“Kaki Shopping” Kini Boleh Jadi “Owner” Mall: Kenali IOI REIT RM7.58 Bilion

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) secara rasmi memulakan langkah besar dalam pasaran modal dengan mencadangkan penyenaraian IOI REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Dengan penilaian aset mencecah RM7.58 bilion, entiti ini bakal menjadi salah satu REIT terbesar di Malaysia, sekali gus mengubah landskap pelaburan hartanah tempatan.

Senang cakap, IOI Properties nak kumpulkan aset-aset “lubuk duit” mereka (seperti mall, hotel dan pejabat) ke dalam satu bakul besar yang dipanggil REIT.

  • Nilai Aset: RM7.58 bilion
  • Status: Bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia
  • Peluang: Bila disenaraikan nanti, pelabur (termasuk kita) boleh beli unit dalam REIT ini untuk dapatkan dividen hasil daripada kutipan sewa mall dan pejabat mereka

Baca juga REIT: Cara Melabur Dalam Hartanah Tanpa Modal Besar dan Deposit

1. Pecahan Portfolio Aset (Retail, Hotel dan Pejabat)

Kekuatan IOI REIT terletak pada kualiti asetnya yang mempunyai kadar penghunian (occupancy rate) yang tinggi dan lokasi strategik. Contohnya bila pergi IOI City Mall Putrajaya pada hujung minggu, nak cari parking pun boleh pening kepala. Itu sebenarnya petanda yang sangat bagus untuk pelabur.

Segmen Retail (Pusat Beli-Belah)

Ini adalah pemacu utama pendapatan bagi IOI REIT:

Nama AsetLokasiBilangan Kedai (Anggaran)
IOI City MallPutrajaya700+ Unit
IOI Mall PuchongPuchong450+ Unit
IOI Mall KulaiJohor140+ Unit

Segmen Hospitaliti & Pejabat

  • Hotel: Termasuk aset berprestasi tinggi seperti Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya dan Palm Garden Hotel.
  • Pejabat: Menara IOI City (Fasa 1 & 2) yang menempatkan pelbagai penyewa korporat gergasi dan agensi kerajaan.

2. Rasional Strategik: Mengapa IOI REIT Penting?

Langkah IOIPG memisahkan aset-aset ini ke dalam REIT mempunyai objektif kewangan yang jelas:

  • Pencairan nilai: Memberi nilai pasaran yang jelas kepada aset hartanah pelaburan IOIPG yang selama ini “tersembunyi” dalam kunci kira-kira syarikat induk.
  • Struktur modal yang lebih ringan’: Hasil daripada penyenaraian ini boleh digunakan untuk mengurangkan hutang korporat atau membiayai projek pembangunan baharu (seperti IOI Central Boulevard di Singapura).
  • Dividen konsisten: Sebagai REIT, entiti ini diwajibkan mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih sebagai dividen kepada pemegang unit, menjadikannya pilihan utama pelabur yang mencari pendapatan pasif.

3. Peluang Pelaburan

Nak buka kedai sendiri dalam mall? Fuh, modal bukan sikit. Deposit saja dah boleh beli sebiji kereta, belum kira stok barang dan gaji pekerja lagi. Memang nampak mustahil untuk orang biasa macam kita.

IOI Properties akan membuka ruang buat kita semua untuk ‘tumpang sekaki’ dalam kejayaan aset mereka. Melalui IOI REIT, anda tidak perlu menunggu jadi jutawan untuk memiliki hartanah sendiri; anda boleh mula membina portfolio ‘tuan tanah’ anda sendiri dengan unit-unit REIT yang sah dan dikawal selia. Juga tak perlu pusing kepala fikir nak jual barang apa, tak perlu upah pekerja dan tak perlu risau kedai laku ke tidak.

1. Bila anda melabur dalam IOI REIT, secara tak langsung penyewa anda adalah jenama-jenama besar dunia yang ada dalam mall tersebut. Mereka ni jarang culas bayar sewa.

2. Bayangkan anda tengah tidur atau tengah bercuti, tapi 700+ kedai di IOI City Mall dan 450+ kedai di IOI Mall Puchong tetap “bekerja” untuk anda. Pada tahun 2025 sahaja, hasil tempat letak kereta daripada aset-aset IOI menyumbang sebanyak RM64.7 juta. Setiap sen sewa yang mereka bayar kepada IOI, sebahagiannya akan diagihkan kepada anda sebagai dividen.

3. Tak perlu RM1 juta dalam bank. Dengan modal serendah beberapa ratus ringgit (harga beberapa unit saham REIT), anda sudah boleh mula membina portfolio hartanah pelaburan sendiri. Anda tambah unit sikit demi sikit setiap bulan, lama-lama jumlah sewa yang anda terima pun makin tebal.

Status Syariah

Untuk melayakkan sesebuah REIT itu mendapat status patuh Syariah, pendapatan daripada penyewa yang menjalankan aktiviti tidak patuh Syariah (seperti bank konvensional, penjualan minuman keras atau insurans konvensional) mestilah tidak melebihi 20% daripada jumlah pendapatan kasar REIT tersebut.

Mereka memiliki banyak hotel (Marriott, Le Méridien) yang biasanya mempunyai jualan alkohol atau pusat hiburan. Jika pendapatan dari bahagian ini terlalu tinggi, ia boleh menjejaskan status syariah.

Kita perlu menunggu prospektus rasmi dikeluarkan nanti. Dalam dokumen itu nanti, akan ada ruangan khas yang menyatakan sama ada Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti meluluskan penyenaraian ini sebagai Islamic REIT atau tidak.

Setakat ini, pasaran kita sudah ada beberapa REIT gergasi yang berstatus tidak patuh Syariah disebabkan komposisi penyewa mereka seperti:

  • IGB REIT (Mid Valley/The Gardens)
  • Pavilion REIT
  • Sunway REIT (Walaupun mereka ada banyak instrumen Islam, status induk masih konvensional atas faktor hotel/pub).

Kalau IOI berjaya jadikan REIT ini patuh Syariah, ia akan jadi “game changer” sebab dana-dana Islam yang besar akan masuk melabur secara agresif.

Sabar dulu, IOI REIT ni masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Suruhanjaya Sekuriti. Anggaplah fasa menunggu ini sebagai waktu terbaik untuk anda mengkaji prestasi mall-mall mereka. Boleh rujuk laporan tahunan IOI Properties.

Risiko Yang Perlu Diperhatikan

Pelabur yang bijak tidak hanya melihat pada potensi keuntungan, tetapi juga perlu realistik dengan cabaran semasa. Ada dua faktor besar yang bakal menguji daya tahan IOI REIT:

  • Kuasa beli menurun: Kalau ekonomi gawat atau orang mula berjimat, jualan kedai mungkin akan terkesan.
  • Krisis tenaga: Menguruskan mall berkeluasan berjuta kaki persegi memerlukan penggunaan tenaga yang sangat besar. Isu tenaga global dan kenaikan tarif elektrik merupakan risiko yang boleh menipiskan margin keuntungan bersih.
  • Saingan E-Commerce: Walaupun “budaya mall” sangat kuat di Malaysia, saingan daripada platform atas talian tetap ada. Strategi IOI untuk menggabungkan elemen pengalaman (seperti taman tema indoor dan gelanggang ais) adalah kunci untuk memastikan mall mereka kekal relevan dan tidak hanya bergantung kepada jualan barangan fizikal semata-mata.

Syarat untuk membeli REIT adalah sama seperti anda membeli saham syarikat di Bursa Malaysia.

Berikut adalah syarat-syarat asas yang anda perlukan:

1. Mempunyai Akaun CDS & Akaun Trading

  • Mestilah berumur 18 tahun ke atas
  • Akaun CDS (Central Depository System): Tempat untuk simpan “geran” digital unit REIT anda.
  • Akaun Trading: Akaun dengan syarikat broker (seperti CGSI, M+ Online, Webull) untuk urusan jual-beli.

2. Mempunyai Modal Pelaburan

  • Minimum belian: 1 lot bersamaan 100 unit.
  • Contoh modal: Jika harga 1 unit REIT ialah RM1.00, maka modal minimum anda adalah RM100 (tak termasuk caj broker/stamping).

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

22 Firma AS Sertai Misi Pelaburan Ke Malaysia, Tinjau Peluang Pelbagai Sektor

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Kira-kira 22 firma Amerika Syarikat (AS) menyertai misi pelaburan di Malaysia, meninjau peluang pelaburan merentasi pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN (US-ABC), Brian McFeeters berkata sektor itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

Beliau berkata syarikat AS pada masa ini sudah beroperasi di Pulau Pinang dan Johor serta meninjau peluang untuk mengembangkan lagi operasi masing-masing.

Antara objektif misi itu adalah mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam aspek seperti permit, kemudahan pengawalseliaan dan menarik bakat atau tenaga kerja untuk mengembangkan operasi.

“Menerusi bantuan yang tepat, kami dapat mempercepatkan lagi pengembangan kami selain meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “ASEAN Trade Strategy” yang dikendalikan oleh hos Gerard Ratnam.

Menurut laman sesawang AS-ABC, misi tiga hari itu bermula pada 12-14 Mei, 2026.

Menjelaskan selanjutnya, McFeeters berkata misi pelaburan yang telah mengunjungi Vietnam, Filipina dan Singapura selain negara-negara ASEAN di masa akan datang, melibatkan penyertaan syarikat baharu dan sedia ada yang berminat mengembangkan operasi mereka.

“Menerusi sokongan yang tepat, kami dapat mempercepatkan pengembangan operasi dan memperdalam pelaburan kami di Malaysia,” katanya.

McFeeters berkata AS-ABC turut mengatur mesyuarat dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Pendidikan Tinggi: Kementerian Digital selain Khazanah Nasional Bhd.

Beliau berkata misi itu juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesi mesyuarat itu, katanya, dapat memberi peluang kepada firma terbabit meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia selain mengukuhkan hubungan dalam sektor berkaitan.

Pada masa sama, misi itu juga berharap dapat membantu dari segi memudah cara perniagaan AS beroperasi di Malaysia. “Misi ini juga menunjukkan perniagaan AS kekal komited terhadap pasaran ASEAN walaupun dalam ketidaktentuan semasa, termasuk membabitkan tenaga dan persoalan melibatkan tarif,” katanya.

Data laman sesawang Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menunjukkan perdagangan Malaysia dan AS dianggarkan bernilai US$88.5 bilion (US$1 = RM4.92) pada 2025.

Eksport AS ke Malaysia pada tahun lepas berjumlah US$28.9 bilion atau meningkat 4.5 peratus daripada US$1.2 bilion pada 2024 manakala import AS ke Malaysia pula berjumlah US$59.7 bilion pada 2025 iaitu peningkatan 13.7 peratus daripada US$7.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, AS-ABC turut memperkenalkan satu pelan strategik “Advancing ASEAN: A Strategic Action Plan Supporting The Philippines 2026 Chairship” sebagai cadangan dasar yang boleh memberi manfaat kepada ASEAN serta perniagaan AS.

Pelan itu antara lainnya menggariskan cadangan sektor swasta AS-ABC yang dirangka dengan kerjasama ASEAN-BAC Filipina dan terhasil daripada pertukaran pandangan dengan kerajaan Filipina yang melibatkan lima tonggak strategik.

“Asas pelan itu adalah daripada lima kertas perbincangan dengan setiap satunya dibincangkan dalam sesi meja bulat khusus dari Mac hingga April 2026 bersama agensi kerajaan, rakan sekutu pembangunan dan masyarakat awam.

“Ini bukan bertujuan menyelesaikan keseluruhan agenda dengan satu tahun kepengerusian, sebaliknya mewujudkan asas-asas institusi dan menghasilkan kerja-kerja teknikal yang boleh diteruskan oleh kepengerusian Singapura pada 2027 dan seterusnya Thailand pada 2028,” menurut AS-ABC.

— BERNAMA