PPB Rugi RM2.73 Bilion Susulan Rosot Nilai Wilmar

KUALA LUMPUR: PPB Group Bhd mencatatkan kerugian bersih RM2.73 bilion bagi tahun kewangan 2025 berbanding keuntungan bersih RM1.21 bilion setahun lalu, susulan pengiktirafan caj rosot nilai sebanyak RM4.17 bilion berhubung pelaburannya dalam Wilmar International Ltd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata rosot nilai berkenaan berpunca daripada perkembangan buruk di Indonesia dan China, termasuk penalti kawal selia serta prosiding undang-undang yang sedang berjalan melibatkan entiti Wilmar, selain peningkatan keperluan pematuhan dan ketidakpastian makroekonomi di pasaran berkenaan.

Dengan pegangan sebanyak 18.8 peratus, PPB merupakan pemegang saham tunggal terbesar dalam Wilmar yang berpangkalan di Singapura, antara pengeluar minyak sawit global dan syarikat perniagaan tani terkemuka.

Perolehan bagi tahun itu meningkat sedikit kepada RM5.43 bilion berbanding RM5.38 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, PPB merekodkan kerugian bersih RM3.18 bilion berbanding keuntungan bersih RM365 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala perolehan susut kepada RM1.34 bilion daripada RM1.43 bilion.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar AS memberi sedikit kelegaan kos kepada pengimport bijirin, namun persekitaran operasi kekal sangat kompetitif.

“Kumpulan akan terus memanfaatkan risikan pasaran dan pengalaman luas dalam pembelian bijirin untuk meningkatkan kecekapan kos sambil memastikan bekalan yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Penambahbaikan operasi dan usaha kemampanan di seluruh kemudahannya kekal menjadi keutamaan dengan tumpuan kepada pengukuhan produktiviti dan daya tahan. Pada masa sama, kualiti produk yang konsisten terus diberi perhatian melalui amalan jaminan kualiti yang mantap.

Kumpulan itu juga akan mengekalkan fokus menyediakan perkhidmatan teknikal serta penyelesaian nilai tambah bagi memacu pertumbuhan jumlah secara berkesan.

Sehubungan itu, lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir 30 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 yang akan dibayar pada Jun 2026. Dengan dividen interim 12 sen sesaham yang dibayar pada 26 September 2025, jumlah keseluruhan dividen dibayar dan perlu dibayar bagi tahun kewangan berkenaan adalah 42 sen sesaham.

– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.