Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Kesan RM1.4 Bilion Pendapatan Tidak Dilapor Hasil Semakan E-Invois

CYBERJAYA –  Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) kekal komited memperkukuh aktiviti pematuhan cukai bagi mengekang ketirisan hasil negara serta memastikan pelaporan pendapatan dilaksanakan dengan betul dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Usaha ini selaras dengan inisiatif memperkasa sistem percukaian negara melalui agenda pendigitalan bagi meningkatkan ketelusan, seterusnya menjadikan penilaian risiko pematuhan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta  e-Invois secara keseluruhan. Perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, HASiL telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian. Lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada HASiL.

Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka. Sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.

Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, HASiL komited memberi sokongan penuh kepada Kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya. Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan. Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pembayar cukai boleh menghubungi HASiL melalui saluran khas e-Invois seperti berikut untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat selanjutnya:

a. Berkunjung ke Pejabat HASiL;

b. Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam);

c. MyInvois Live Chat;

d. E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan

e. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my

Previous ArticleNext Article

LHDN Kenal Pasti 14,858 Pemastautin Cukai Malaysia Dengan Baki Akaun Kewangan Luar Negara Lebih RM10 bilion

Dalam dunia hari ini, duit boleh bergerak ke mana-mana. Akaun bank di luar negara, pelaburan offshore, simpanan di lokasi yang orang selalu anggap “selamat” dan eksklusif seperti Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda… semua itu bukan lagi perkara pelik untuk golongan tertentu.

Ada yang simpan cash dalam akaun luar negara.
Ada yang “park” dalam pelaburan (saham, bon, unit trust, kripto).
Ada juga yang beli rumah atau hartanah di luar negara.
Dan ada yang lebih “kemas” tak guna nama sendiri pun, sebaliknya pegang melalui akaun syarikat atau jadi pemegang amanah (trustee/nominee) untuk akaun orang lain.

Namun, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kini mendedahkan satu dapatan besar.


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara, sejajar usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.

Lebih menarik, akaun kewangan luar negara yang dikenal pasti ini bukan berada di satu dua lokasi biasa, sebaliknya tertumpu di pusat kewangan utama dunia seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda. Nama-nama yang sering dikaitkan dengan akaun luar pesisir dan simpanan bernilai tinggi.

LHDN turut menasihatkan pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan, termasuk pendapatan yang berkait akaun kewangan luar negara, supaya segera tampil secara sukarela bagi membuat pelaporan dan pematuhan sewajarnya.

Ini kerana kegagalan melaporkan pendapatan boleh mengundang penalti serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.

“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas mengenai perkara itu boleh hubungi HASiL contact centre menerusi talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), HASiL live chat dan borang maklum balas menerusi laman rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

Sumber: BERNAMA

Sebenarnya isu ini bukan perkara baharu. LHDN sebelum ini juga pernah melaporkan dapatan berkaitan pemilikan akaun kewangan luar negara, termasuk sekitar tahun 2019 dan 2024. Namun kali ini, pendedahan terbaharu menunjukkan skala yang lebih jelas melibatkan ribuan individu dan jumlah keseluruhan baki akaun berjumlah melebihi RM10 bilion.