Lebih 70 Peratus Depoh Pengadun Sedia Laksana Biodiesel B15 Guna Fasiliti Sedia Ada – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.

“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.

“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.

Akmal Nasrullah berkata, beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.

“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel berkenaan.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO menyusut MYR45 untuk ditutup lebih rendah pada paras MYR4,450 apabila ia kembali memasuki fasa pengukuhan. Komoditi ini memulakan sesi dagangan hari Jumaat pada harga MYR4,491. Ia mencapai paras tertinggi sesi sebanyak MYR4,521 dan paras terendah intrahari bernilai MYR4,443 sebelum menutup dagangan pada harga MYR4,450. Pergerakan harga yang negatif sekarang menunjukkan komoditi ini bakal menguji paras sokongan terdekat bernilai MYR4,400.

Selagi paras sokongan ini terus kukuh, komoditi ini akan melantun semula dan bergerak ke arah paras rintangan terdekat pada harga MYR4,800. Walaupun momentum pergerakan menurun sekarang, keadaan pasaran secara keseluruhannya masih menaik. Komoditi ini terus diniagakan di atas kedua-dua garisan SMA 50 hari dan 200 hari. Selepas fasa pengukuhan berakhir, ia mungkin akan menyambung semula pergerakan menaik. Buat masa sekarang, kami terus berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang sepatutnya terus mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal sekarang ialah MYR4,400, diikuti oleh paras sokongan seterusnya pada MYR4,250. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,800 dan disusuli oleh paras MYR4,925.