Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

22 Firma AS Sertai Misi Pelaburan Ke Malaysia, Tinjau Peluang Pelbagai Sektor

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Kira-kira 22 firma Amerika Syarikat (AS) menyertai misi pelaburan di Malaysia, meninjau peluang pelaburan merentasi pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN (US-ABC), Brian McFeeters berkata sektor itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

Beliau berkata syarikat AS pada masa ini sudah beroperasi di Pulau Pinang dan Johor serta meninjau peluang untuk mengembangkan lagi operasi masing-masing.

Antara objektif misi itu adalah mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam aspek seperti permit, kemudahan pengawalseliaan dan menarik bakat atau tenaga kerja untuk mengembangkan operasi.

“Menerusi bantuan yang tepat, kami dapat mempercepatkan lagi pengembangan kami selain meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “ASEAN Trade Strategy” yang dikendalikan oleh hos Gerard Ratnam.

Menurut laman sesawang AS-ABC, misi tiga hari itu bermula pada 12-14 Mei, 2026.

Menjelaskan selanjutnya, McFeeters berkata misi pelaburan yang telah mengunjungi Vietnam, Filipina dan Singapura selain negara-negara ASEAN di masa akan datang, melibatkan penyertaan syarikat baharu dan sedia ada yang berminat mengembangkan operasi mereka.

“Menerusi sokongan yang tepat, kami dapat mempercepatkan pengembangan operasi dan memperdalam pelaburan kami di Malaysia,” katanya.

McFeeters berkata AS-ABC turut mengatur mesyuarat dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Pendidikan Tinggi: Kementerian Digital selain Khazanah Nasional Bhd.

Beliau berkata misi itu juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesi mesyuarat itu, katanya, dapat memberi peluang kepada firma terbabit meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia selain mengukuhkan hubungan dalam sektor berkaitan.

Pada masa sama, misi itu juga berharap dapat membantu dari segi memudah cara perniagaan AS beroperasi di Malaysia. “Misi ini juga menunjukkan perniagaan AS kekal komited terhadap pasaran ASEAN walaupun dalam ketidaktentuan semasa, termasuk membabitkan tenaga dan persoalan melibatkan tarif,” katanya.

Data laman sesawang Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menunjukkan perdagangan Malaysia dan AS dianggarkan bernilai US$88.5 bilion (US$1 = RM4.92) pada 2025.

Eksport AS ke Malaysia pada tahun lepas berjumlah US$28.9 bilion atau meningkat 4.5 peratus daripada US$1.2 bilion pada 2024 manakala import AS ke Malaysia pula berjumlah US$59.7 bilion pada 2025 iaitu peningkatan 13.7 peratus daripada US$7.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, AS-ABC turut memperkenalkan satu pelan strategik “Advancing ASEAN: A Strategic Action Plan Supporting The Philippines 2026 Chairship” sebagai cadangan dasar yang boleh memberi manfaat kepada ASEAN serta perniagaan AS.

Pelan itu antara lainnya menggariskan cadangan sektor swasta AS-ABC yang dirangka dengan kerjasama ASEAN-BAC Filipina dan terhasil daripada pertukaran pandangan dengan kerajaan Filipina yang melibatkan lima tonggak strategik.

“Asas pelan itu adalah daripada lima kertas perbincangan dengan setiap satunya dibincangkan dalam sesi meja bulat khusus dari Mac hingga April 2026 bersama agensi kerajaan, rakan sekutu pembangunan dan masyarakat awam.

“Ini bukan bertujuan menyelesaikan keseluruhan agenda dengan satu tahun kepengerusian, sebaliknya mewujudkan asas-asas institusi dan menghasilkan kerja-kerja teknikal yang boleh diteruskan oleh kepengerusian Singapura pada 2027 dan seterusnya Thailand pada 2028,” menurut AS-ABC.

— BERNAMA