
KUALA LUMPUR: Padini Holdings Bhd dan lima anak syarikat tempatan miliknya adalah antara syarikat yang mempunyai 21 akaun bank dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak rakan niaga luar.
Kebanyakan akaun yang dibekukan adalah di bawah Padini Corporation Sdn Bhd dengan tujuh akaun, diikuti oleh Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd dan Padini Dot Com Sdn Bhd dengan masing-masing empat akaun.
Padini Holdings Bhd mempunyai tiga akaun dibekukan, manakala Vincci Ladies’ Specialties Centre Sdn Bhd mempunyai dua akaun dan Seed Corporation Sdn Bhd mempunyai satu akaun.
“Tiada satu pun anak syarikat di atas merupakan anak syarikat utama seperti yang ditakrifkan di bawah keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd,” kata Padini dalam satu makluman kepada bursa.
Padini Corporation, Yee Fong Hung dan Seed Corporation merupakan pengedar pakaian dan produk berkaitan; Vincci Ladies’ Specialties Centre memberi tumpuan kepada kasut dan aksesori wanita, manakala Padini Dot Com mengendalikan perniagaan dalam talian kumpulan.
Secara keseluruhan, Padini mempunyai 11 anak syarikat milik penuh — lapan di Malaysia dan tiga lagi di Kemboja, Thailand dan Hong Kong.
Pada 24 April lalu, Padini memaklumkan bahawa SPRM membekukan beberapa akaun banknya dan anak syarikat yang berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut peruncit pakaian itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, akaun terbabit dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
“Syarikat ini sedang membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan, dan akaun yang terjejas tidak digunakan secara aktif untuk operasi harian kumpulan itu,” kata Padini.
Sehari selepas itu, Padini memaklumkan ia memulakan semakan dalaman bagi menilai keadaan berhubung pembekuan beberapa akaun bank berkenaan.
Ia memaklumkan, berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, perintah berkenaan dikeluarkan oleh SPRM berhubung siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak ketiga luar kumpulan, yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.
— Berita Harian


































