Bank Negara Dijangka Kekalkan OPR Hingga Ke Akhir Tahun – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dikekalkan pada paras 2.75 peratus sehingga penghujung tahun ini berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, inflasi yang masih terkawal serta pendirian berhati-hati Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menilai perkembangan ekonomi global, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis berpandangan, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan OPR pada mesyuarat keempat tahun ini mencerminkan keyakinan bank pusat terhadap daya tahan ekonomi domestik, di samping memberi ruang untuk memantau risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan perdagangan global.

Ketua Penganalisis CIMB Treasury and Markets Research, Michelle Chia, berkata kenyataan dasar monetari BNM pada Julai menunjukkan nada yang lebih positif terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara berbanding mesyuarat terdahulu pada Mei.

Beliau berkata, penilaian lebih konstruktif terhadap sektor luaran memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran rasmi antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

Katanya, keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dibuat ketika inflasi bagi lima bulan pertama 2026 terus terkawal, manakala permintaan domestik serta prestasi eksport yang kukuh terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

“BNM dilihat lebih yakin terhadap prospek ekonomi negara selepas mengambil kira prestasi eksport yang memberangsangkan serta kekuatan permintaan domestik, walaupun ketidaktentuan luaran masih wujud,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

CIMB Treasury and Markets Research turut menyatakan walaupun konflik di Asia Barat masih menjadi risiko kepada rantaian bekalan global, perkembangan rundingan antara AS dan Iran serta penyusutan harga minyak dunia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan terhadap prospek inflasi global.

Firma itu juga menjangkakan pendirian dasar monetari BNM akan terus bersifat neutral kerana inflasi kekal sederhana, sekali gus tidak mewujudkan keperluan mendesak untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin menjangkakan BNM akan terus mengekalkan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dengan OPR dikekalkan pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026.

Beliau berkata, pendirian dasar monetari semasa masih sesuai bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan sambil memastikan tekanan inflasi kekal terkawal.

Katanya, ekonomi Malaysia terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat serta prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global.

TA Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 4.3 hingga 4.7 peratus bagi 2026, sejajar dengan sasaran rasmi kerajaan.

“Walaupun pertumbuhan dijangka sederhana sedikit pada separuh kedua tahun ini berikutan kesan asas yang lebih tinggi serta normalisasi permintaan luaran, keseluruhan prestasi ekonomi dijangka kekal berdaya tahan.

“Inflasi pula terus terkawal dengan purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing sebanyak 1.7 peratus dan 2.1 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi ruang kepada BNM mengekalkan pendirian dasar monetari semasa,” katanya.

Farid berkata, bank pusat dijangka terus bergantung kepada data ekonomi semasa dalam menentukan hala tuju dasar monetari, sambil memantau rapat perkembangan inflasi, pertumbuhan ekonomi dan risiko luaran sebelum mesyuarat MPC seterusnya pada 3 September ini.

— Berita Harian

Previous Article

Harga Minyak Tertinggi Dalam Dua Minggu Selepas Trump Ancam Lancar Satu Lagi Siri Serangan Ke Atas Iran

BEIJING: Harga minyak meningkat hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap Iran, sekali gus menjejaskan harapan untuk menamatkan perang Iran serta pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global sebelum perang.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 78 sen, atau satu peratus, kepada AS$78.80 setong setakat jam 0054 GMT.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 74 sen, atau 1.01 peratus, kepada AS$74.26 setong.

Kedua-dua penanda aras minyak mentah, Brent dan WTI, melonjak lebih AS$1 dalam dagangan selepas penutupan pasaran pada Rabu susulan tentera AS memulakan serangan baharu ke atas Iran.

Sebelum itu, kedua-dua penanda aras berkenaan ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua minggu selepas Presiden AS, Donald Trump, mengancam untuk melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran seawal malam Rabu.

Tentera AS memaklumkan bahawa serangan terbaharu itu bertujuan memastikan laluan di Selat Hormuz kekal terbuka kepada trafik perkapalan, hanya beberapa jam selepas Donald Trump mengisytiharkan bahawa perjanjian sementara untuk menamatkan perang telah ‘berakhir’.

Penganalisis IG, Tony Sycamore, dalam satu nota berkata bahawa peningkatan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz sejak beberapa minggu lalu dijangka terhenti buat sementara waktu, berikutan pemilik kapal dijangka mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

AS berkata, serangan terbaharu itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pada Selasa ke atas tiga kapal tangki minyak yang sedang melalui Selat Hormuz.

Serangan AS itu turut menggegarkan beberapa bandar di pesisir selatan Iran dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Iran pula memaklumkan pada Rabu bahawa ia telah menyerang pangkalan tentera AS di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu AS ke atas infrastruktur negara itu.

Sumber industri insurans semalam berkata bahawa beberapa syarikat penanggung insurans risiko peperangan telah menasihatkan syarikat perkapalan supaya menghentikan sementara pelayaran melalui Selat Hormuz, manakala syarikat lain sedang mengkaji semula syarat polisi mereka susulan serangan baharu Iran terhadap kapal-kapal di kawasan berkenaan.

-Reuters