
KUALA LUMPUR: MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) berkemungkinan dikeluarkan daripada konstituen 30 FBM KLCI pada semakan semula separuh tahun FBM KLCI yang akan datang, demikian menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, berdasarkan jangkaannya, peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia itu mempunyai risiko penyingkiran tertinggi, dengan berada di tempat ke-35 setakat 24 Mac 2025.
Menurutnya, KPJ Healthcare Bhd pula berada di tempat ke-36 dengan hanya tiga sen lagi untuk mengatasinya.
Namun, jelasnya, buat masa ini, kemungkinan besar 30 saham mewah teratas semasa akan kekal ‘status quo’ untuk semakan semula pada Jun ini.
“MR DIY akan berdepan penyingkiran jika ia jatuh ke tempat ke-36 atau lebih rendah. Sekiranya itu berlaku, United
Plantations Bhd akan menjadi pengganti yang berkemungkinan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, berdasarkan anggarannya, IOI Corp Bhd menjadi satu-satunya konstituen indeks yang tidak memenuhi keperluan kecairan untuk Jun 2025 (0.036 peratus), Julai 2025 (0.029 peratus) dan Ogos 2025 (0.035 peratus).
Peraturan asas FTSE menghendaki konstituen sedia ada lulus sekurang-kurangnya lapan daripada 12 bulan dengan perolehan median bulanan sekurang-kurangnya 0.040 peratus.
IOI Corp hanya mampu gagal satu bulan lagi ujian kecairan sebelum berisiko dikeluarkan.
Sementara itu, tiada konstituen sedia ada telah naik atau turun ke ambang kedudukan berdasarkan permodalan pasaran pada ketika ini.
Sekuriti hanya akan dimasukkan pada semakan berkala jika ia naik ke tangga ke-25 atau ke atas manakala penyingkiran akan berlaku jika sekuriti jatuh ke tangga ke-36 atau ke bawah.
— Berita Harian










