boAt Memasuki Malaysia, Merancakkan Pengembangan Asia Tenggara Melalui Kerjasama Dengan Opptra

Kuala Lumpur, Malaysia: boAt – jenama audio No. 3 dunia (Sumber: IDC CY 2024) – hari ini mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia, menandakan satu pencapaian penting dalam pengembangan antarabangsa syarikat di seluruh Asia Tenggara. Langkah ini menegaskan cita-cita boAt untuk memperluas kehadiran globalnya serta menembusi pasaran pengguna digital yang berkembang pesat.

Sebagai sebahagian daripada pengembangan ini, boAt telah bekerjasama dengan Opptra, sebuah usaha baharu oleh pengasas bersama Flipkart, Binny Bansal, yang memberi tumpuan kepada membantu jenama pengguna membuka potensi pertumbuhan global dan berkembang dalam landskap runcit yang semakin berorientasikan digital.

Ekonomi digital Malaysia yang semakin pesat, didorong oleh penggunaan e-dagang yang meluas serta peningkatan pengguna celik teknologi, membuka ruang pertumbuhan yang signifikan bagi boAt. Dengan runcit dalam talian terus mempengaruhi corak pembelian, pengguna tempatan kini lebih cenderung kepada produk audio yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga menawarkan nilai dan sesuai dengan gaya hidup aktif harian mereka.

Kemasukan boAt hadir pada masa yang tepat, ketika permintaan terhadap peranti audio peribadi semakin meningkat, dipacu oleh penggunaan mudah alih, penstriman kandungan serta peralihan kepada gaya hidup dan kerja hibrid. Perkembangan ini mewujudkan peluang kepada boAt untuk menembusi pasaran yang berkembang pesat dengan tahap penglibatan pengguna yang tinggi.

Di Malaysia, boAt akan memperkenalkan rangkaian produknya merangkumi fon putik TWS (True Wireless Stereo), fon kepala serta bank kuasa, termasuk siri premium Nirvana yang menawarkan reka bentuk lebih premium dan pengalaman audio yang dipertingkatkan. Antara produk utama yang diketengahkan ialah Nirvana IVY Pro, Nirvana Ion Wireless dan EnergyShroom PB400. Berteraskan falsafah jenama globalnya, Create Waves, rangkaian ini memberi tumpuan kepada prestasi audio yang mantap, ketahanan bateri untuk penggunaan berpanjangan serta teknologi pembatalan hingar aktif yang canggih.

Nirvana IVY Pro menampilkan pengalaman audio yang lebih imersif melalui ciri seperti audio spatial berasaskan Dolby Atmos, Dolby Head Tracking serta sehingga 52dB Adaptive Hybrid ANC. Sementara itu, Nirvana Ion Wireless direka untuk kegunaan sepanjang hari dengan jangka hayat bateri sehingga 120 jam. Melengkapkan rangkaian ini, EnergyShroom PB400 hadir dengan pengecasan pantas dua hala 22.5W serta sokongan pelbagai peranti melalui tiga port output, menawarkan kemudahan tambahan kepada pengguna.

Produk-produk ini kini tersedia di platform e-dagang utama seperti Shopee, dan akan turut ditawarkan di Lazada serta TikTok Shop dalam masa terdekat, sekali gus memastikan capaian yang meluas serta pengalaman membeli-belah yang lancar selaras dengan tingkah laku pengguna tempatan

 Gaurav Nayyar – Ketua Pegawai Eksekutif boAt berkata, “Malaysia merupakan titik kemasukan yang menarik bagi kami ke Asia Tenggara ketika kami mengembangkan boAt ke peringkat global. Dengan asas pengguna muda yang berorientasikan digital serta penerimaan e-dagang yang kukuh, pasaran ini sangat sejajar dengan kekuatan jenama kami. Bersama Opptra sebagai rakan kongsi, kami yakin dapat berkembang dengan pantas sambil kekal relevan kepada pengguna tempatan. Ini hanyalah permulaan, dan kami berharap untuk berkembang ke lebih banyak pasaran di rantau ini dalam masa terdekat.”

Kemasukan boAt ke Malaysia memperkukuh kehadirannya di peringkat antarabangsa, terutamanya di negara-negara yang merupakan sebahagian daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia Selatan, di mana jenama ini terus berkembang dan memperoleh daya tarikan yang kukuh. Langkah terbaharu ini mencerminkan hala tuju jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain global yang terkemuka dalam ruang elektronik pengguna.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk boAt, sila layarihttps://my.boat-lifestyle.com/

Tentang boAt:
Beribu pejabat di India, Imagine Marketing Limited (IML), pemilik jenama “boAt”, menawarkan portfolio produk yang merangkumi peranti audio, peranti boleh pakai pintar, penjagaan diri, aksesori mudah alih dan banyak lagi. Di bawah naungan Imagine, boAt ditubuhkan dan berjaya mengganggu industri audio sehingga menjadi jenama peranti audio boleh pakai No. 1 di negara tersebut (berdasarkan jumlah penghantaran menurut data IDC terkini). Portfolio boAt menawarkan produk yang direka dengan baik, inovatif dan bergaya, berorientasikan gaya hidup, pada harga yang menarik, disasarkan kepada golongan muda serta pasaran yang luas di India. Imagine Marketing telah bekerjasama dengan nama-name global seperti Qualcomm dan Dolby untuk memacu inovasi produknya, dan disokong oleh Warburg Pincus, sebuah dana ekuiti persendirian global, serta Malabar Investments dan Fireside Ventures.

Previous ArticleNext Article

Insurans Kereta Ikut Jarak Pandu: Untung Atau Rugi?

Ada orang menggunakan kereta setiap hari untuk pergi bekerja. Ada pula yang hanya menghidupkan enjin pada hujung minggu. Malah, sesetengah keluarga mempunyai dua buah kereta tetapi hanya menggunakan satu sebagai kenderaan utama.

Persoalannya, adilkah semua pemilik kereta membayar premium insurans kereta berdasarkan kaedah yang sama sedangkan tahap penggunaan mereka berbeza?

Pernah dengar tentang insurans kereta ikut jarak pandu (perbatuan)? Ideanya mudah. Kalau anda pandu sikit, anda patut bayar sikit. Pemandu yang guna kereta tiga kali seminggu tak sepatutnya bayar premium insurans sama dengan pemandu yang setiap hari berulang-alik dari Kajang ke Kuala Lumpur.

Konsep ini nampak menarik, terutamanya kepada pemilik kereta yang bekerja dari rumah, sudah bersara atau mempunyai kenderaan kedua yang jarang digunakan.

Bunyinya macam untung. Tetapi ada satu syarat dalam polisi jenis ini yang boleh menukar keuntungan itu jadi kerugian besar.

Berapa Banyak Anda Boleh Jimat untuk Insurans Kereta?

Pacific & Orient antara yang paling lama menawarkan produk ini di Malaysia menerusi PrOmilej.

Berdasarkan maklumat produk PrOmilej yang diberikan, terdapat tiga kategori penjimatan berdasarkan jarak perjalanan tahunan.

PelanHad perbatuan tahunanPenjimatan premium asas
Pelan 1Kurang daripada 5,000 km40%
Pelan 2Kurang daripada 10,000 km20%
Pelan 3Kurang daripada 15,000 km10%

Peratusan itu dikira atas premium asas, bukan jumlah akhir yang keluar dari poket anda. Cukai perkhidmatan 8% dan duti setem RM10 tetap ditambah selepas diskaun.

Untuk melihat kesannya, katakan premium asas insurans kereta anda ialah RM1,200 setahun.

PerkaraPelan 1Pelan 2Pelan 3
Premium asasRM1,200RM1,200RM1,200
Kadar penjimatan40%20%10%
PenjimatanRM480RM240RM120
Baki premium asasRM720RM960RM1,080

Macam Mana Nak Kira Sama Ada Insurans Kereta Ikut Jarak Pandu Ini Berbaloi?

Ambil contoh premium asas RM1,200 setahun.

Pelan 1 memberi penjimatan RM480. Bunyinya sedap. Tetapi had 5,000km setahun bermakna kira-kira 96km seminggu, atau lebih kurang 14km sehari sahaja.

Untuk pemandu yang berulang-alik 30km pergi balik setiap hari bekerja, jumlah setahun sudah mencecah 7,800km sebelum dikira balik kampung dan cuti sekolah. Plan 1 terus tersingkir. Yang tinggal Pelan 3, dengan penjimatan RM120.

RM120 setahun masih duit. Tetapi ia bukan angka yang dilaung-laungkan dalam iklan.

Allianz pula menawarkan EV EcoMiles khusus untuk kereta elektrik, dengan pulangan tunai sehingga 15% daripada premium asas bersih berdasarkan purata perbatuan tahunan. Beberapa syarikat insurans lain turut mempunyai skim perbatuan rendah masing-masing, tetapi terma dan cara pengiraan berbeza antara satu sama lain.

Penjimatan Milej Insurans Kereta: Syarat yang Perlu Anda Tahu

Bahagian ini penting untuk anda faham sebelum memilih pelan PrOmilej.

Katakan anda memilih Pelan 1 dengan had perjalanan 5,000 km setahun, tetapi penggunaan sebenar melebihi had tersebut.

Jika anda mencapai had perbatuan sebelum tempoh polisi tamat, anda akan diberikan tambahan 500 km sebagai ihsan. Anda juga boleh membeli top-up perbatuan sehingga dua kali.

Namun, jika anda melebihi had perbatuan termasuk tambahan 500 km tersebut tanpa membuat top-up, kereta anda tidak lagi dilindungi untuk kehilangan atau kerosakan sendiri. Selepas itu, hanya perlindungan pihak ketiga yang kekal, bersama manfaat tambahan sedia ada dalam polisi.

Contohnya, anda berjimat RM480 dengan memilih pelan ini. Tetapi pada bulan ke-11, anda terlepas pandang bacaan odometer dan telah melebihi had perbatuan. Tidak lama kemudian, kereta anda terlibat dalam kemalangan. Dalam situasi ini, walaupun anda berjaya menjimatkan RM480, kos membaiki kereta sendiri perlu ditanggung sepenuhnya kerana perlindungan own damage tidak lagi terpakai.

Di sinilah penjimatan itu boleh bertukar menjadi kerugian.

Siapa Yang Sesuai Menggunakan Insurans Ikut Jarak Pandu?

Jadual berikut boleh dijadikan panduan awal:

Kategori penggunaPotensi kesesuaian
Bekerja dari rumahTinggi
Pekerja hibridSederhana hingga tinggi
PesaraBerpotensi tinggi
Pemilik kereta keduaBerpotensi tinggi
Pekerja pejabat yang memandu setiap hariBergantung pada jarak perjalanan
Pemandu e-hailing atau penghantaranPerlu dinilai dengan teliti
Individu yang kerap pulang ke kampungBergantung pada penggunaan

Kerajaan Pun Sedang Mengkaji Model Insurans dan Takaful Dinamik

Konsep insurans berdasarkan perbatuan kini turut mendapat perhatian kerajaan.

Pada 28 Oktober 2026, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji model insurans dan takaful dinamik yang menetapkan harga perlindungan berdasarkan jarak perjalanan dan profil risiko pemandu.

Kajian ini memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos perlindungan untuk pemandu e-hailing.

Namun, model ini masih dalam peringkat kajian dan belum dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa insurans berdasarkan penggunaan kenderaan semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Jadi, Untung Atau Rugi? Patutkah Anda Bertukar Kepada Insurans Ikut Jarak Pandu?

Jawapannya jika anda bekerja dari rumah (Work From Home), mengamalkan sistem kerja hibrid atau hanya menggunakan kereta pada hujung minggu, pelan insurans seperti ini mungkin berbaloi dan memberikan penjimatan.

Sebaliknya, pelan insurans ini mungkin kurang sesuai atau rugi untuk mereka yang berulang-alik ke pejabat setiap hari, setiap minggu pulang ke kampung atau menggunakan kereta untuk aktiviti e-hailing. Lebih-lebih lagi jika anda tidak biasa memantau bacaan odometer.

Sabar, sebelum membuat keputusan untuk bertukar, ada satu langkah mudah yang boleh anda lakukan. Ambil gambar bacaan odometer kereta hari ini dan simpan. Kemudian, ambil gambar sekali lagi apabila tiba tarikh pembaharuan insurans tahun hadapan.

Lepas anda tahu angka sebenar, barulah bandingkan harga. Perbezaan premium untuk kereta yang sama boleh mencecah ratusan ringgit antara syarikat. Platform seperti BJAK menyenaraikan 16 syarikat insurans dan takaful serentak, jadi anda boleh banding insurans kereta sendiri sebelum buat keputusan. Sekurang-kurangnya, anda tidak perlu bersusah payah menyemak setiap laman web penyedia insuran/takaful secara berasingan.

Apa pun pilihan anda nanti, jangan biarkan tawaran penjimatan mempengaruhi keputusan sehingga mengabaikan perkara yang paling penting: perlindungan yang sesuai dengan corak penggunaan dan kemampuan kewangan anda.

Nota: Bagi pembaca Muslim, pilihan perlindungan takaful wajar diberi perhatian. Insurans konvensional dan takaful mempunyai struktur kontrak yang berbeza. Jika anda sedang mencari perlindungan kereta, jangan hanya membandingkan harga insurans konvensional. Semak juga pilihan pengendali takaful, manfaat perlindungan, pengecualian dan terma yang ditawarkan.