Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.