Kenapa Ramai Dewasa Gagal Urus Wang? Jawapannya Bermula Sejak Zaman Kanak-Kanak

Dalam era kos sara hidup yang semakin meningkat dan cabaran kewangan yang kian kompleks, ilmu pengurusan wang dan pelaburan bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk setiap isi rumah. Malangnya, ramai hanya mula belajar tentang wang apabila sudah bekerja, berhutang, atau berdepan masalah kewangan.

Hakikatnya, pendidikan kewangan sepatutnya bermula lebih awal, dan tempat terbaik untuk memulakannya adalah di rumah. Di sinilah peranan ibu bapa menjadi sangat penting dalam membentuk cara anak memahami, menghargai dan mengurus wang termasuk konsep pelaburan. Tak salah nak ajar anak cara melabur dengan betul sejak kecil sebab ilmu pelaburan ini tidak diajar di sekolah jadi ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak dengan ilmu pelaburan.

Pendidikan Kewangan Bermula Dari Rumah, Bukan Sekadar Di Sekolah

Ramai beranggapan bahawa pendidikan kewangan perlu diajar di sekolah atau universiti. Namun realitinya, contoh dan tabiat yang dibentuk di rumah lebih memberi kesan jangka panjang.

Sebagai contoh mudah, apabila ibu bapa memberi wang saku kepada anak:

“Ayah bagi RM10. RM5 kita simpan dulu, baki RM5 baru boleh guna.”

Ayat ringkas seperti ini sebenarnya mengajar anak konsep keutamaan, disiplin dan perancangan kewangan. Anak mula faham bahawa tidak semua wang perlu dihabiskan, dan menyimpan adalah satu tabiat yang normal bukan paksaan.

Jika amalan ini dilakukan secara konsisten, anak akan membesar dengan pemikiran bahawa:

  • Simpanan itu penting
  • Wang ada tujuan
  • Perbelanjaan perlu dirancang

Ini adalah asas yang sangat penting sebelum anak diperkenalkan kepada dunia pelaburan.

Ramai Dewasa Gagal Urus Wang Kerana Tiada Pendedahan Awal

Statistik menunjukkan ramai individu menghadapi masalah kewangan, hutang berlebihan dan muflis pada usia muda. Salah satu puncanya ialah kurangnya pendidikan kewangan sejak kecil.

Apabila seseorang tidak diajar cara mengurus wang:

  • Mereka cenderung berbelanja tanpa kawalan
  • Tidak memahami perbezaan keperluan dan kehendak
  • Tidak tahu bagaimana wang boleh berkembang melalui simpanan dan pelaburan

Kesannya, apabila mula bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, mereka mudah terjerat dengan hutang, kad kredit dan gaya hidup melebihi kemampuan.

Semua ini sebenarnya boleh dikurangkan jika pendidikan kewangan diterapkan lebih awal oleh ibu bapa.

Mulakan Dengan Akaun Simpanan Dan Konsep “Wang Milik Sendiri”

Langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah membuka akaun simpanan atas nama anak. Ini membantu anak memahami konsep pemilikan wang dan tanggungjawab.

Antara perkara yang boleh diajar:

  • Duit yang disimpan hari ini boleh digunakan di masa hadapan
  • Simpanan akan bertambah dari masa ke masa
  • Wang tidak datang secara percuma, ia hasil usaha dan disiplin

Selain akaun simpanan, ibu bapa juga boleh memperkenalkan instrumen seperti ASB, tabung pendidikan atau pelaburan patuh syariah mengikut kesesuaian umur anak. Tujuannya bukan untuk menjadikan anak pelabur tegar sejak kecil, tetapi memberi pendedahan bahawa wang boleh “bekerja” dan berkembang.

Belum rancang masa depan anak? Ini senarai akaun simpanan dan pelaburan terbaik untuk anak bawah 18 tahun, baca di sini.

Pelaburan Bukan Tentang Untung Cepat, Tetapi Pemahaman Jangka Panjang

Penting untuk ibu bapa menekankan bahawa pelaburan bukan skim cepat kaya. Anak perlu difahamkan bahawa:

  • Pelaburan memerlukan masa
  • Ada risiko dan turun naik
  • Ilmu lebih penting daripada ikut-ikutan

Dengan pendekatan ini, anak akan membesar sebagai individu yang lebih rasional, berdisiplin dan tidak mudah terpengaruh dengan janji pulangan luar biasa.

Buku Dan Bacaan Lebih Bermanfaat Daripada Hiburan Tanpa Nilai

Dalam dunia digital hari ini, anak-anak mudah terdedah kepada hiburan berlebihan seperti permainan video, media sosial dan kandungan tanpa nilai pendidikan.

Ibu bapa boleh mengimbangi perkara ini dengan memperkenalkan:

  • Buku kewangan asas untuk kanak-kanak dan remaja
  • Bacaan tentang simpanan, saham dan pelaburan dalam bahasa mudah
  • Aktiviti membaca bersama dan berbincang secara santai

Buku yang menerangkan konsep seperti apa itu saham, bagaimana syarikat menjana keuntungan, dan bagaimana pelaburan dibuat boleh membuka minda anak sejak awal malah bermanfaat juga untuk ibu bapa sendiri.

Kisah Inspirasi: Minat Pelaburan Bermula Sejak Kecil

Terdapat kisah kanak-kanak di luar negara yang berjaya menjana pulangan pelaburan yang baik pada usia muda, hasil minat, pembelajaran dan sokongan ibu bapa. Walaupun bukan semua anak perlu mencapai tahap tersebut, kisah ini membuktikan bahawa pendedahan awal mampu membentuk keyakinan dan kemahiran kewangan yang luar biasa.

Yang paling penting, anak belajar bahawa:

  • Pelaburan adalah ilmu
  • Kejayaan kewangan boleh dirancang
  • Usaha dan disiplin membawa hasil

Kesimpulan: Bentuk Generasi Celik Kewangan Bermula Dari Rumah

Peranan ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan asas anak, tetapi juga membekalkan mereka dengan ilmu kehidupan yang kritikal, termasuk pengurusan wang dan pelaburan.

Apabila anak dididik sejak kecil:

  • Mereka lebih menghargai nilai wang
  • Lebih berdisiplin dalam berbelanja
  • Lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan

Jika ilmu ini diterapkan dengan betul, anak bukan sahaja tahu bagaimana membelanjakan wang, tetapi juga tahu bagaimana mengembangkan dan menguruskannya dengan bijak.

Dan itulah hadiah terbaik yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak dalam kebebasan kewangan melalui ilmu.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.