InvestSmart® Fest 2019: Dapatkan Ilmu Pelaburan Bermula Jumaat Ini Di Mid Valley, Masuk Percuma

Acara yang dinanti-nantikan setiap tahun iaitu InvestSmart® Fest kembali lagi. Dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ianya akan diadakan dari hari Jumaat 18 Oktober sehingga hari Ahad 20 Oktober 2019. Bertemakan “Invest Smart” atau “Bijak Labur”, banyak ilmu pelaburan yang kita akan perolehi di bawah satu bumbung.

Banyak Pilihan Pelaburan Yang Ada

Jika dilihat senarai peserta pameran di atas, rambang mata dibuatnya. Kita ada syarikat-syarikat terkemuka dalam pelaburan saham, unit amanah (unit trust), Real Estate Investment Trust (REIT) atau Amanah Pelaburan Hartanah dan bermacam-macam lagi.

Sepertimana yang kita tahu, setiap pelaburan adalah unik. Dan tak terdapat satu pelaburan yang sesuai untuk semua orang, ianya bergantung kepada umur, toleransi risiko, objektif pelaburan, jangka masa pelaburan dan banyak lagi. Bolehlah berjalan-jalan sambil buat perbandingan produk pelaburan mana yang bersesuaian dengan kita.

Agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) pun ada. Boleh tanya mereka yang bertugas jika terdapat sebarang kekusutan.

Alang-alang dah jalan keliling dewan pameran tu nanti, kumpul sebanyak mana goodie bag yang mampu kita bawa.

“Digital Pavilion”

Kita sekarang menuju ke arah era digital, rugi kalau tak ambil tahu perkembangan terkini dalam dunia digital ini dengan menghadiri “Digital Pavilion”. Banyak syarikat-syarikat terkemuka dalam bidang Pendanaan Ekuiti Ramai(Equity Crowfunding), Pendanaan Hartanah Ramai (Property Crowdfunding), Penasihat Robot (Robo Advisory), Pembiayaan Rakan Setara (Peer-to-peer Financing) dan Tukaran Aset Digital (Digital Asset Exchanges).

Buatlah persediaan dari awal, dan bertanya mereka yang pakar dalam bidang digital ini. Kalau tak, anda bakal ketinggalan pula nanti.

Ramai Speaker Yang Pakar Dan Berpengalaman

Tengok barisan speaker dan panelis, memang teruja sangat. Kita ada Tuan Haji Asri Ahmad dan Tuan Nazarry Rosli yang pakar dalam pelaburan saham, kita ada Tuan Shahrol Nizam dan Izmir Mohammad yang pakar dalam unit amanah, Tuan Ameer Ali Mohamed yang merupakan seorang Perancang Kewangan; dan ramai lagi yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing.

Hari pertama acara iaitu pada hari Jumaat jam 3 petang, temui tokoh ilmuwan negara dan antarabangsa, Datuk Dr Daud Bakar. Beliau merupakan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan bagi Amanie Advisors, sebuah firma penasihat Syariah terkemuka di dunia. Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia dan banyak lagi. Temui beliau dan juga Ustaz Don Daniyal, ustaz selebriti yang tidak asing lagi di dalam forum yang bertajuk “Mencari Keberkatan Dalam Pelaburan”.

Juga Dapatkan Khidmat Nasihat Kewangan Daripada Pakar

Anda sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tak tahu nak tanya siapa? Ada masalah nak menyimpan dan tak tahu nak melabur kat mana? Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan khidmat penilaian perancangan kewangan daripada para perancang kewangan berlesen di gerai pameran “#FinPlan4u”.

Bila dah tahu masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jumpa Di Sana

Ayuh beramai-ramai ke InvestSmart® Fest 2019 yang akan dianjurkan di Dewan Pameran 1, Mid Valley Convention Centre pada hari Jumaat 18 Oktober sehingga hari Ahad 20 Oktober 2019. Masuk adalah percuma, jadi bawa sekali ayah, ibu, abang, kakak, anak-anak, saudara-mara dan rakan-rakan semua. Semoga lebih ramai lagi orang akan terbuka mata dan minda mengenai pelbagai pilihan pelaburan yang sah yang terdapat di negara kita.

Cukup-cukuplah tu terlibat dengan skim cepat kaya, yang akhirnya merugikan. Nak melabur ni kena ada ilmu, kalau tak melebur namanya. Jadilah seorang pelabur yang bijak dan berpengetahuan, jumpa anda di sana!

Infografik/Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pelajari peluang dan pilihan pelaburan di dalam pasaran modal Malaysia, dan bagaimana anda boleh melabur untuk masa depan anda, dengan menghadiri InvestSmart® Fest 2019.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Moomoo Malaysia Raikan Dua Juta Muat Turun, Jalin Kerjasama Dengan Legenda Skuasy Datuk Nicol David Untuk Memperkasa Belia Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026Moomoo Securities Malaysia (“Moomoo MY”) hari ini mengumumkan bahawa aplikasi pelaburannya telah melepasi dua juta muat turun di Malaysia. Bagi meraikan pencapaian tersebut, syarikat mengumumkan komitmen sebanyak RM100,000 kepada Nicol David Organisation (NDO) bagi menyokong inisiatif pendidikan belia, pembangunan sukan dan literasi pelaburan untuk pelajar daripada komuniti yang kurang berkemampuan.

Kerjasama ini mencerminkan kepercayaan Moomoo Malaysia bahawa apabila semakin ramai rakyat Malaysia mula melabur, lebih ramai golongan muda juga harus diberi peluang untuk melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah.

Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama NDO, Moomoo Malaysia akan menyalurkan RM100,000 bagi menyokong sehingga 500 pelajar di bawah program Smart Mooves.

Program ini memberi akses kepada golongan muda daripada komuniti berpendapatan rendah kepada pembangunan sukan, pendidikan pelaburan dan pembangunan diri di 20 sekolah menengah kerajaan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, bagi setiap RM1,000 deposit yang dibuat oleh pengguna baharu, Moomoo Malaysia akan menyumbang RM10 kepada NDO.

Penyertaan Belia Dalam Pelaburan Masih Rendah

Walaupun penyertaan pelabur runcit di Malaysia terus meningkat, golongan muda masih kurang diwakili dalam landskap pelaburan negara.

Menurut Bursa Malaysia, pelabur berusia 18 hingga 35 tahun hanya membentuk sekitar 20% daripada jumlah pelabur runcit aktif di negara ini.

Pada masa sama, pelbagai kajian turut menunjukkan masih wujud jurang dalam tahap literasi kewangan dalam kalangan golongan muda, sekali gus menekankan keperluan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan kewangan, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan kewangan jangka panjang.

Melabur Demi Masa Depan Belia Malaysia

Kerjasama ini mencerminkan kepercayaan bersama antara Moomoo Malaysia dan Nicol David Organisation bahawa kejayaan — sama ada dalam bidang sukan, pendidikan mahupun pelaburan — dibina atas asas yang kukuh, disiplin, konsistensi dan peluang yang sesuai.

Program Smart Mooves, yang disasarkan kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas, merupakan kurikulum selama empat minggu yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan pendidikan pelaburan bagi membekalkan peserta kemahiran asas pengurusan kewangan dan perancangan masa depan sejak usia muda.

Melalui pelaburan terhadap generasi muda hari ini, kedua-dua organisasi berharap dapat melahirkan generasi yang lebih yakin, berkemahiran dan bersedia mengejar cita-cita mereka.

Ketua Pegawai Operasi Moomoo Malaysia, Indy Lau, berkata:

“Pencapaian dua juta muat turun bukan sekadar satu angka buat Moomoo Malaysia. Ia melambangkan jutaan rakyat Malaysia yang telah mengambil langkah pertama ke arah membina masa depan kewangan mereka. Sempena pencapaian ini, kami mahu memberi kembali kepada komuniti yang telah menyokong perkembangan kami. Melalui kerjasama dengan Nicol David Organisation, kami berharap dapat membantu lebih ramai belia Malaysia melangkah ke arah merealisasikan impian mereka tanpa mengira latar belakang atau keadaan hidup.”

Memperkasa Belia Melalui Sukan dan Pendidikan

Diasaskan oleh juara dunia skuasy lapan kali, Datuk Nicol David, bersama Mariana De Reyes, Nicol David Organisation ialah sebuah yayasan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita, remaja perempuan dan lelaki melalui sukan, pendidikan, kesihatan mental serta pembangunan komuniti.

Melalui program seperti Smart Mooves, Little Legends dan Positive Play (+ Play), NDO membantu kanak-kanak serta keluarga daripada komuniti yang kurang mendapat perhatian dengan menyediakan kemahiran, ilmu dan sistem sokongan untuk membina masa depan yang lebih baik.

Pengasas Nicol David Organisation, Datuk Nicol David, berkata:

“Kami amat menghargai sokongan Moomoo Malaysia terhadap misi kami untuk memperkasakan golongan muda dan membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya. Kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang bermakna kepada pelajar dan keluarga, selain memperkukuhkan kepentingan pendidikan, daya tahan serta pembelajaran sepanjang hayat. Kami yakin ia akan memberi impak positif kepada komuniti yang kami santuni.”

Platform Pelaburan Yang Semakin Berkembang

Pencapaian dua juta muat turun ini mencerminkan kedudukan Moomoo Malaysia yang semakin kukuh sebagai antara platform pelaburan digital terkemuka di negara ini, selain menunjukkan peningkatan minat rakyat Malaysia untuk mengakses pasaran global, alat pelaburan moden dan sumber pendidikan kewangan.

Kini, pengguna platform Moomoo boleh melabur dalam pelbagai instrumen termasuk:

  • Saham Malaysia
  • Saham Amerika Syarikat
  • Saham Hong Kong
  • Opsyen saham
  • REIT
  • Waran
  • Saham pecahan (fractional shares)

Kesemua produk ini disokong oleh pelbagai ciri seperti Moomoo AI, data pasaran Level 2 serta komuniti pelabur aktif yang membantu pengguna membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat.

Pencapaian dua juta muat turun ini hadir selepas Moomoo Malaysia menerima pengiktirafan di Bursa Malaysia Excellence Awards 2025, apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Kedua bagi kategori Best Retail Equities Participating Organisation (Non-Investment Bank).

Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan standard pelaburan digital menerusi penggunaan teknologi, pendidikan kewangan dan pengalaman pelanggan yang lebih baik.