Affin, RHB Naikkan Kadar Rujukan Sebanyak 25 Mata Asas Mulai 12 Sept, 2022

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd akan menaikkan kadar rujukan masing-masing sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa 12 September 2022.

Menurut Affin dalam kenyataannya hari ini, berikutan itu, Kadar Deposit Tetap Affin Bank dan Kadar Deposit-i Berjangka Affin Islamic akan turut dinaikkan berkuatkuasa pada tarikh sama.

“Ini selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dinaikkan daripada 2.25 peratus kepada 2.50 peratus,” katanya.

Sementara itu, dalam tindakan sama, RHB Banking Group akan menyemak naik kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar asas pinjaman/pembiayaan (BLR/BFR) sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa 12 September ini.

“RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan menaikkan kadar SBR daripada 2.25 peratus kepada 2.5 peratus manakala BR kepada 3.25 peratus daripada 3.00 peratus setahun.

“Kami akan turut menyemak semula BLR/BFR kepada 6.20 peratus setahun daripada 5.95 peratus. Selaras itu, kadar simpanan tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank juga akan disemak naik,” katanya dalam satu kenyataan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/affin-rhb-naikkan-kadar-rujukan-sebanyak-25-mata-asas-mulai-12-sept-2022/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA