SCIB Batalkan Kemudahan Pembiayaan MIDF Susulan Pelupusan Bahagian Pembuatan

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd (SCM) mengeluarkan notis pembatalan kepada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Notis tersebut melibatkan Kemudahan Pembiayaan Berjangka-i sehingga RM 49.0 juta yang sebelum ini diluluskan di bawah Skim Pembiayaan Mudah bagi Automasi dan Pemoden an, kata SCIB dalam satu kenyataan.

Ia berkata pembatalan itu juga susulan pengumuman SCIB pada 2 Okt, 2025 dan 18 Nov, 2025 berhubung cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam SCM kepada Y’IL. Cement (Sarawak) Sdn Bhd.

Pelupusan berkenaan dijangka membuka nilai yang ketara kepada syarikat selain mengukuhkan kedudukan kewangan SCIB, dengan menyediakan baki tunai bersih serta tahap kadar hutang yang lebih rendah.

“MIDF telah mengakui penerimaan notis berkenaan dan mengesahkan pembatalan itu berkuat kuasa mulai 29 Jan, 2026. Setakat 3 Feb, 2026, tiada sebarang pengeluaran atau penggunaan dibuat di bawah kemudahan tersebut dan tiada obligasi kewangan atau obligasi lain yang masih tertunggak berkaitan kemudahan berkenaan,” katanya.

Berikutan cadangan pelupusan SCM itu, lembaga pengarah telah menilai semula keperluan pembiayaan syarikat dan menentukan bahawa kemudahan tersebut tidak lagi diperlukan.

Akibatnya, pembatalan tersebut mencerminkan modal dan struktur operasi syarikat yang dikemas kini berikutan pelupusan cabang pembuatannya.

Pengerusi Eksekutif SCIB Datuk Chong Loong Men berkata pelupusan itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan secara ketara serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan luaran.

“Keputusan ini mencerminkan tumpuan berterusan kami terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kecekapan modal,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Umum Majlis Penasihat Syariah Baharu

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.

Barisan baharu terdiri daripada ahli berikut:

  1. Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar – Senator, Dewan Negara (Lantikan Baharu)
  2. Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali – Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pelantikan Semula)
  3. Dato’ Dr Ashraf Md Hashim – Perunding Syariah (Kewangan Islam) (Pelantikan Semula)
  4. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim – Mufti Pahang (Pelantikan Semula)
  5. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr Haji Anhar Haji Opir – Mufti Selangor (Pelantikan Semula)
  6. Dr Marjan Muhammad – Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF (Pelantikan Semula)
  7. Encik Burhanuddin Lukman – Bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) (Pelantikan Semula)

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa untuk menentukan aplikasi prinsip Syariah untuk perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam (ICM).

Di samping itu, MPS menyokong pertumbuhan pasaran melalui resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah.

MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal pasaran terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan Islam, pasaran modal dan undang-undang.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perkembangan pasaran yang sentiasa berubah, sambil menegakkan prinsip Syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah. “Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM.”

“Komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal Syariah. Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

Bagi pihak SC, Dato’ Faiz merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli MPS yang akan bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM. “Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”

Untuk maklumat lanjut mengenai MPS, sila lawati https://www.sc.com.my/development/icm/shariah/members-of-the-shariah-advisorycouncil