekanan kos hidup makin berat, simpanan tipis, dan hutang rumah tangga semakin membebankan.

1. Realiti Kewangan Isi Rumah: Gaji Kurang Tumbuh, Kos Hidup Meningkat

Kos sara hidup di Malaysia terus menjadi isu utama. Indeks harga pengguna (CPI) meningkat lebih cepat berbanding kenaikan gaji sebenar, dan itu memberi kesan terus kepada kuasa beli rakyat. Dalam tempoh lima tahun, CPI keseluruhan Malaysia naik hampir 10%, dengan harga makanan dan minuman yang melonjak lebih tinggi membantu menunjukkan bagaimana inflasi memakan kuasa beli gaji yang stagnan.

Sementara itu, hampir separuh rakyat Malaysia (sekitar 41%) dilaporkan sukar menabung secara konsisten kerana tekanan perbelanjaan harian, dengan banyak isi rumah terpaksa mengutamakan perbelanjaan cashflow jangka pendek.

Ini menunjukkan bahawa ramai yang bukan sahaja tidak mempunyai lebihan untuk disimpan, tetapi sesetengahnya juga terpaksa berjuang setiap bulan hanya untuk memastikan belanja harian mencukupi.

2. Hutang Isi Rumah dan Risiko Kewangan Yang Menghantui

Salah satu isu paling besar dalam kewangan peribadi rakyat Malaysia ialah hutang isi rumah.

Menurut data rasmi:

  • Jumlah hutang isi rumah Malaysia kini sekitar RM1.65 trilion, bersamaan kira-kira 84.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
  • Dalam erti kata lain, hutang isi rumah dalam negara masih tinggi berbanding banyak negara ASEAN lain, menjadikan leverage domestik sebagai cabaran berterusan.

Walaupun hutang dalam negara ini didapati masih mempunyai buffer melalui aset kewangan keseluruhan isi rumah yang lebih tinggi, nisbah hutang kepada pendapatan masih menjadi faktor risiko apabila berlaku kejutan kewangan seperti hilang pekerjaan, kecemasan perubatan atau kenaikan kadar faedah.

Tambahan pula, jenis hutang yang dominan adalah pinjaman perumahan dan kenderaan, yang membuatkan banyak isi rumah terikat dengan pembayaran tetap setiap bulan.

3. Simpanan & Ketahanan Kewangan: Tidak Mantap

Walaupun kadar hutang boleh diuruskan secara agregat, simpanan peribadi rakyat Malaysia masih kelihatan rapuh.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa:

  • Lebih separuh rakyat Malaysia (sekitar 52%) tiada simpanan kecemasan yang mencukupi jika berlaku kecemasan, mereka perlu menggunakan simpanan bulanan atau bergantung kepada bantuan lain.
  • Simpanan yang mencukupi untuk bertahan beberapa bulan tanpa pendapatan hanya mampu dilakukan oleh sebilangan kecil isi rumah.

Tambahan pula, kajian mendapati ramai pula B40 dan M40 hidup ‘paycheck to paycheck’, dengan hampir separuh mengatakan mereka tidak mempunyai lebihan besar untuk menampung kecemasan sekiranya pendapatan terputus.

Ini menggambarkan bahawa walaupun ada usaha untuk menabung, ketahanan kewangan peribadi masih lemah dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia.

4. Trend Simpanan Menurun di Kalangan Kelas Pertengahan

Satu data menarik menunjukkan bahawa ketahanan simpanan dalam kalangan pendapatan sederhana (M40) sebenarnya berada pada tahap yang merosot:

  • Hanya sekitar 23% daripada kumpulan ini mampu menyimpan lebih RM1,000 sebulan, turun dari sebelumnya.
  • Hampir 47% di antara mereka melaporkan hidup paycheck to paycheck.

Ini bukan hanya angka, ia menunjukkan bahawa walaupun golongan berpendapatan sederhana cuba mengurus kewangan secara aktif, realiti kos hidup dan komitmen bulanan menjadikan penyimpanan jauh lebih sukar daripada sebelum ini.

5. Apa Rakyat Malaysia Sebenarnya Mahu Betulkan pada Tahun Baru Ini

Daripada statistik di atas, kita boleh memahami bahawa rakyat Malaysia tidak lagi mencari azam tahun baharu yang dramatik seperti “jadi jutawan” atau “belajar ilmu kompleks pelaburan”.

Apa yang mereka benar-benar mahu betulkan ialah:

i) Mengurangkan tekanan kewangan bulanan

Alihkan fokus dari mengejar target besar kepada mengurus aliran tunai harian supaya tidak terbelit hutang tidak perlu setiap bulan.

ii) Meningkatkan ketahanan simpanan kecemasan

Bukan sebanyak yang dramatik, tetapi cukup supaya mereka tidak bergantung kepada credit atau bantuan pihak lain bila berlaku krisis kecil.

iii) Elakkan keputusan kewangan emosional

Daripada masuk pelaburan yang tidak difahami atau membeli barang atas FOMO, ramai mahu belajar buat keputusan berpandukan maklumat & disiplin.

iv) Hidup lebih tenang dengan kewangan yang lebih stabil

Bukan lebih kaya, tetapi kurang tertekan apabila berdepan komitmen bulanan, hutang atau keadaan tidak terduga.

Kesimpulannya, tahun baharu bukan tentang transformasi besar. Ia tentang ketahanan kewangan, realisme dan kematangan dalam membuat keputusan jangka panjang bukan sekadar azam yang hilang rentak selepas minggu pertama Januari.

Dalam konteks Malaysia hari ini, perubahan kecil yang berterusan bukannya janji besar yang tidak realistik tetapi adalah langkah paling bermakna untuk membentuk kehidupan kewangan yang lebih stabil, berdaya tahan dan berfokus pada realiti harian.

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari