Maybank Tingkatkan Kadar Asas Standard, Kadar Asas Dan BLR Sebanyak 25 Mata Asas

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Malayan Banking Bhd (Maybank) akan melaras naik kadar asas standard, kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 12 September 2022, berikutan pengumuman kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) hari ini.

Bank Negara Malaysia menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kelima hari ini, kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas yang ketiga berturut-turut tahun ini, menjadikan kenaikan tahun ini kepada 75 mata asas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata kadar asas standard dan BR akan dinaikkan daripada 2.25 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun manakala kadar BLR akan dilaras daripada 5.90 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun.

“Begitu juga, kadar asas standard Islam dan kadar asas Islam akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.25 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun manakala kadar pembiayaan asas Islamic akan dinaikkan daripada 5.90 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun masing-masing,” katanya.

Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 12 September 2022, tambahnya.

Maybank berkata semakan terakhir dalam BR adalah pada 8 Julai 2022 apabila ia dinaikkan daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun berikutan kenaikan OPR dengan kuantum yang sama.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/maybank-tingkatkan-kadar-asas-standard-kadar-asas-dan-blr-sebanyak-25-mata-asas/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA