UUE Holdings: Buku Pesanan Memperkukuh Kebolehlihatan Perolehan

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR0.54 dikekalkan, potensi kenaikan harga 23%

Perolehan teras yang dicatat oleh UUE Holdings untuk FY26 (Feb) melangkaui jangkaan kami sedikit (106%) dan mengatasi ramalan konsensus (110%). Buku pesanan belum bayar berjumlah MYR536.4j memberikan kebolehlihatan perolehan melebihi tempoh dua tahun. Kami tetap memandang positif akan UUE, diperkukuh oleh CAGR perolehan tiga tahun mencecah 29% (FY26-29F), yang dipacu oleh kitaran menaik capex dalam Tenaga Nasional (TNB MK, BELI, TP: MYR16.50) dan SP PowerAssets

Keputusan melangkaui jangkaan

UUE melaporkan untung bersih teras 4QFY26 (Feb) bernilai MYR7.3j (+15% QoQ, +1% YoY), lalu membawa untung bersih teras FY26 kepada MYR22.1j (-1% YoY). Keputusan dilihat mengatasi jangkaan pada 106% ramalan kami dan 110% ramalan konsensus, terutamanya didorong oleh margin yang lebih kukuh daripada yang dijangka.

Rumusan keputusan

Pengebilan 4QFY26 daripada segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah dilihat lebih rendah sedikit berbanding suku lalu (-5% QoQ, +30% YoY) akibat kurangnya kegiatan pembinaan semasa tempoh perayaan. Walaupun begitu, margin kasar berkembang kepada 27.4% (+2.3ppts QoQ), disokong oleh pengebilan lebih tinggi di Singapura (+4% QoQ), dan sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembuatan dan perdagangan (+35% QoQ). Tekanan kos jelas dilihat, dengan belanja pentadbiran meningkat kepada MYR5j (berbanding kadar suku tahun biasa sekitar MYR4.5j)

Buku pesanan belum bayar mencecah MYR536.4j

Jumlah ini termasuklah kontrak EPCC yang baru diraih bernilai MYR16j, yang kami anggap penting dari segi nilai strategiknya kerana ia menandakan keupayaan UUE untuk menaiki rantaian nilai. Sementara itu, MoU dengan syarikat ASEAN Cableship, yang melibatkan potensi usaha sama (JV) untuk kerja penggerudian arah mendatar (HDD) dalam laut, telah tamat tempoh. Namun begitu, kami tidak begitu bimbang kerana UUE masih boleh menyertai tender-tender dalam laut secara bebas, lantas berpotensi mendapatkan bahagian untung penuh berbanding struktur 50:50 yang dicadangkan sebelum ini.

Anggaran perolehan

Kami rendahkan perolehan FY27-FY28F sebanyak -3% dan -13% disebabkan oleh penyelarasan masa pengiktirafan buku pesanan. Meskipun begitu, kami kekalkan andaian penambahan kontrak tahunan pada MYR320j, yang kami percaya dapat dicapai memandangkan kedudukan UUE yang kukuh dalam projek-projek melibatkan TNB, tumpuan khususnya dalam segmen 11kV dan 33kV yang berpermintaan tinggi di Malaysia, pendedahan kepada kitaran capex SP PowerAssets di Singapura, dan usaha-usaha yang sedang dilaksanakan untuk menaiki rantaian nilai. TP kami diperoleh berdasarkan asas separa tercair (912j saham dan skim pilihan saham pekerja (ESOS) sebanyak 89.8j pada MYR0.54), dengan kiraan diskaun ESG 4%. Mengikut asas tercair penuh (dengan waran), TP kami adalah sekitar MYR0.48.

Risiko-risiko negatif

Kegagalan untuk memperoleh kontrak baharu, kelewatan dalam mendapatkan kelulusan permit, dan kos bahan mentah lebih mahal daripada anggaran.

Faktor Pemacu Utama

i. Kadar penambahan buku pesanan yang lebih tinggi daripada yang dijangka
ii. Pengembangan margin

Risiko Utama

i. Penambahan kerja yang lebih perlahan daripada yang dijangka
ii. Kelewatan projek yang tidak diduga
iii. Kos berlebihan

Profil Syarikat

UUE ialah sebuah pusat penyelesaian sehenti yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan utiliti
menyeluruh kepada pelanggan, termasuklah perancangan dan pengurusan projek, pengesanan dan pemetaan utiliti, dan kepakaran teknikal penggerudian arah mendatar (HDD).

Carta Saranan

Penganalisis
Eddy Do +603 2302 8125 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.