Biasa Dengar Money Laundering? Apa Dia Sebenarnya?

Kita sering dengar perkataan money laundering atau penggubahan wang haram. Ada yang mengenalinya melalui filem-filem dan ada juga melalui laporan akhbar. Ianya sering dikaitkan dengan aktiviti ‘underground economy’ atau tidak bermoral seperti hasil jualan dadah, pelacuran, perjudian, pemerdagangan manusia, duit rasuah dan sebagainya.

Dapat hasil yang haram, kenalah cuci dulu wang tersebut bagi dia bersih. Analogi paling senang adalah kita masukkan wang yang ‘kotor’ ke dalam mesin basuh. Selepas ianya dicuci buat seketika, keluarlah wang yang ‘bersih’. Nama pun laundering, ada baur-baur laundry di situ yang bermaksud kedai dobi.

Definisi Penggubahan Wang Haram

Untuk itu, kita ambil sedikit sedutan daripada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sumber: Bank Negara Malaysia

Bagi kesalahan mengikut seksyen 4(1) AMLATFA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai perolehan aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Begitu terperinci sekali definisi penggubahan wang haram ini. Maklumlah, ayat yang digunakan semua ayat-ayat yang digunakan peguam. Bagi orang biasa nampak seperti tak jelas, tapi bagi siapa yang faham undang-undang pasti ianya jelas sekali.

Biasanya kalau Bank Negara dah mula siasat, maka benda pertama yang akan kena beku adalah akaun bank. Kalau ada 10 akaun, semuanya akan dibekukan sehingga siasatan selesai.

Kenapa Orang Nak Menggubah Wang Haram?

Tahu kan kenapa kita ada cukai pendapatan? Ini bagi memastikan pihak kerajaan dapat menjejaki sumber duit tersebut dari mana, sampai ke tangan siapa dan di mana ianya dibelanjakan.

Dan biasanya mereka yang menjalankan aktiviti haram sudah pastinya akan mengelak daripada mengisytiharkan daripada mana wang yang terhasil daripada aktiviti haram tersebut.

Contoh Penggubahan Wang Haram

 

Sebagai contoh:

Ah Fatt bekerja full-time sebagai kerani di syarikat Zorro Bertopeng Sdn Bhd dengan menerima gaji bulanan sebanyak RM2,000. Namun, beliau juga menjalankan aktiviti pengedaran dadah pada waktu malam dan sudah tentu memperolehi wang yang berkali-kali ganda sehingga RM20,000 sebulan.

Ah Fatt mempunyai gaya hidup mewah, tak padan dengan gaji RM2,000 tadi. Beliau ada 2 biji kereta import, sebuah rumah dua tingkat, berpuluh-puluh ribu dalam akaun bank dan banyak lagi.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, Ah Fatt membuka sebuah kedai cuci kereta. Dengan kedai inilah, Ah Fatt kelihatan seperti seorang usahawan yang berjaya – walaupun tak ramai mana pun pelanggan yang datang untuk cuci kereta.

Disebabkan kedai cuci kereta merupakan sebuah perniagaan yang berunsurkan tunai (ada ke kita pergi kereta bayar pakai kad kredit?), Ah Fatt sering declare bahawa kedai beliau sangat untung. 10 biji kereta saja pada hari tersebut, tetapi direkodkan sebagai 1,000 kereta datang untuk cuci di kedainya.

Cara ini berkesan sebab ianya merupakan perniagaan tunai, tiada transaksi elektronik seperti online transfer ke, bank-in cek ke dan sebagainya. Maka mudah bagi Ah Fatt untuk memalsukan dokumen.

Di sinilah kita dapat lihat bagaimana Ah Fatt menggunakan pendapatan cuci kereta tersebut bagi ‘mencuci’ pendapatan haram hasil daripada pengedaran dadah beliau awal tadi.

Di mata pihak berkuasa, Ah Fatt menjalankan aktiviti yang sah daripada segi undang-undang dan gaya hidup mewah beliau datang daripada sumber yang halal. Malah, setiap tahun Ah Fatt mengisytiharkan cukai pendapatan dan membayar cukai yang dikenakan.

Kesan Negatif Penggubahan Wang Haram

Banyak sebenarnya kalau nak dihuraikan, tapi cukuplah dengan beberapa kesan negatif seperti berikut:

1. Ketidakseimbangan Ekonomi

Kita ambil contoh Ah Fatt tadi, kedai cuci kereta lain meletakkan harga RM10, tapi Ah Fatt boleh je cuci kereta pada harga RM5. Beliau boleh buang harga, sebab tak kisah pun samada perniagaan cuci kereta Ah Fatt untung atau tidak.

Yang penting, transaksi tunai oleh pelanggan tiada siapa yang betul-betul keep track berapa kereta yang dicuci. Lagi-lagi cuci kereta secara manual, lagi takde sistem untuk merekod bilangan kereta yang dicuci.

2. Menggalakkan Perjudian

Cara lain untuk menggubah wang haram adalah dengan berjudi di kasino. Di Malaysia, tak perlu kami sebut pun mungkin anda tahu port mana nak pergi.

Bawa wang tunai hasil daripada kegiatan haram, tukarkan kepada cip dan berjudilah. Bawa wang tunai RM100 ribu wang haram masuk kasino, dapat bawa keluar RM50 ribu balik pun dah kira OK.

Tapi orang Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam kasino, jadi perlu cuba cara lain pula.

3. Kenaikan Harga Hartanah Disebabkan Beli Dan Jual Segera (Flipping)

Dengan mengambil contoh yang sama, kini Ah Fatt upgrade pula menjadi pengeluar dadah. Daripada RM20,000 sebulan, kini pendapatan beliau RM20 juta pula sebulan. Daripada hanya sebuah pusat cuci kereta, kini ada 20 buah.

Di samping itu, beliau kini expand perniagaan beliau ke dalam syarikat pembinaan atau construction. Dapat duit bersih daripada pelanggan, beliau bayar kontraktor dan pekerja-pekerja buruh yang kebanyakannya berbangsa asing menggunakan wang haram.

Lepas tu tak tahu nak buat apa duit banyak-banyak, beliau pun laburkan dalam hartanah.

Dengan wang haram tadi, Ah Fatt membeli banyak hartanah sehingga semuanya sold out. Ianya kelihatan seperti hartanah itu panas, maka harga mula melambung tinggi. Kemudian jual pula pada harga tinggi selepas 1-2 tahun bagi mengaut keuntungan.

Setakat bayar Real Property Gains Tax (RPGT) tu apalah sangat kan?

Wang haram berjaya digubah, untung wang bersih hasil pelaburan hartanah pula berlipat kali ganda.

4. Menyokong Kegiatan Pengganas

Mungkin bukan Ah Fatt, tetapi banyak lagi pertubuhan-pertubuhan penjenayah terancang (organized crime) di luar sana yang menggunakan wang haram untuk menyokong kegiatan pengganas. Beli senjata, cetuskan huru-hara, dengan harapan pengganas akan beli lebih banyak senjata lagi daripada mereka.

Maka berlakulah penggulingan kerajaan, perang saudara dan banyak lagi peristiwa dahsyat yang berlaku.

Siapa yang susah? Kita juga sebagai orang awam yang susah.

Lagi Banyak Aktiviti Haram, Lagi Hebat Money Laundering

Dah tau serba sedikit perihal money laundering atau penggubahan wang haram ni, maka kesannya adalah sangat meluas.

Difahamkan bahawa pegawai-pegawai bank di Malaysia sangat tegas dalam implementasi Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001 (Act 613) atau lebih dikenali sebagai AMLATFA. Malah kesemua pegawai institusi kewangan di Malaysia, wajib untuk mengambil kursus ini sewaktu orientasi dan setahun sekali selepas itu.

Maka kita sebagai rakyat biasa juga perlu tahu apa itu Money Laundering dan Penggubahan Wang Haram jika kita sayangkan Malaysia.

*Semua contoh di atas adalah untuk tujuan pembelajaran saja, bukan nak menggalakkan anda terlibat dalam kegiatan haram atau memberi idea bagaimana untuk menggubah wang haram.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.