
KUALA LUMPUR: Firma teknologi Dagang Nexchange Bhd (DNeX) mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM317.99 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding kerugian RM50.35 juta pada tahun sebelumnya, susulan gabungan rosot nilai berjumlah RM429.5 juta dalam segmen semikonduktor dan tenaga.
Perolehan turut merosot kepada RM1.04 bilion daripada RM1.17 bilion sebelumnya.
“Keputusan pada 2025 termasuk jumlah rosot nilai RM429.5 juta. Kedua-dua rosot nilai aset berkaitan dengan peningkatan nilai saksama yang diiktiraf ketika pemerolehan aset bagi segmen masing-masing dan pelarasan perakaunan bukan tunai,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Bagaimanapun, susut nilai itu tidak mencerminkan sebarang kemerosotan dalam prestasi operasi asas aset tersebut. Kumpulan tetap yakin bahawa nilai dibawa yang disemak semula adalah sesuai dan terus yakin dengan prospek perniagaan kedua-dua segmen,” katanya.
Bagi suku keempat, DNeX turut merekodkan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM270.92 juta berbanding kerugian RM78.93 juta sebelumnya, manakala perolehan susut kepada RM214.94 juta daripada RM303.05 juta pada suku keempat 2024.
Syarikat multinasional yang mempunyai rangkaian perniagaan dalam semikonduktor, tenaga dan teknologi maklumat itu berkata pihaknya kekal optimistik namun berhati-hati terhadap segmen semikonduktor pada tahun semasa.
“Strategi utama kami tertumpu kepada pengembangan kapasiti pengeluaran, mengekalkan kadar penggunaan tinggi dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong keuntungan jangka panjang.
“Pada masa sama, kami giat meneruskan perkongsian strategik untuk merebut peluang daripada penjajaran semula rantaian bekalan yang berterusan serta meneroka landskap perdagangan dan geopolitik yang sentiasa berubah,” katanya.
Bagi sektor tenaga, DNeX memaklumkan keutamaan strategik tertumpu kepada peningkatan kecekapan operasi, disiplin kos dan pengoptimuman portfolio bagi mengukuhkan daya tahan dalam persekitaran harga minyak yang tidak menentu.
“Dengan memanfaatkan sinergi antara operasi huluan dan hiliran, kami membina platform tenaga yang lebih bersepadu dan tangkas, sekali gus meletakkan kumpulan untuk merebut peluang dan menjana penciptaan nilai mampan merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga,” katanya.
– BERNAMA




















