Buat 4 Perkara Ini Sebelum Beli Kereta Terpakai

Ramai yang bercadang untuk membeli sebuah kereta baru, namun dek kerana harganya yang tinggi telah menyebabkan ramai yang terpaksa menahan diri.  Lantaran itu, ramai yang bercadang untuk membeli kereta terpakai yang memerlukan kos yang lebih rendah.

Zaman sekarang, kereta bukan lagi dilihat sebagai satu kemahuan, namun ianya lebih merupakan satu bentuk keperluan. Berikut adalah 4 perkara yang perlu anda anda lakukan sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai pilihan anda.

1. Tengok Kondisi Kereta

Ini adalah perkara penting yang perlu diutamakan. Mungkin ada di kalangan kita yang masih baru dan tiada pengalaman untuk membuat pemeriksaan tentang keadaan kereta. Sebaiknya, anda membawa kenalan anda atau seorang mekanik yang lebih arif berkenaan kedaaan kereta dan minta mereka lihat dan komen kondisi kereta tersebut.

Utamakan dahulu memeriksa bahagian badan kereta. Ini dapat menentukan sekiranya kereta tersebut pernah mengalami kemalangan atau pun merupakan sebuah kereta banjir.

Kemudian, anda terus memeriksa pada bahagian yang tersembunyi seperti di bawah pelapik bonet belakang, di sekeliling getah pintu dan juga di bawah karpet lantai. Seterusnya anda bolehlah membuat pemeriksaan pada pada bahagian mekanikal agar semuanya berfungsi dengan baik.

2. Pandu Uji Terlebih Dahulu

Jangan pernah sesekali anda membeli sebuah kereta tanpa melakukan pandu uji terlebih dahulu. Sebab bila dah pandu uji, baru anda dapat rasakan prestasi kereta di atas jalanraya yang sebenar, dan bukat setakat gambar di majalah atau pun di online sahaja. Jangan terpedaya dengan gambar yang cantik dan kereta yang berkilat!

Sebelum membuat pandu uji, anda disarankan untuk menghidupkan enjin kereta dengan membiarkannya selama 10-15 minit untuk menguji tahap kesejukan penghawa dingin dan juga radiator.

Bagi kereta dengan transmisi automatik, anda harus tekan brek dan masukkan gear R dan D terlebih dahulu. Manakala untuk kereta manual pula, anda perlu masukkan kesemua gear untuk memastikan kesemua gear terkunci semasa tuil dimasukkan. Sangat penting, kerana kos nak repair gearbox bukanlah murah.

3. Utamakan Kereta Dengan Rekod Servis Lengkap

Tanya kepada pemilik atau dealer kereta terpakai tersebut jika terdapat rekod servis buku log. Setiap kereta yang dibeli akan dibekalkan bersama buku rekod ini dan akan ditandakan oleh pusat servis setiap kali kereta tersebut diselenggara.

Apa barangan yang telah diganti dan dan sejauh mana tahap perjalanan kereta tersebut, semuanya telah dicatat dengan baik. Ini bagi memastikan kereta tersebut dipelihara dengan baik dan diselenggara pada waktu yang ditetapkan.

4. Pastikan Dokumen Lengkap

Ramai yang terlepas pandang bab ini. Sebelum membeli kereta terpakai tersebut, pastikan anda lihat sendiri geran asli. Lihat pada setiap perincian dalam spesifikasi adalah benar dan tepat tanpa sebarang pindaan, terutamanya nombor enjin dan nombor casis. Dah banyak kita dengar kes kereta klon, jadi ambil langkah berhati-hati.

Pada bahagian kolum spesifikasi, ada menunjukkan sebuah kolum kecil yang pada kebiasaanya ditulis ‘’Hak Milik Dituntut Oleh Bank’’. Anda sebagai bakal pemilik kereta tersebut, perlu memastikan kolum tersebut telah mendapat cop ‘’DIBATALKAN’’  daripada pihak JPJ untuk memastikan tiada sebarang sekatan di kemudian hari.

Tunggu, Ada Lagi

Elok juga sekiranya kita baca artikel Ketahui Kos Sebenar Pemilik Kereta Perlu Tanggung barulah kita sedar bahawa beli kereta bukan setakat bayar instalment bulan-bulan di bank, kerana banyak lagi kos yang kita tak nampak sebenarnya. Juga baca 6 Perkara Yang Kita Perlu Tahu Sebelum Mohon Loan Kereta supaya kita lebih jelas tentang proses dan apa yang diperlukan sebelum membuat pembiayaan dengan pihak bank.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.